SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

29 Disember 2010

BARISAN KHALID- CALON BEBAS NAFI KOMPROMI, SAINGAN SENGIT

Malaysia Insider
Oleh G Manimaran
December 29, 2010




PETALING JAYA, 29 Dis — Pemilihan pucuk pimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berlangsung pagi ini dengan dua kem yang bersaing dan barisan calon ‘bebas’ menafikan wujud kompromi minit-minit terakhir bagi mendapatkan sokongan, yang dipercayai boleh menentukan arah aliran undi.

Apa yang jelas, kempen minit-minit terakhir berterusan sehingga tengah malam tadi, dengan siri majlis diadakan dengan diiringi jamuan meraikan para perwakilan dan pengundi.

Di sebelah pagi semalam, kempen kelihatan rancak diadakan di pekarangan Wisma Peladang di sini sementara menanti majlis perasmian oleh Presiden MTUC Syed Shahir Syed Mohamud yang mahu mempertahankan jawatannya buat penggal ketiga. Suasana sedemikian dijangka akan disaksikan pagi ini.

Proses pengundian dijadual bermula 9 pagi manakala keputusan dijangka diketahui lewat petang. Syed Shahir berhadapan dengan cabaran timbalannya Khalid Atan.

Jawatan timbalan presiden menyaksikan persaingan tiga penjuru antara P Maniyam, Mohd Jafar Abd Majid dan Abdul Razak Md Hassan.

Sementara Maniyam berada dalam pasukan Syed Shahir, Abd Jafar berganding dengan Khalid manakala Abdul Razak bertindak calon bebas.

Ini kali pertama Abdul Razak turun gelanggang selepas ‘berehat’ selama hampir dua penggal.

Jawatan utama setiausaha agung juga menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid, Abdul Halim Mansor dan J Solomon.

Abdullah Sani berada dalam senarai ‘direstui’ kumpulan Syed Shahir manakala Abdul Halim, yang merupakan timbalan setiausaha agung, menyertai gandingan Khalid untuk mengambil alih jawatan itu daripada G Rajasekaran, yang memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatannya.

Solomon, yang menyertai persaingan kali ini ‘secara tiba-tiba’ dan mengejutkan banyak pihak, juga bertindak sebagai calon bebas sebagaimana Abdul Razak.

The Malaysian Insider difahamkan, kedua-dua Abdul Razak dan Solomon akan memainkan peranan signifikan dalam ‘memecah’ undi dalam saingan jawatan masing-masing.

Jarang ada persaingan tiga penjuru bagi jawatan-jawatan utama MTUC.

Malah, The Malaysian Insider difahamkan Solomon dan barisan Khalid membuat kompromi bagi jawatan setiausaha agung walaupun sudah ada barisan rasmi mereka.

“Kami dengar Khalid membawa Solomon bertemu dengan Rajasekaran untuk berkompromi bagi jawatan setiausaha agung. Kalau begitu apa maksudnya?” kata seorang perwakilan yang memihak kumpulan Syed Shahir.

Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan oleh Solomon, Abdul Halim dan Rajasekaran sendiri.

“Tidak, tidak. Abdul Halim masih dalam barisan Khalid. Dakwaan-dakwaan ini usaha minit terakhir untuk memecah undi dan sokongan,” kata Rajasekaran kepada The Malaysian Insider.

Rajasekaran menyokong Abdul Halim untuk bertanding jawatan setiausaha agung dan ia dilihat “rahsia terbuka” dalam MTUC.

“Kedua-dua mereka kawan lama, semua orang mengetahui perkara ini,” kata seorang perwakilan.

Abdul Halim juga menafikan wujud kompromi sedemikian.

“Kami masih kekal dengan pasukan kami, itu tidak benar,” kata beliau dengan merujuk kepada senarai pasukan mereka yang edarkan tengah hari semalam di luar dewan persidangan.

“Sehingga sekarang tiada perubahan, dan tidak akan ada perubahan. Pasukan kami ‘Daripada Pekerja Kepada Pekerja kekal, tiada perubahan. Saya yakin kumpulan kami ini akan menang untuk membawa perubahan dalam MTUC,” katanya.

Solomon yang diajukan soalan itu turut menafikan cakap-cakap sedemikian.

Malah Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) ini juga menafikan beliau dibawa oleh Khalid untuk bertemu dengan Rajasekaran.

“Tidak ada. Saya berjuang seorang diri tanpa pasukan, saya yakin dengan sokongan perwakilan. Kalau saya menang, saya akan bekerjasama dengan sesiapa saja,” kata beliau yang mengeluarkan manifesti 10 perkara.

Malah pekerja-pekerja pasukan kempennya kelihatan menaikkan banting mempromosikan cuti bersalin 90 hari, yang mereka berjaya peroleh untuk pekerja-pekerja perbankan dan kewangan baru-baru ini.

Ia menjadi salah satu modal kempen beliau bagi mendapatkan sokongan mereka yang berada di luar Wisma Peladang semalam.

Di sebalik cakap-cakap sedemikian, Abdullah Sani yang cuba kali kedua bertanding jawatan setiausaha agung berkata, beliau yakin akan melakukan kejutan kali ini selepas tewas hanya empat undi tiga tahun lalu.

“Berdasarkan sokongan yang diperlihatkan setakat hari ini (petang semalam), saya yakin boleh menang... saya yakin,” kata beliau.

Dalam manifestonya Solomon juga berkata, beliau menawarkan khidmat bagi merapatkan jurang pendapatan, mengambil langkah-langkah positif dan efektif untuk meminta kerajaan meminda Akta Kerja 1955 untuk menjadikan faedah cuti bersalin bagi semua pekerja wanita menjadi realiti dan menggesa pindaan ke atas undang-undang perburuhan yang berkaitan, antaranya Akta Perhubungan Perusahaan dan Akta Kesatuan Sekerja agar hak dan manfaat pekerja dilindungi dan diperbaiki.

Beliau juga mahu menjadikan MTUC sebuah pertubuhan yang efektif, yang boleh memikat rakyat pelbagai lapisan rakyat khususnya generasi muda.

Abdul Razak pula mengeluarkan manifesto 18 perkara dengan bertemakan “Pekerja Berwawasan, Negara Membangun”.

Antaranya beliau mahu kerajaan mewujudkan peruntukan undang-undang gaji minimum RM1,200, MTUC menghindari amalan berpuak-puak, memperkukuh MTUC, mendesak Persekutuan Majikan-majikan Malaysia lebih liberal dan prihatin dengan memberikan pandangan dan cadangan sebagai rakan dialog tiga pihak dan mahu kerajaan memberikan hak perundingan bersama setiap tiga tahun kepada kakitangan sektor awam.

Dalam pada itu, jawatan timbalan setiausaha agung disaingi R Jey Kumar dan Samueal Devadasan, yang sekarang merupakan setiausaha kewangan dan tewas dalam pertandingan jawatan setiausaha kewangan di Cuepacs minggu lalu.

Jawatan setiausaha kewangan juga menyaksikan saingan satu lawan satu antara Abdullah Abu Bakar dan Awang Ibrahim dan begitu juga jawatan timbalan setiausaha kewangan yang disaingi Jimmy Tong dan Md Helmee Abu.

Abdullah dan Jimmy, yang juga penyandang jawatan timbalan setiausaha kewangan, berada dalam kumpulan Khalid.

Jawatan naib presiden kategori swasta yang menawarkan lima kerusi ditandingi A Balasubramaniam, Robert Vijendran, Mohd Roszeli Majid, Bruno Pereira, K Brabakarun, S Nadarajan, J Ganesan Murty, S Somahsundram, Mohd Khir Mansor, Ng Choo Seong, Samsudin Usop dan Samshor Abdullah.

Kang Bee Leng, Rosilah Hashim dan Hashim Adnan telah menang tanpa cabaran tiga kerusi naib presiden sektor awam manakala empat orang bertanding tiga kerusi naib presiden badan-badan berkanun iaitu Zainal Ismail, Ahmad Helmi Ibrahim, S Subramaniam dan K Vinothan.

Seramai 552 perwakilan melibatkan 121 kesatuan akan mengundi hari ini.

MTUC mempunyai 260 kesatuan gabungan melibatkan sekitar 500,000 ahli dengan dua pertiga adalah kesatuan sektor swasta.

Tiada ulasan: