SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

12 Jun 2010

SORAKAN KAKI BOLA

Berita Harian
Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my
2010/06/12




Sanggup berjaga hingga lewat malam demi menonton aksi Piala Dunia 2010 DEMAMNYA sudah bermula... Lihat saja promo iklan di televisyen, papan iklan hinggalah kepada promosi jualan semuanya tetap berkisarkan mengenai Piala Dunia 2010. Topik perbualan bersama teman-teman juga tidak terlepas daripada mendebatkan mengenai pasukan pilihan yang dicanang bakal bergelar juara terbaru.
Bagaikan kurang sempurna gaya hidup andai tidak mengambil tahu mengenai fenomena empat tahun sekali ini. Impak Piala Dunia dalam kehidupan masyarakat terutama di bandar memperlihatkan ketaksuban warganya terhadap perlawanan bola sepak paling berprestij di dunia ini.
Bukan sekadar pemainnya saja yang turut diangkat sebagai legenda, setiap pergerakan pasukan, aksi menggelecek sehinggalah kepada tempoh minit jaringan menjadi detik-detik yang tidak mahu dilupakan begitu saja. Tidak hairan andai peminat fanatik bola sepak sanggup berjaga hingga lewat malam semata-mata mahu menyaksikan perlawanan pasukan kegemaran. Lihat saja jadual perlawanan bola sepak di negara tuan rumah Afrika Selatan yang menyaksikan rata-rata perlawanan berlangsung pada sebelah malam dan tengah lewat malam. Mungkin tidaklah sesukar mana untuk menonton perlawanan yang berlangsung jam 10.30 malam tetapi bayangkan apabila aksi pasukan kegemaran diadakan jam 2.30 pagi? Bercerita mengenai perlawanan bola sepak, peminat bola tidak terlepas untuk menuju ke ‘port’ atau lokasi tempat lepak bersama sekumpulan fanatik sealiran semata-mata mahu merasai pengalaman dan suasana yang lebih meriah untuk setiap perlawanan. Tentunya restoran mamak antara lokasi yang paling dinanti-nantikan kerana kemeriahan dan suasana yang lebih terbuka memberi lebih ruang untuk peminat bola sepak meraikan detik menang - kalah pasukan masing-masing. Andai di Kuala Lumpur saja, lokasi restoran mamak hampir pasti ada tarikan tersendiri di mana skrin gergasi, lambakan meja dan menu hidangan yang hampir semua ditawarkan membuatkan lokasi itu menjadi pilihan peminat bola sepak. Apatah dengan bermodalkan kos makanan dan minuman saja, pengunjung dapat menonton aksi perlawanan di skrin gergasi secara percuma tanpa sebarang caj. Tambah meriah, apabila detik itu dikongsi dan diraikan bersama teman-teman serta kelompok peminat bola sepak yang lain. Detik-detik jaringan gol, aksi menggelecek hinggalah kepada pengadil melayangkan kad, setiap tempoh masa 90 minit memberikan makna tersendiri buat fanatik bola sepak ini. Pengarah Restoran Syed, Syed Habib Syed Kadir, berkata impak Piala Dunia sememangnya memberi kesan besar kepada pengusaha restoran menyebabkan beberapa perancangan tambahan termasuk menyediakan tambahan skrin sebagai tarikan buat pelanggan ke restoran mereka. Beliau berkata, Restoran Syed yang mempunyai sebanyak 16 cawangan di seluruh negara tidak ketinggalan menawarkan skrin gergasi sebagai antara tarikan untuk penonton fanatik bola sepak. “Selain tambahan skrin gergasi, kami juga ada menambah televisyen LCD bersaiz 50 inci dan 63 inci sebagai memenuhi permintaan pelanggan yang ingin mengikuti aksi perlawanan pasukan kegemaran masing-masing. “Pada masa yang sama, kita turut menambah kerusi dan meja sebagai langkah awal memandangkan kita menjangkakan ada tambahan dari segi kunjungan pelanggan,” katanya. Ditanya mengenai menu tambahan yang berkemungkinan ada sepanjang musim perlawanan bola sepak, Syed Habib berkata pihaknya sudah bersiap sedia dengan menu tambahan yang bersesuaian dengan acara seperti kentang goreng dan kerepek. “Pastinya kita sudah bersedia untuk itu kerana menyedari yang pelanggan tidak mungkin hanya mahukan roti canai dan mee goreng semata-mata,” katanya. Apabila sudah bersengkang mata hingga ke lewat malam, tentunya pelbagai ragam berlaku terutama apabila saat mahu berjaga memulakan kerja. Bagi yang mudah berjaga pagi pasti tidak akan mengalami apa-apa masalah tetapi bagaimana pula mereka yang sukar untuk bangun pagi. Mengulas mengenai prestasi kerja sepanjang berlangsungnya Piala Dunia di Afrika Selatan, Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman, berkata pihaknya tidak terkecuali berasa bimbang dengan mutu perkhidmatan sektor awam sepanjang musim Piala Dunia 2010 di mana kebanyakan jadual perlawanan bola sepak berlangsung hingga lewat tengah malam. Beliau berkata, kemungkinan acara berprestij itu mengganggu prestasi kerja kakitangan awam juga adalah tinggi kerana peminat bola sepak sanggup bersengkang mata hingga awal pagi semata-mata mahu menonton perlawanan bola sepak kegemaran masing-masing. “Tidak salah untuk menonton bola sepak memandangkan kita semua tahu yang Piala Dunia ini yang ditunggu-tunggu peminat bola sepak selama empat tahun sekali. Namun, perlu ada batasnya memandangkan kita ada tanggungjawab lain sebagai pekerja. “Bagi peminat bola sepak ini, adalah lebih baik tidur lebih awal dan berehat secukupnya sebelum berjaga pagi untuk menonton pasukan kegemaran. Faham-faham sajalah apabila sudah berjaga hingga ke lewat malam tentu sukar untuk tidur kembali dan kemudian bekerja pula,” katanya kepada XY - Ikon Lelaki. Ditanya kemungkinan peminat bola sepak sengaja mengambil cuti sakit kerana tidak mampu bekerja disebabkan mengantuk, kata Omar pihaknya memandang serius kemungkinan perkara seperti itu dan tidak teragak-agak akan mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan tindakan tatatertib. Katanya, doktor swasta dan kerajaan perlu memantau dan tidak sewenangnya memberikan sijil cuti sakit terhadap mereka yang didapati sengaja tidak mahu bekerja dengan alasan mengantuk atau terlajak bangun pagi. “Kita tidak mahu semata-mata hanya kerana ingin menonton perlawanan bola sepak, prestasi kerja dan kesihatan terganggu sekali gus menjejaskan kualiti dalam sektor awam,” katanya. Sejauh manapun kecintaan kepada bola sepak, pastikan jangan sesekali mengubah prestasi kerja dan mengganggu urusan seharian yang lain. Selamat bersorak bersama pasukan pilihan! Lokasi lepak selebriti menonton bola sepak "SEPERTI mana peminat lain, saya juga tidak mahu ketinggalan menonton aksi perlawanan bola sepak. Lokasi tempat lepak pilihan saya tentulah di restoran mamak yang menyediakan skrin besar untuk kepuasan menonton serta kemeriahan suasana yang tidak dapat digambarkan. “Kalaupun bukan Brazil yang beraksi, saya masih lagi boleh menonton mana-mana perlawanan pasukan lain. Setiap perlawanan mempunyai tarikan tersendiri dan saya memang tertunggu saat-saat itu. “Setakat ini, saya tidak mempunyai lokasi tetap untuk menonton bola sepak kerana bergantung kepada jadual penggambaran dan perancangan teman-teman lain. Pun begitu, di tempat tinggal saya di Bangi mempunyai dua tiga restoran mamak pilihan sebagai lokasi sesuai menonton bola.” - Kamal Adli, pelakon popular “SAYA memilih menonton di rumah saja kerana lebih mudah dan sekarang pun sudah berkeluarga. Kalau masa bujang dan waktu belajar di UiTM dulu, memanglah restoran mamak yang menjadi pilihan di sekitar Shah Alam. Bagi saya kemeriahan sama saja dan saya sebolehnya menonton perlawanan pasukan kegemaran seperti Brazil, Jerman dan Argentina. “Tetapi kalau hendak dikirakan pasukan kegemaran nombor satu tentulah Brazil. “Mengenai jadual waktu perlawanan, saya tidaklah terlalu fanatik untuk mengikuti setiap perlawanan memandangkan ada juga perlawanan dilangsungkan lewat malam dan seawal pagi menyebabkan masa menonton agak terhad kerana perlu bekerja pagi.” - Faizal Ismail, deejay HotFM, pengacara “KALAU tidak menonton saja perlawanan di rumah, ada masanya saya akan ke rumah rakan untuk berkumpul beramai-ramai menonton perlawanan pilihan. Saya bukanlah terlalu fanatik bola tetapi suka juga menonton terutama membabitkan perlawanan yang cukup menarik. “Secara peribadi saya menggemari pasukan Sepanyol tetapi kesemua pasukan akhir yang bertanding mempunyai kekuatan tersendiri. “Apabila menonton bola sepak, saya tidaklah sanggup berjaga lewat malam kalau mempunyai urusan pada awal pagi kerana tidur yang cukup memang menjadi keutamaan saya.” - Ashraf Muslim, pelakon dan usahawan

Tip urus jadual demam Piala Dunia

1) Tidur lebih awal - Pastikan anda mengubah jadual waktu tidur lebih awal iaitu jam 10 malam andai mahu menonton perlawanan bola sepak yang dijadualkan pada 2.30 pagi.
2) Mempunyai waktu rehat mencukupi - Jangan pula terlalu aktif bersukan andai mahu berjaga malam. Kurangkan pembabitan dalam acara sukan seperti futsal, badminton dan bola sepak kerana aktiviti sukan hanya akan menambah keletihan.

3) Jaga pemakanan - Elakkan mengambil makanan yang tidak mengandungi kadar karbohidrat tinggi yang akan menambah keletihan dan kurang zat. Apabila kurang tidur, kesihatan mudah terjejas dan boleh menyebabkan anda dijangkiti demam dan selsema.

4) Minum coklat/susu panas - Selain rasa lebih selesa, minuman panas ini mampu menyegarkan badan dan membuatkan anda berasa cergas sepanjang berjaga waktu malam.

5) Atur masa menonton bola sepak - Tidak salah keluar bergembira bersama-sama rakan untuk menonton bola sepak. Namun, elakkan terlalu kerap berlibur di luar yang akan membuang lebih banyak masa. Sesekali tonton saja aksi bola sepak di rumah kerana selepas itu anda boleh tidur beberapa jam sebelum keluar bekerja.

6) Siapkan kelengkapan lebih awal - Gosok baju, aturkan pakaian, kasut dan barang keperluan ke tempat kerja lebih awal untuk menjimatkan masa apabila bangun pagi untuk ke tempat kerja. Selain tidak akan kelam kabut ketika bersiap awal pagi, pada masa yang sama anda dapat mencuri waktu tidur lebih lama.

Tiada ulasan: