SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

01 Januari 2011

KESATUAN SEKERJA BUKAN BAYANGAN PARTI POLITIK

Berita Harian
Oleh S Anad Kumar
2010/12/31




MTUC harus bergerak bebas perjuang hak, kebajikan pekerja tanpa campur tangan pihak ketiga

DUA kesatuan sekerja terbesar di negara ini, CUEPACS dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) selesai mengadakan pemilihan tertingginya untuk memilih barisan kepemimpinan baru bagi menerajui kesatuan masing-masing untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Sebagai suara mewakili pekerja, kesatuan sentiasa mendapat perhatian pelbagai pihak kerana kelantangan menyuarakan hak pekerja yang sentiasa dianggap sebagai nadi pembangunan negara.
Pergerakan kesatuan sekerja bukan sesuatu yang baru di negara ini, malah ramai pemimpin kesatuan sekerja turut menjadi wakil rakyat seperti Allahyarham Ahmad Nor dan mendiang V David.

Ketika MTUC lantang memperjuangkan kebajikan pekerja, timbul pula pelbagai persoalan seperti apakah benar mereka berjuang untuk pekerja, masih relevan kesatuan sekerja di negara ini dan adakah benar kesatuan sekerja pada masa kini memihak kepada pembangkang?

Sebelum berlangsungnya pemilihan MTUC, banyak ahli kesatuan sekerja itu melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kepemimpinan tertinggi MTUC kerana mendakwa perjuangan kongres itu dilihat lebih menjurus kepada pembangkang.

Ada pemimpin kanan MTUC turut menyampaikan rintihan mereka berhubung perkara itu dan menegaskan sebagai sebuah kesatuan sekerja, MTUC harus bergerak bebas tanpa memihak mana-mana parti politik.
Apakah mandat 475 perwakilan daripada 119 kesatuan gabungan yang memilih Timbalan Presiden MTUC, Mohd Khalid Atan sebagai pemimpin utama kesatuan sekerja itu, kelmarin dapat dijayakan Presiden baru.

Mohd Khalid yang baru sepenggal menjadi orang nombor dua MTUC membuat ‘kejutan’ menewaskan penyandang, Syed Shahir Syed Mohamud yang sudah dua penggal menerajui kepemimpinan tertinggi kongres itu.

Syed Shahir yang juga ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) gagal mempertahankan kerusinya buat penggal ketiga selepas menerima 213 undi, manakala Mohd Khalid yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkayuan Malaysia mendapat 255 undi.

Menjelang pemilihan MTUC setiap tiga tahun sekali, pertembungan dua kumpulan berbeza dalam kesatuan sekerja itu seolah-olah sudah menjadi tradisi sejak 1980.

Seperti biasa, pada pemilihan MTUC kali ini wujud dua puak dalam kongres itu iaitu kumpulan Syed Shahir dan bekas Setiausaha Agung, G Rajasekaran yang juga seorang pemimpin veteran.

Sebelum pemilihan, ramai kalangan perwakilan menunjukkan sokongan terhadap kumpulan Rajasekaran atau lebih dikenali sebagai kumpulan ‘dari pekerja untuk pekerja’, seolah-olah menjadi satu isyarat mahu menolak kepemimpinan politik dalam MTUC.

Sebaik saja keputusan diumumkan kira-kira jam 8.45 malam, hampir 80 peratus calon daripada kumpulan Rajasekaran berjaya memenangi jawatan dalam pemilihan kali ini.

Abdul Halim Mansor yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Setiausaha Agung selama 12 tahun, dipilih sebagai Setiausaha Agung dengan mendapat 188 undi menewaskan dua lagi calon iaitu Ahli Parlimen PKR Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid (165) dan J Solomon (117).

Rajasekaran yang sudah 17 tahun memegang jawatan Setiausaha Agung membuat keputusan tidak lagi mempertahankan jawatannya dan memberi laluan kepada pemimpin lain untuk mengisi kerusi itu.

Kebanyakan pemimpin MTUC memandang tinggi sumbangan Rajasekaran kepada golongan pekerja di negara ini dan menyifatkan beliau berundur secara terhormat serta mengalu-alukan pemimpin veteran itu membantu MTUC pada setiap masa.

Sementara itu, Rajasekaran memberitahu Berita Harian, bahawa beliau tidak bermusuh dengan mana-mana pihak, tetapi dirinya secara terbuka menyokong Mohd Khalid dan Abdul Halim kerana melihat kedua-dua pemimpin itu mampu memimpin MTUC dengan cemerlang.

“Setiap orang berhak menyertai mana-mana parti politik, kita tidak boleh menghalang perkara itu, tetapi jangan biarkan MTUC ‘dipimpin’ parti politik atau kita memihak kepada mana-mana parti politik.

“Sebagai kesatuan sekerja kita perlu bergerak bebas dengan terus lantang memperjuangkan nasib pekerja, itu namanya kesatuan sekerja, kita bukannya parti politik..., sesuatu isu atau masalah pekerja harus diselesaikan secara bersama bukannya emosional,” katanya.

Rajasekaran berkata, kesatuan sekerja di negara ini sentiasa dipandang tinggi oleh kerajaan kerana di Malaysia tiada kesatuan sekerja yang dianggap sebagai ancaman kepada kerajaan.

“Kesatuan sekerja di sini sentiasa patuh kepada undang-undang, kita tidak menganjurkan piket secara besar-besaran sehingga boleh menjejaskan negara, kadang-kala piket yang dibuat pun secara kecil saja, tetapi kemudian kita selesaikan masalah pekerja menerusi saluran yang betul,” katanya.

Melihat kepada keputusan pemilihan MTUC kali ini, apakah lebih 500,000 ahli kongres itu mahu kepemimpinan baru dipilih benar-benar berjuang untuk kaum pekerja dan bergerak bebas tanpa memihak. Apapun Presiden MTUC yang baru, Mohd Khalid bersama barisan kepemimpinannya akan merangka strategi baru untuk menyelesaikan masalah pekerja seterusnya memastikan kongres itu sentiasa bersatu padu.

Temu bual bersama Mohd Khalid:

ADAKAH saudara menjangka akan memenangi jawatan presiden selepas pertama kali bertanding?

Saya membuat keputusan bertanding kerana ingin membawa perubahan dalam MTUC selepas mendapat sokongan padu daripada ahli. Bagaimanapun saya berkempen dengan cara saya sendiri tanpa terlalu yakin kerana Syed Shahir berpengalaman luas dalam MTUC. Saya jelaskan kepada perwakilan mengenai misi dan visi kumpulan saya dan reaksi yang diberikan sungguh positif, malah pada hari kedua persidangan, mereka memberi sokongan padu kepada kami.

Segelintir pihak melihat MTUC sebagai sebuah parti ‘politik’, bagaimana saudara mahu mengikis persepsi ini?

Perlembagaan MTUC secara jelas menyatakan bahawa kongres itu bergerak bebas tanpa memihak kepada mana-mana parti politik, kita berkecuali daripada politik, sebaliknya akan terus berjuang membela kebajikan golongan pekerja. Pada masa sama, kita tidak boleh menghalang ahli kongres untuk menyertai mana-mana parti politik. Maklumlah kita ada lebih 500,000 orang, tetapi pada masa sama, kita perlu ingat kepada perjuangan MTUC. Kita tidak mahu MTUC ‘dipimpin’ oleh parti politik.

Apakah perancangan seterusnya?

Kita tidak mahu menyembunyikan apa-apa perkara dalam MTUC... sejak kebelakangan ini berlaku sedikit perpecahan dalam kesatuan sekerja kita. Selepas ini, saya bersama barisan kepemimpinan baru mahu menguatkan MTUC, selain menyatupadukan ahli-ahli kita.

Ada yang melihat budaya piket sering menjadi ‘pilihan’ MTUC apabila mahu memperjuangkan isu pekerja?

Ramai melihat piket ini sebagai budaya negatif, sebenarnya ia dibenarkan dalam perlembagaan kesatuan sekerja dengan syarat diadakan berdekatan tempat kerja, tetapi perlu diingat, piket bukannya jalan penyelesaian. Saya yakin sesuatu isu atau masalah pekerja dapat diselesaikan menerusi saluran yang betul atau secara perbincangan bersama dengan pihak tertentu.

Apakah isu pekerja yang akan terus diperjuangkan MTUC selepas ini?

Kita akan terus memberi fokus kepada beberapa perkara seperti pelaksanaan gaji minimum, kebajikan pekerja sektor swasta, cukai barangan dan perkhidmatan serta kebanjiran pekerja asing.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

minta cuepacs bincang pasal gaji sama teruk perbelanjaan sekarang semua naik..minyak naik,barang makanan naik mcm mana menteri2 tk pe la depa semua kaya raya org bawahan penjawat awam,rakyat miskin mcm mana...nama malaysia tapi semua kena bayar cukai sana sini...kasihanilah penjawat awam sama...ikutkan tahun ini pelarasan gaji dh masuk 5 tahun dah..contoh pm dato abdullah badawi bleh bg gaji naik banyak....tengok dato najib buat 1 mlsia bgus tapi kebajikan kakitangan awam kena la bg sama gaji...saya selaku ahli kesatuan meminta cuepacs perjuangkan sama elaun2 cola supaya diselaraskan elaun rumah dinaikan mana ada rumah sew rm sebulan 180 dah sekarng...rumah kg pun dh sewa sbulan 250....mcm mana penjawat awam nk maju mcm ni nk berjaya dalam wawasan 2020 semua tergugat nk belanja pun kena berjimat....tapi kita masih syukur sebab hujung bulan tekan gaji ada....saya berharap kepada barisan tertinggi cuepacs yg menang pemilihan sbg penyambung ahli kesatuan jangan duduk diam saja ok fikir sama masalah kakitangaawam dh menang jalan tugas yang dilaksanakan.....tahniah cuepacs 2011 barisan yang mantap........