SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

10 Jun 2010

RMKKe-10 DIHARAP BERI PENEKANAN MASALAH SOSIAL

Berita Harian
Oleh Rejal Arbee
2010/06/10


Usaha tingkat akhlak, moral rakyat penting capai Wawasan 2020 HARI ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan Rancangan Malaysia Kesepuluh RMKe-10), suatu 'blue print' yang menggariskan hala tuju pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.
Ia tentunya akan menggariskan usaha pembangunan fizikal negara bagi memenuhi misi untuk melonjakkan kedudukan kita, yang sekarang ini seolah-olah tersekat di kelompok negara berpendapatan sederhana, kepada negara berpendapatan tinggi atau sebagai negara maju menjelang 2020.
Dalam keghairahan kita mencapai matlamat dituju dengan tumpuan diberikan kepada perkembangan ekonomi dan pembangunan negara, apakah soal memupuk pegangan rohaniah mulia dengan memantapkan lagi akhlak dan moral rakyat khususnya di kalangan muda-mudi diabaikan? Baik juga Najib dalam pembentangannya nanti akan menggariskan tiga komponen penting rancangan itu iaitu modal insan, modal swasta dan modal sosial. Diharapkan modal sosial ini akan memberi penekanan secukupnya terhadap usaha membendung pelbagai perlakuan yang dikatakan devian yang membawa kepada keruntuhan akhlak di kalangan sesetengah rakyat kita dewasa ini. Tidak seperti Rancangan Malaysia Kesembilan sekarang yang hanya menumpukan penekanan kepada usaha pembangunan fizikal dengan tumpuan kepada lima terasnya iaitu meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi; meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi; menangani ketidaksamaan sosioekonomi kumpulan etnik dengan memberi penekanan kepada ‘pertumbuhan dengan pengagihan’; meningkatkan tahap dan kemampuan kualiti hidup, dan mengukuhkan keupayaan institusi serta pelaksanaan negara untuk pertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam. Jelas sekali rancangan kesembilan sekarang tidak menekankan program meningkatkan penerapan nilai rohani dalam kehidupan seharian rakyat. Apakah kurangnya tumpuan terhadap menerapkan nilai moral dan rohaniah murni ini yang membawa padah seperti yang sedang melanda masyarakat sekarang? Usaha penekanan terhadap menerapkan nilai mulia di kalangan semua rakyat ini tentunya amat diperlukan memandangkan rakyat sendiri terikut arah pembangunan negara dengan begitu ghairah mahu mencapai kehidupan lebih selesa lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal di bandar. Sememangnya, usaha mereka itu tidak salah, tetapi apakah tumpuan hanya kepada hasrat mencapai taraf hidup lebih selesa itu membawa mereka mengabaikan hubungan keluarga dan penyeliaan ke atas anak hingga membawa kepada keruntuhan akhlak? Apakah kecuaian kita terhadap usaha meningkatkan pegangan kepada agama dan moral ini juga membawa padah hingga menimbulkan pelbagai masalah sosial yang kelihatan seperti semakin menjadi-jadi sekarang? Maka, perangkaan diberikan seorang pensyarah Program Kerja Sosial, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM, Prof Madya Dr Fatimah Abdullah seperti dipaparkan Portal Berita UKM, amat mencemaskan. Mengikut perangkaan itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan lebih 257,000 sijil kelahiran yang tidak mencatatkan nama bapa dalam tempoh lapan tahun setengah dari 2000 hingga Julai 2008. Ini bermakna, secara purata 2,500 kes anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau hampir 84 kes setiap hari. Perangkaan diperoleh bagi 1999 hingga 2003 pula, daripada 70,430 anak luar nikah didaftarkan, yang beragama Islam mencatatkan angka terbanyak iaitu sejumlah 30,978 orang berbanding 18,085 Hindu, 17,236 Buddha dan 3,395 Kristian. Baru-baru ini JPN menyatakan kes anak luar nikah didaftarkan, membabitkan Melayu juga menunjukkan peningkatan misalnya pada tahun lalu seramai 17,303 anak luar nikah Melayu, meningkat daripada 16,541 pada 2008 dan 16,100 pada 2007. Mengenai kes pembuangan bayi pula, polis menyatakan terdapat 86.4 kes setahun antara 2001 hingga 2005 manakala mengikut catatan Jabatan Kebajikan Masyarakat, ada 506 kes pembuangan bayi sejak 2004 dengan jumlah terbesar 102 bayi dibuang pada 2008. Bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini saja, JKM mencatatkan sebanyak 21 kes pembuangan bayi dan jelas sekali kes ini semakin meningkat. Maka itu bolehkah kita salahkan anggapan ramai terhadap gejala keruntuhan moral ini jika dilihat dari pelbagai kejadian tidak menyenangkan bahkan yang amat mengaibkan berterusan berlaku kalau dilihat daripada apa yang sering dipaparkan pada dada akhbar sekarang ini? Jadi bagaimana kita boleh menerima berita apabila sampai 16 orang murid Tingkatan Tiga dan Enam di sebuah sekolah di Kuala Terengganu didapati hamil dengan empat daripada mereka melahirkan anak di luar nikah? Yang peliknya, pengurusan sekolah tidak pula sedarkan hal itu hingga didedahkan oleh seorang murid ketika pelajar itu sudah pun sarat mengandung. Dalam pada itu, timbul pula berita lebih 418,000 orang atau 41 peratus daripada 1.2 juta penjawat awam dikesan terbabit dengan aktiviti penerimaan rasuah sepanjang tahun lalu. Ini mengikut apa dinyatakan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman. Maknanya hampir setiap seorang daripada dua penjawat awam terbabit dengan gejala buruk ini. Perangkaan itu, kalau benar sungguh mencemaskan dan menunjukkan betapa teruknya perkhidmatan awam sekarang ini. Walaupun ramai mengetahui bahawa kejadian rasuah memangnya berleluasa, tidak pula dapat membayangkan begini menularnya perlakuan terkutuk itu. Apakah semua kejadian ini tidak mencemaskan kita?

Tiada ulasan: