SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

12 September 2007

HAPUSKAN SEGERA PEMBERIKAN KONTRAK SECARA TERUS-OMAR

Petikan Dari Utusan Malaysia
12/9/2007

KUALA LUMPUR 11 Sept. – Kongres Kesatuan Pekerja- Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan menghapuskan segera sistem pemberian kontrak secara terus kepada kontraktor atau pembekal.
Presidennya, Omar Osman berkata, sistem itu merupakan punca utama berlakunya masalah tender pada tawaran harga tidak munasabah oleh pihak terbabit terhadap barangan yang dibekalkan kepada kerajaan.
Beliau berkata, sebagai ganti sistem pemberian kontrak perlu dilaksanakan melalui tender secara terbuka.
“CUEPACS sememangnya menentang sistem pemberian kontrak secara terus kerana ia banyak memberi kesan buruk. Oleh itu kami amat berharap kerajaan mengambil berat tentang cadangan ini.
“Satu lagi cadangan CUEPACS ialah seorang pegawai kerajaan yang ditugaskan menyelia pemberian kontrak perlu dihadkan hanya setakat tiga tahun sahaja. Ini bertujuan untuk mengelakkan berlakunya penyelewengan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas laporan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang yang mengkritik beberapa kementerian kerana menerima tawaran harga kontraktor yang terlalu tinggi dalam pembelian peralatan tertentu.
Laporan itu antara lain menegur proses pembelian 13 peralatan dan kelengkapan bagi Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada harga yang melebihi harga pasaran hingga kerajaan terpaksa menanggung kerugian RM8.39 juta.
Ini termasuk pembelian dua menara kren membabitkan perbelanjaan RM5.72 juta berbanding RM2.98 juta mengikut harga pasaran, selain membeli alat pengangkat kereta dua tan berharga RM5,741 seunit berbanding harga pasaran cuma RM50 seunit.
KBS juga didapati membeli 17 set buku teknikal dengan 10 tajuk pada harga RM181,900 atau RM10,700 satu set, sedangkan harganya di Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka cuma RM417 satu set.
Dalam perkembangan sama Omar percaya sekiranya pihak audit membuat pemeriksaan ke atas kementerian-kementerian lain masalah yang serupa akan timbul.
“Apa yang berlaku ini berkaitan dengan soal integriti serta kegagalan individu terlibat menunaikan tanggungjawab sebagai seorang kakitangan kerajaan serta sebagai seorang muslim.
“Oleh itu CUEPACS minta sekiranya terbukti ada kakitangan atau pegawai yang melakukan perkara ini mereka wajar dikenakan tindakan paling tegas. Jangan biarkan mereka terlepas,” katanya.
Beliau mengakui isu yang timbul itu sedikit sebanyak menjejaskan imej CUEPACS kerana ahlinya terdiri daripada semua pekerja awam di negara ini.
“Semua kakitangan awam baik pangkat rendah atau tinggi harus sedar tanggungjawab kita seharian ialah menjalankan amanah negara manakala wang yang kita uruskan setiap hari itu adalah wang rakyat. Oleh itu tunaikanlah amanah ini dengan sebaik-baiknya,” tambahnya.

5 ulasan:

Chinta Chundary berkata...

memang sepatutnya..

Chinta Chundary berkata...

kena telus

Chinta Chundary berkata...

kena adil dan saksama

Chinta Chundary berkata...

"Kongres Kesatuan Pekerja- Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan menghapuskan segera sistem pemberian kontrak secara terus kepada kontraktor atau pembekal."

i sokong cuepacs..mmg bijak dato omar

Chinta Chundary berkata...

kerajaan barisan nasional memang terbaik..telus..dan cekap serta amanah..