SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2021 : PEKERJA TERAS, ,MENDEPANI CABARAN

30 Ogos 2021

CUEPACS gesa ketua jabatan kenal pasti petugas tidak daftar vaksinasi

 Berita Harian
30 Ogos 2021


KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) menggesa semua ketua jabatan supaya mengenal pasti petugas yang tidak mendaftar untuk vaksinasi atau masih belum menerima suntikan imunisasi COVID-19.

Presidennya, Adnan Mat, berkata proses mengenal pasti itu perlu dilakukan segera bagi membolehkan maklum balas diperoleh mengenai punca mereka belum mendaftar.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum 2.2 peratus penjawat awam masih tidak mendaftar bagi suntikan vaksin COVID-19, namun terlalu awal untuk membuat rumusan bahawa golongan itu menolak vaksinasi.

"Ada kemungkinan penjawat awam terbabit belum mendaftar kerana mempunyai alahan, mengandung atau keadaan kesihatan tidak mengizinkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, Adnan berkata, ketua jabatan perlu mengadakan sesi pertemuan dengan petugas masing-masing, selepas proses mengenal pasti bagi mengetahui dan menyelesaikan permasalahan dihadapi mereka, sekali gus dapat menyampaikan maklumat berkaitan kebaikan vaksin.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga berharap kerajaan dapat menyegerakan proses vaksinasi individu telah mendaftar termasuk kira-kira 30,000 penjawat awam, yang masih belum memperoleh tarikh janji temu.

Dalam hal itu, katanya, CUEPACS melihat pelaksanaan pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak di premis dan jabatan kerajaan, boleh menyelesaikan proses vaksinasi penjawat awam yang masih belum mendapat janji temu.

"Setiap jabatan mempunyai data kakitangan yang lengkap, dan proses vaksinasi boleh berjalan dengan lancar jika ia dilakukan di premis kerajaan, selain dapat mengelakkan kesesakan," katanya.

Adnan turut menasihati penjawat awam supaya tidak mengabaikan tanggungjawab mereka menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), dan seterusnya memastikan persekitaran selamat di jabatan masing-masing.

Beliau menjelaskan, keengganan pihak tertentu untuk divaksin hanya akan mendedahkan risiko kepada rakan sekerja sehingga mewujudkan persekitaran tidak selamat di tempat kerja. – BERNAMA

Tiada ulasan: