Utusan Malaysia
18/4/2017
18/4/2017
JERANTUT
 18 April - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) 
mengalu-alukan cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam 
Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk mewujudkan pangkalan data berpusat 
bagi menapis semua jenis permohonan pinjaman oleh penjawat awam.Presidennya, Datuk Abdul Fattah 
Abdullah berkata, cadangan berkenaan dilihat relevan bagi mengelak 
penjawat awam memiliki jumlah pinjaman melebihi 60 peratus daripada baki
 gaji mereka.
“Kita mencadangkan supaya satu
 sahaja agensi yang dilantik untuk menyelaras permohonan pinjaman ini 
bagi mengelakkan berlakunya tekanan hutang dalam kakitangan awam yang 
teruk,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Negeri 
Angkasa Pahang Zon 2 di Pusat Latihan Teknologi Tinggi Temin di sini, 
hari ini.
Jumaat lalu, CUEPACS dilapor menyarankan 
Jabatan Akauntan Negara mewujudkan satu pangkalan data berpusat untuk 
menapis semua jenis permohonan pinjaman oleh penjawat awam.Presiden
 CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, langkah itu perlu dilakukan sebelum 
Jabatan Akauntan Negara meneruskan hasrat untuk melaksanakan sekatan 
bayaran potongan gaji penjawat awam sehingga maksimum 60 peratus 
daripada jumlah gaji kasar menerusi sistem gaji berkomputer.
Menurut Abdul Fattah, Angkasa turut menawarkan diri untuk memberikan kemudahan bagi menyelaras permohonan pinjaman itu. Katanya,
 Angkasa memiliki sistem kawalan bersepadu yang boleh membantu bukan 
sahaja kakitangan kerajaan malah pemohon pinjaman lain.
Dalam
 perkembangan lain, beliau berkata, Angkasa juga mengalu-alukan cadangan
 Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi memudahkan penubuhan sesebuah 
koperasi dalam usaha menggalakkan lebih banyak koperasi berdaya saing di
 negara ini.
“Galakan ini selari dengan matlamat kerajaan yang menyasarkan sekurang-kurangnya 16,000 koperasi ditubuhkan menjelang 2020.“Sehingga
 kini, sebanyak 13,500 koperasi ditubuhkan di seluruh negara dengan 
keahliannya seramai lapan juta orang,” katanya. - UTUSAN ONLINE

