Utusan Malaysia
PENSYARAH PELATIH
Kuala Lumpur
27/3/2012
Pertama, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menunjukkan keprihatinan beliau kepada nasib penjawat awam dengan cuba memperkenalkan SBPA baru-baru ini. Namun, berikutan ketidakpuasan hati ramai penjawat awam yang lain, ia telah dimansuhkan. Coretan ini ditulis berikutan permasalahan yang kembali timbul ekoran pemansuhan tersebut.
Saya adalah pensyarah pelatih perubatan di salah sebuah universiti awam. Pensyarah pelatih perubatan adalah doktor yang telah menyertai universiti bagi menjalankan tugas sebagai doktor dan juga bakal pensyarah.
Coretan ini bertujuan untuk meluahkan rasa terkilan dengan situasi pensyarah pelatih perubatan yang masih belum selesai.
Walaupun doktor lain di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mendapat pelarasan gaji sewajarnya sejak Mac 2010 selepas pengumuman Menteri Kesihatan, nasib doktor merangkap pensyarah pelatih perubatan di universiti masih belum disahkan. Kami masih belum mendapat sebarang pelarasan sewajarnya walaupun telah berkhidmat pada tempoh yang sama dengan rakan seperjuangan kami di Kementerian Kesihatan.
Keadaan ini membuatkan kami berasa terkilan, buntu dan merasa tidak dihargai, seolah-olah khidmat yang diberikan dianggap remeh. Jangan anggap kami tidak bersyukur kerana skim doktor dianggap terbaik berbanding semua skim dalam Sistem Saraan Malaysia (SSM). Tetapi ini adalah hak kami kerana kami juga doktor yang berkhidmat dengan kerajaan. Kami juga memberikan khidmat yang sama sebagaimana doktor lain di KKM.
Kami cuma mengharapkan hak kami ditunaikan. Apa yang diharapkan hanyalah pelarasan setimpal dengan rakan seperjuangan yang berkhidmat untuk tempoh yang sama dengan kami. Sebarang penambahbaikan akan menjadi satu bonus kepada kami. Sekiranya kami dianggap tidak layak bergelar pensyarah kerana belum selesai pengajian ijazah sarjana, berilah kami gaji sebagai doktor kerana kami adalah doktor terlebih dahulu sebelum menyertai universiti.
Alasan bahawa kami tidak layak menerima pelarasan kerana tiada gred yang sesuai, kerana kami belum bergelar pensyarah ataupun kerana kami dalam proses mendapatkan ijazah, adalah tidak adil dan tidak munasabah.
Untuk makluman, doktor yang sedang mengikuti pengajian ijazah sarjana kepakaran tetap perlu bekerja sepenuh masa seperti doktor di KKM. Yang membezakan kami cuma dikehendaki mengambil peperiksaan ijazah sarjana apabila tiba masa yang ditetapkan. Bagi kami, beban kerja bukanlah suatu isu kerana itu adalah tanggungjawab kami sebagai doktor.
Walaupun ramai beranggapan nasib kami akan berubah apabila menjadi pakar, realitinya adalah berbeza kerana tempoh pengajian tersebut adalah sama dengan doktor KKM yang menikmati time based promotion. Yang membezakan nanti adalah elaun kepakaran. Adakah kerana ini kami patut dinafikan hak kami selama tempoh pengajian kami sedangkan kami bekerja seperti mereka?
Kami telah dinafikan hak kami sejak Mac 2010 hingga kini Mac 2012. Cuba bayangkan betapa kami telah kerugian dari segi masa dan kewangan berikutan tiada tindakan daripada mana-mana pihak yang sepatutnya membantu kami.
Coretan ini bukan untuk menuding jari kepada sesiapa tetapi itulah realitinya. Selama dua tahun ini, kami telah kehilangan hampir lebih RM1,000 sebulan di depan mata kami. Walaupun dibawa ke pihak bertanggungjawab, ia kelihatan seperti sama ada tiada tindakan atau tindakan yang dilakukan terlalu perlahan hinggakan sehingga kini masih tiada penyelesaian.
Bukan sahaja tiada pelarasan dilakukan dan dijanjikan, malah segala tunggakan gaji dan kerugian kami tidak pernah dijanjikan atau diutarakan walaupun telah meleret ke tahap ini.
Meskipun pernah pihak tertentu menyuarakan bahawa usaha sedang dibuat dan harap bersabar, kesabaran kami semakin pudar kerana telah dua tahun berlalu tanpa sebarang perkembangan. Malah kami dituduh tidak bersyukur dan mementingkan duit semata-mata. Ingatlah jika duit sahaja yang kami nampak dan pentingkan, kami tidak akan menjadi doktor malah tidak akan bertahan selama ini dalam kerajaan. Isu itu adalah lebih kepada hak sama rata dan keadilan yang kami inginkan.
Kemunculan SBPA membuka ruang bagi kami mengisi kerugian. Walaupun tiada tunggakan gaji kerugian kami yang lepas dijanjikan, ia memberi sinar harapan kepada kami untuk masa akan datang. Malangnya, kesemuanya tidak kesampaian.
Bagaikan malang menjadi pensyarah pelatih perubatan di universiti awam masa kini. Bukan sahaja peranan kami tidak diiktiraf malah hak kami dinafikan. Sekurang-kurangnya, jika tidak mahu membayar kami sebagai bakal pensyarah tetapi bayarlah kami sewajarnya sebagai doktor.