SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

12 Jun 2009

HAK PEKERJA MALAYSIA DIPELIHARA, ILO DIBERITAHU

Utusan Malaysia
12/06/2009




PUTRAJAYA 12 Jun — Malaysia berjaya mengurangkan kesan sosial berikutan kemelesetan ekonomi global terutamanya terhadap tenaga kerjanya melalui langkah segera dan proaktif, Persidangan Buruh Antarabangsa (ILO) di Geneva, Switzerland diberitahu.
“Kita adakan mekanisme pemantauan tiga pihak tertinggi bagi memastikan impak krisis ekonomi ini tidak menjejaskan hak pekerja kita,” kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam pada ILO ke-98 Khamis.
Beliau berkata pakej rangsangan pertama dan kedua yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia telah meringankan impak krisis ekonomi itu.
“Pakej rangsangan itu menumpukan pengwujudan peluang pekerjaan baru untuk golongan belia dan graduan menganggur, menyediakan kemahiran semula kepada pekerja yang diberhentikan kerja dan memperkenalkan langkah-langkah untuk memendekkan waktu bekerja sementara menjalani latihan bagi pekerjaan yang disasarkan dalam mengelakkan pemberhentian kerja.
“Ia juga membantu pencari kerja dengan menyediakan maklumat mengenai corak pasaran yang ada dan kekosonagn pekerjaan,” katanya dalam ucapan pada persidangan tahunan itu. Teks ucapan beliau diperoleh di sini hari ini. - Bernama

11 Jun 2009

CUEPACS, JPA RUNDING PENGELUARAN 20 PERATUS GRATUITI

Utusan Malaysia
11/6/2009



JOHOR BAHRU 10 Jun - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sedang berunding dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (JPA) untuk membenarkan kakitangan kerajaan yang sudah berkhidmat lebih 20 tahun mengeluarkan 20 peratus wang gratuiti mereka.
Presidennya, Omar Osman berkata, langkah itu merupakan satu cara untuk mengelak kakitangan kerajaan khususnya kumpulan sokongan daripada terjebak dengan skim cepat kaya dan berhutang dengan ah long.
Katanya, kebanyakan kakitangan kerajaan terpaksa menanggung beban hutang yang banyak sehingga menyebabkan ada antara mereka terpaksa berhutang dengan ah long.
"Pihak JPA sedang meneliti cadangan tersebut dan setakat ini kami sudah mendapat maklum balas positif.
"Sekiranya cadangan ini diterima, kakitangan kerajaan yang sudah berkhidmat lebih daripada 20 tahun boleh mengeluarkan sebanyak 20 peratus wang gratuiti mereka menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis makan malam sempena Seminar Kebangsaan Teknologi Makmal (SKETMA Ke-9) di sini semalam.
Omar berkata, perbincangan mengenainya sudah dimulakan sejak tiga minggu lalu dan SPA sedang meneliti secara terperinci cadangan tersebut.
Beliau berkata, mereka yang ingin mengeluarkan wang pendahuluan gratuiti tersebut akan dikenakan beberapa syarat tertentu bagi mengelakkan wang berkenaan disalurkan ke tempat yang tidak sewajarnya.
"Kami akan membenarkan mereka mengeluarkan wang tersebut untuk tujuan pendidikan, membaiki serta membesarkan rumah dan juga untuk tujuan mengerjakan haji dan umrah.
"Mereka juga akan dibenarkan berbuat demikian untuk tujuan menyelesaikan segala tunggakan hutang yang ditanggung," katanya.

BANTAH SWASTA SISA PEPEJAL

Utusan Malaysia
11/6/2009



ALOR SETAR 10 Jun - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan mengkaji cadangan melaksanakan penswastaan sisa pepejal di Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak mulai Ogos ini.

Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, cadangan itu perlu dikaji semula bagi memastikan kebajikan kira-kira 25,000 pekerja sokongan perkhidmatan sisa pepejal dalam organisasi pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri terbabit tidak terabai.

"Kami mahu kerajaan mengadakan perbincangan secara terperinci dengan CUEPACS sebelum melaksanakan perkara ini.

"Kami harap dapat berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selewat-lewatnya 27 Jun ini sebelum mesyuarat kesatuan berlangsung di Perak," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Semalam, kira-kira 400 pekerja PBT dari negeri ini mengadakan piket secara aman di Bangunan Persatuan Lungyen di sini bagi membantah penswastaan sisa pepejal itu.

Menurut Omar, CUEPACS tidak bersetuju dengan pilihan yang diberikan oleh pihak majikan kepada pekerja jika pengurusan sisa pepejal diswastakan.

"Pekerja diberi dua pilihan iaitu diserapkan ke dalam syarikat swasta yang akan mengambil alih pengurusan sisa pepejal atau bersara," ujarnya.

Jelas Omar, CUEPACS tidak bersetuju dengan pilihan yang diberi itu kerana pihak kesatuan mahu pekerja yang terlibat diserapkan ke dalam Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.

Selain itu, katanya, pilihan lain yang dicadangkan oleh CUEPACS ialah pihak PBT mengekalkan pekerja-pekerja tersebut dan diberi tugas di dalam unit-unit lain.

Jelas Omar, jika pekerja-pekerja diserapkan ke dalam Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam mereka akan menikmati faedah seperti petugas-petugas awam yang lain.

"Kami mahu pekerja-pekerja ini menikmati bonus, kenaikan gaji, faedah perubatan serta pencen sama seperti kakitangan awam yang lain.

"Kami tidak menghalang penswastaan ini namun biarlah dengan pelaksanaannya kebajikan pekerja-pekerja terjaga serta tidak teraniaya," tambahnya.

10 Jun 2009

CUEPACS BIMBANG PEKERJA BAWAHAN PBT TERABAI

Metro
10/6/2009




ALOR STAR: “Kami tidak menolak sebarang bentuk penswastaan, tetapi kami menolak pelaksanaan itu kerana kami cuma mahu kebajikan pekerja bawahan dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak terabai,” kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Sektor Awam (Cuepacs), Omar Osman.Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 atau pelaksanaan penswastaan sisa pepejal di negeri ini mulai Ogos ini.Omar berkata, pelaksanaan itu tidak membawa kebaikan kepada pekerja sokongan I dan II PBT yang akan dinafikan hak untuk menikmati kemudahan yang terdapat dalam skim perkhidmatan kerajaan.“Pelaksanaan itu tidak menjejaskan kakitangan atasan dan mereka akan terus menikmati skim kerajaan kerana status mereka sebagai kakitangan awam dikekalkan.

CUEPACS: CONCERN OVER WELFARE OF WORKERS ABSORBED INTO PRIVATISED FIRMS

The Star
10/6/2009




ALOR SETAR: Cuepacs wants the Federal Government to review the move to privatise solid waste management at all local authorities.
The congress is concerned about the welfare of the workers if they are absorbed into the companies that take over the services when privatisation takes effect in October.
Cuepacs president Omar Osman said the Government must ensure that all garbage collection workers remain under the local governments.
‘‘We welcome the Government’s plan to privatise solid waste management but it must consider the impact on the workers if they are forced to join the private companies.
“Cuepacs wants the workers to continue to enjoy the benefits they receive now under the local government such as their pension and bonuses,” he said after meeting with some 400 garbage collection workers in Kedah yesterday.
The workers had assembled here to underline their concerns about the privatisation exercise. There are a total of 25,000 unionised garbage collection workers nationwide, 5,000 of them in Kedah.
Omar said Cuepacs hoped to meet with Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak or his deputy Tan Sri Muhyiddin Yassin to discuss the matter before the congress’ annual meeting on June 27 in Perak.
He added that the congress would embark on a nationwide tour to meet garbage collectors to try and allay their concerns.

CUEPACS MAHU 5,000 PEKERJA PBT DISERAP KE DALAM PERBADANAN

Bernama
10/9/2009




ALOR SETAR, 9 Jun (Bernama) -- Cuepacs mahu 5,000 pekerja Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di wilayah utara diserap ke dalam perbadanan berikutan tindakan kerajaan menswastakan pengurusan sisa pepejal pada Ogos ini.Presidennya Omar Osman berkata pihaknya tidak membantah penswastaan pengurusan sisa pepejal tetapi mahu kerajaan mengkaji semula perkara tersebut."Kita tak bantah jika kerajaan nak menswastakan pengurusan sisa pepejal tetapi kita tak mahu 5,000 pekerja Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ini dibawa ke penswastaan," katanya kepada pemberita pada majlis ceramah mengenai ssu penswastaan sisa pepejal zon utara di sini Selasa.Pelaksanaan penswastaan pengurusan sisa pepejal itu akan dilaksanakan pada bulan Ogos ini di wilayah Utara iaitu Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan."Seramai 5,000 penjawat awam ini diberikan dua pilihan iaitu sama ada masuk ke swasta atau bersara, ini akan menyusahkan mereka," kata beliau.Omar berkata Cuepacs juga mahu isu penswastaan pengurusan sisa pepejal dikaji semula, ditangguhkan ataupun dibatalkan.Katanya kerajaan tidak harus hanya mementingkan keuntungan sedangkan nasib pekerja terabai."Saya akan bawa perkara ini kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sebelum mesyuarat kongres di Perak pada 27 Jun ini."Kami akan membuat roadshow ke seluruh negara selepas ini untuk menjelaskan isu ini kepada semua penjawat awam yang terlibat," kata beliau.-- BERNAMA

09 Jun 2009

PBT TOLAK PENSWASTAAN SISA PEPEJAL - CUEPACS

Media Cuepacs
9/6/2009


Alor Setar - Isu taklimat semasa Cuepacs telah diadakan di Dewan Lun Yen serta piket isu bantahan penswastaan sisa pepejal di PBT. Majlis ini dihadiri oleh Tuan Hj. Omar Osman Presiden Cuepacs, En. Azih Muda Timbalan Presiden Cuepacs I merangkap Presiden Anuale Malaysia, Pegawai Kanan Cuepacs dan Pegawai-pegawai Kesatuan Anuale. Presiden Tn. Hj. Omar membantah sekeras-kerasnya penswastaan sisa pepejal ini kerana melibat pemberhentian kakitangan yang dibawah sektor awam. Kemana mereka hendak mencari kerja pada masa sekarang? keadaaan ekonomi yang tidak stabil. Beliau menyeru kepada kerajaan supaya kakitangan yang terlibat diserap ke Perbadanan. Lebih kurang 500 orang ahli kesatuan yang hadir semasa perhimpunan ini. Kakitangan yang terlibat adalah dari sokongan 1 & 2 berjumlah 512 orang. Selepas taklimat Presiden bersama rombangan ke pejabat SUK Negeri Kedah menyerahkan memorandum bantahan. - arhmn







Sidang akhbar didalam dewan


Hantar memorandum bantahan di Pejabat SUK

05 Jun 2009

TAKLIMAT ISU SEMASA TIMBALAN PRESIDEN CUEPACS DAN MAJLIS PERASMIAN CAWANGAN SMSU SEMPORNA DI HOSPITAL SEMPORNA SABAH

Media Cuepacs
5/6/2009




SEMPORNA SABAH - Majlis Perasmian Cawangan SMSU Semporna telah di rasmikan oleh Timbalan Presiden II Cuepacs En. Husain Mohd Yasin. Turut hadir sama Pengarah Hospital Semporna Dr. Amran b, Japar, Presiden SMSU En Mariman Muntial, Setiusaha Agung SMSU En. Laurence. Kata alu-aluan dimulakan dengan Pengerusi Penyelaras Tuan Hj. Ismael Jalani. Kemudian Pengarah Hospital dan presiden SMSU seterusnya Timbalan Presiden Cuepacs. Pada asalnya Presiden Cuepacs yang akan merasmikan program ini. Oleh kerana ada program yang lebih penting beliau kena hadir lalu digantikan oleh Timbalan presiden cuepacs En. Husin. Dalam ucapan Tim Presiden meyampaikan isu terkini KUP yang terbaru, memohon pengeluaran 20% gratuiti dan GCR. Tujuan memohon pendahuluan pengeluaran Gratuiti adalah bagi membantu kewangan dari segi pendidikan, pembelian rumah dan lain-lain bagi mengelakan pinjaman dibuat kepad ceti, ah long dan bank. Dalam soal jawab isu semasa berbagai soalan ditanya iautu mengenai cola, elaun rumah, elaun kritikal m ex-gratia dan lain-lain lagi.
Timbalan Presiden menyaran agar kakitangan meningkatkan mutu kerja bagi menambah produktivi.









PENJAWAT AWAM TERBABIT RASUAH DITAMAT PERKHIDMATAN

Berita Harian
5/6/2009



KUALA LUMPUR: Seramai 1.2 juta penjawat awam di negara ini diberi amaran tidak terbabit dengan amalan rasuah kerana jika terbukti bersalah tindakan ditamatkan perkhidmatan akan dilakukan bagi menjaga nama baik sektor itu. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata pihaknya juga mahu mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai perlakuan rasuah membabitkan penjawat awam segera melaporkannya kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut. “Kalau tak ada orang beri, tak ada orang yang menerima (rasuah)... kedua, kalau tak lapor susah juga, kalau dari segi sayalah, kalau orang lapor, (maka) saya (akan) tahu (mengenai perlakuan rasuah), tapi jangan menganiaya orang.
“Kalau kita tahu memang sahih dia itu (terbabit) rasuah, maka kita perlu ambil tindakan setimpal dengan kesalahan dilakukannya. “Selain tindakan mahkamah, mereka juga tertakluk kepada peraturan semasa, kalau diperuntukkan mereka dibuang kerja, maka mereka akan dibuang kerja,” katanya selepas Majlis Perasmian Penutup Program Jalinan Ilmu 2009 antara Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Melawati Dua dan SK Cherok Paloh, Kuantan, Pahang di sini, semalam. Akhbar semalam melaporkan, kaji selidik mengenai rasuah di negara ini mendapati parti politik dan kakitangan awam dikenal pasti sebagai kumpulan paling teruk dicemari gejala itu.
Hasil kajian Barometer Rasuah Global (GCB) yang diumumkan Transparency International (TI) itu menunjukkan parti politik menduduki tangga teratas statistik rasuah dengan 42 peratus disusuli kakitangan awam (37 peratus), sektor swasta dan perniagaan (12 peratus), badan kehakiman (lima peratus), wakil rakyat (empat peratus) serta satu peratus pihak media. Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Sektor Awam (Cuepacs), Omar Osman ketika dihubungi bagi mengulas hasil kaji selidik GCB itu menganggap hasil kajian berkenaan sebagai tidak adil dan kurang tepat kerana selepas penambahbaikan sektor awam dilakukan ia secara tidak langsung menunjukkan perlakuan rasuah semakin berkurangan.

PEMEGANG BIASISWA JPA DISARAN BERI KERJASAMA

Berita Harian
Oleh Faiza Zainudin & Khairunnisa Kamarudin
bhnews@bharian.com.my
5/6/2009



KUALA LUMPUR: Pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang enggan bekerja dengan kerajaan selepas tamat pengajian akan disaman serta diarah membayar kos pengajian yang ditanggung kerajaan. Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam, berkata pihaknya yang kini menguatkuasakan peraturan itu secara lebih tegas akan mengemukakan senarai nama mereka kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut kerana melanggar perjanjian. Selain itu, pelajar perlu membayar semula kos sebenar yuran pengajian yang ditanggung kerajaan sehingga RM1 juta mengikut bidang pengajian.
“Syarat mewajibkan semua pemegang biasiswa tajaan JPA berkhidmat dengan kerajaan sebaik tamat pengajian sudah lama dilaksanakan dan bukan sesuatu yang baru. Pelajar tahu perkara ini, kalau mereka langgar kontrak, kena bayar denda... kalau mereka tidak mahu bayar, kita akan cari penjamin. “Peraturan ini adalah ketat dan sekarang ada lebih 200 pelajar yang sudah langgar kontrak dan mereka dikenakan tindakan tegas,” katanya semalam. Beliau mengulas laporan akhbar kelmarin bahawa semua pemegang biasiswa JPA mesti bekerja dengan kerajaan mulai tahun ini.
Ketua Setiausaha Negera, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, tahun ini saja JPA menggunakan dana awam sebanyak RM750 juta untuk menaja 2,000 pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran di luar negara. Mengulas lanjut, Ismail berkata tidak timbul soal pelajar tidak mahu berkhidmat dengan kerajaan kerana mereka bersetuju dengan syarat selain khidmat mereka amat diperlukan. “JPA taja pengajian bagi bidang kritikal, jadi jawatan seperti doktor memang banyak kosong dan mereka perlu kerja sekurang-kurangnya 10 tahun dengan kerajaan. “Masa ekonomi gawat (1997) dulu kerajaan bagi pelepasan dengan membenarkan mereka bekerja dengan swasta tetapi sekarang kita kekurangan tenaga kerja dalam bidang kritikal,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Sektor Awam (Cuepacs), Omar Osman, berkata keputusan itu dapat membantu menyelesaikan masalah kekurangan kakitangan mahir dalam sektor awam. “Kita harap kerajaan bertegas dengan keputusan ini supaya tiada pelajar yang mendapat biasiswa JPA melepaskan diri berkhidmat dalam sektor awam, sekali gus dapat memenuhi kekurangan tenaga mahir terutama bidang perubatan. Bekas Ketua Pengarah JPA dan Penasihat Persatuan Pesara Kerajaan, Tan Sri Abdullah Ayob, mahu kerajaan menguatkuasakan syarat wajib itu bagi menghadapi masalah kekurangan tenaga pakar di negara ini. “Dulu ada juga syarat macam ini, tapi tidak begitu ketat. Sekarang perlu dikuatkuasakan bagi memastikan pelajar berkhidmat dengan kerajaan tanpa sebarang alasan,” katanya.

04 Jun 2009

20 PERATUS GRATUITI SEBELUM BERSARA

Sinar
4/6/2009


BANDARAYA MELAKA - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Sektor Awam (Cuepacs) akan memcadangkan kepada kerajaan agar membenarkan kakitangan awam mengeluarkan 20 peratus daripada jumlah ganjaran perkhidmatan (gratuiti) masing-masing sebelum meraka bersara.

Presidennya, Omar Osman berkata , pengeluaran itu bagi membolehkan kira-kira 1.3 juta kakitangan awam menampung perbelanjaan mereka, lebih-lebih lagi ketika ekonomi dunia tidak stabil ketika ini.

"Cuepacs akan memohon kepada kerajaan agar membenarkan pengeluaran 20 peratus itu kepada kakitangan yang berkhidmat melebihi 20 tahun.

"Kita Berharap melalui pengeluaran ini mereka dapat menampung perbelanjaan seharian , ataupun menggunakan wang berkenaan untuk keperluan keluarga seperti untuk tujuan pendidikan, urusan perumahan dan sebagainya.

Ïni adalah wang mereka, dan sebaliknya kerajaaan membenarkan pengeluaran dilakukan sebagai pendahuluan kepada mereka yang mempunyai masalah kewangan,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Kesatuan Pekerja-Pekerja Risda Semenanjung Malaysia, di Dewan Tun Si Lanang, Pejabat Risda, di sini semalam.

Hadir sama Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Risda (KPPR) Semenanjung Malaysia, Shamsudin Mohd Nor , Pengurusi KPPR Cawangan Negeri, Kamilah Abdul, dan Pengarah Negeri Md Tahir Othman.

Omar berkata, wang hasil pengeluaran ini dapat menghalang kakitangan awam daripada berhutang dengan pihak tidak bertanggungjawab seperti ceti haram, seperti ah long atau kepada pihak bank lain.

02 Jun 2009

KEPERHATINAN KERAJAAN TERHADAP SOKONGAN 1 & 2

Media Cuepacs
2/6/2009




Saya merasa gembira dan bangga dengan pengumuman yang telah dibuat oleh Perdana Menteri,YAB Dato' Seri Najib Bin Tun Hj Abd Razak berkenaan peluang kenaikan yang akan dinikmati oleh kakitangan awam kumpulan sokongan semasa beliau menghadiri Hari Pekerja anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam dan Cuepacs pada 14 Mei yang lalu. Saya gembira kerana Kerajaan menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan kakitangan Kumpulan Sokongan terutama Kumpulan Sokongan 2.Saya bangga kerana saya turut memainkan peranan utama didalam usaha memperjuangkan isu kenaikan pangkat Kumpulan Sokongan terutama Kumpulan Sokongan 2. Dengan pengumuman itu ia telah memberi sinar harapan yang baru dan peransang kami selaku kakitangan Kumpulan Sokongan 2 untuk terus memberikan khidmat yang sebaik mungkin kepada seluruh masyarakat,Insya Allah.

Namun begitu,semenjak dari tarikh pengumuman tersebut hampir 3 minggu yang lalu,isu berkenaan perkara tersebut menjadi tajuk perbualan yang hangat dimana-mana sahaja termasuk didalam akhbar-akhbar harian.Saya ingin berkongsi pandangan dengan seluruh kakitangan awam termasuklah juga Saudara Ridzuan Mahmud dan 2 orang kakitangan awam yang menghantar komen mereka didalam ruangan blog Cuepacs ini.Saya bersetuju dan merasa simpati dengan apa yang diluahkan oleh ketiga-tiga orang kakitangan awam tersebut namun juga saya merasa dukacita dan terkilan dengan komen mereka bertiga terhadap kami kakitangan awam kumpulan sokongan.

Saya adalah seorang Pekerja Awam R1 di Jabatan Kerja Raya Kuala Kangsar.Jawatan yang saya sandang sekarang termasuk didalam kategori Kumpulan Sokongan 2 (Gred 1-16).Saya telah di lantik ke jawatan sekarang pada 2 Mei 1997 dengan gaji asas P1 T3 RM 434.00,ditambah dengan elaun khidmat awam RM65.00 dan Elaun Perumahan RM90.00,saya memperolehi RM589.00. Hasil daripada perjuangan Cuepacs,saya memperolehi pelbagai kenaikan samaada gaji dan elaun dan kini,setelah 12 tahun berkhidmat,saya memperolehi gaji dan elaun RM1782.38.Namun apa yang mendukacitakan ialah,Jabatan Perkhidmatan Awam telah menetapkan Skim Perkhidmatan Pekerja Awam R1 hanya diperuntukkan pergerakan gaji sehingga T14 sahaja bagi setiap baris-baris gaji dari P1 hinggalah P3.Gaji permulaan semasa lantikan pertama telah ditetapkan pada P1T3,ini bermakna setiap penyandang R1 akan kerugian 2 tahun pergerakan gaji.Saya telah mula menerima kesannya sekarang iaitu gaji saya telah mencapai tahap maksimum P3 T14 RM1307.38 pada tahun lepas, sedangkan pada 2 Mei yang lalu saya baru sahaja menyambut ulang tahun ke 12 perkhidmatan saya dalam Kerajaan. Untuk renungan semua,saya akan menempuh selama 22 TAHUN lagi untuk mencapai umur persaraan saya pilihan saya 56 tahun iaitu pada 2031.Cuba saudara-saudara fikirkan,adakah cukup RM1782.38 untuk saya menyara keluarga saya untuk tempoh 22 tahun akan datang?Jumlah gaji yang saya jumlahkan tersebut setelah ditambah Elaun Rumah,Elaun Khidmat Awam dan Cola berjumlah RM455.00. Andaikata Kerajaan menarik balik pemberian elaun-elaun tersebut, berapa yang tinggal? Jumlah tersebut belum ditolak pembayaran balik pinjaman perumahan,koperasi dan caruman-caruman lain.Saya merasa begitu dukacita apabila Saudara Ridzuan Mahmud mempertikaikan dan mengungkit-ungkit pemberian kenaikan gaji 35% pada tahun 2007 kepada kaiktangan sokongan 2 oleh Kerajaan seolah-olah jumlah yang kami terima itu menjangkau ribuan ringgit.
Untuk makluman semua, semasa pemberian kenaikan gaji 35% untuk Kumpulan sokongan 2 pada 2007, saya hanya memperolehi RM338.90 berdasarkan jumlah gaji asal saya sebelum kenaikan iaitu P3T14 RM968.48. Walaupun jumlah tersebut tidaklah terlalu besar namun saya amat bersyukur kehadrat ilahi dan amat berterima kasih kepada Cuepacs yang tidak kenal erti penat dan jemu memperjuangkan nasib anggota sektor awam.

Untuk makluman Saudara Ridzuan Mahmud dan kepada seluruh kakitangan awam,masih ada kakitangan kumpulan Sokongan 2 yang syarat kelayakan masuk untuk jawatan yang dipohon masih menggunakan kelulusan tamat darjah 6,bunyinya macam pelik bukan?Tetapi itulah hakikatnya.Negara telah mencapai Kemerdekaan hampir 52 tahun yang lalu,telah banyak kemajuan yang dicapai,pembangunan semakin pesat,tahap pendidikan negara semakin pesat dengan wujudnya pelbagai IPTA dan IPTS ibarat Tumbuhnya Cendawan selepas Hujan,namun bagi sesetengah jawatan didalam Kumpulan Sokongan 2 seperti Pekerja Awam R1,Pemandu Kenderaan R3,Jaga R1,Pekerja Awam Khas R3 masih menggunakan kelulusan Tamat Darjah Enam sebagai syarat kelayakan masuk sebagaimana yang telah ditetapkan olah Jabatan Perkhidmatan Awam.Gaji kami juga dibayar berdasarkan kelulusan tersebut.Disini saya ingin bertanya kepada Ridzuan Mahmud dan kepada semua yang memepertikaikan apa yang Cuepacs perjuangkan untuk kami,adilkah kami dilayan sebegitu? Mungkin Ridzuan Mahmud akan beranggapan selayaknya kami dibayar gaji berdasarkan kelulusan Tamat Darjah Enam kerana kelayakan kami hanya setakat itu.Pendapat itu mungkin betul sekiranya penjawat-penjawat jawatan yang saya sebutkan tadi menyertai Perkhidmatan Awam pada tahun 60'an,70'an atau 80'an,namun saya ingin menyatakan disini tidak semua kakitangan sokongan 2 yang mempunyai kelulusan setakat Darjah Enam,tetapi ada yang mempunyai kelayakan lebih tinggi seperti SRP/PMR,SPM malah ada Pekerja Awam di jabatan saya mempunyai kelulusan STPM.Saya sendiri mempunyai kelulusan SPM dengan kepujian Bahasa Malaysia.Saya telah mencuba memohon pelbagai jawatan dengan kelayakan akademik yang saya miliki seperti Pembantu Tadbir N17,Penyelia Asrama N17 dan beberapa jawatan lagi namun sehingga hari ini,Allah Subhanahu Wataala masih mentakdirkan keatas diri saya rezeki saya adalah Pekerja Awam R1.Saya rela dan saya redha apa yang telah ditakdirkan oleh ilahi.Namun Tuhan telah mentakdirkan isteri saya juga akhirnya menjadi seorang kakitangan awam didalam Kumpulan Sokongan 1 di sebuah Jabatan Kerajaan di Kuala Kangsar.

Di era globalisasi ini,kita sebagai rakyat Malaysia tidak boleh terlalu memilih kerjaya.Kelayakan akademik yang dimiliki oleh seseorang individu itu bukanlah penentu kepada kerjaya yang diceburinya.Walaupun seseorang itu graduan IPTA atau IPTS,janganlah terlalu mengimpikan kerjaya yang selesa.Saya ingin menasihatkan kepada Ridzuan Mahmud dan kepada sesiapa yang mempertikaikan apa yang Cuepacs perjuangkan untuk Kumpulan Sokongan ,kami juga kakitangan Kerajaan yang menabur bakti kepada seluruh masyarakat.Kamilah yang membuat kerja menurap jalan,mengangkat sampah,mencuci longkang,memadamkan kebakaran,memperbaiki paip air pecah,memandu ambulan membawa pesakit ke hospital dan pelbagai bidang tugas lagi yang tidak termampu untuk saya catitkan satu persatu.Kami bertugas tak kira siang atau malam,panas atau pun hujan.Saudara Ridzuan Mahmud dikira beruntung kerana mendapat suasana bekerja yang agak selesa sedangkan saya terpaksa menahan panahan cahaya mentari setiap hari dan hujan.Dan inilah yang terpaksa saya tempuhi untuk tempoh 22 tahun yang mendatang. Kami juga manusia yang memerlukan makanan,pakaian dan tempat tinggal dan kami juga memepunyai tanggungjawab menyara keluarga.Cuba Saudara Ridzuan Mahmud fikirkan nasib Anggota Kumpulan Sokongan 2 yang hanya mendapat pendapatan seperti saya tetapi bertugas dibandar-bandar besar terutamanya Lembah Kelang.Andaikata Saudara Ridzuan Mahmud mengalami sendiri apa yang kami alami barulah saudara tahu bagaimana tinggi rendahnya langit itu.

Saya yakin saudara Ridzuan Mahmud tidak menjadi ahli Kesatuan ditempat beliau bertugas.Sekiranya beliau menjadi ahli Kesatuan,beliau pasti akan faham apa itu perjuangan Kesatuan Sekerja dan tidak sewenang-wenangnya beliau memberikan komen yang negatif dan memperlecehkan apa yang diperjuangkan oleh Cuepacs.Saya ingin menasihatkan kepada diri saya,dan seluruh kakitangan awam yang beragama Islam,terutama Saudara Ridzuan Mahmud iaitu menuntut ilmu adalah sesuatu yang wajib didalam Islam.Rasullulah S.A.W pernah bersabda maksudnya "Menuntut ilmu adalah wajib ke atas Muslimin dan Muslimin".Jadi tidak timbul isu menuntut ilmu kerana mengimpikan jawatan yang lebih baik berdasarkan kelayakan didalam Sektor Awam.Kita sebagai seorang Islam mestilah redha dan bersyukur diatas apa yang telah dikurniakan oleh Ilahi kepada kita.Jangan hanya berterima kasih kepada Kerajaan tetapi berilah juga penghargaan kepada Cuepacs yang telah banyak menabur bakti kepada seluruh kakitangan awam tanpa mengira seseorang kakitangan awam itu menjadi ahli atau tidak menjadi ahli kesatuan sekerja.Bagi kakitangan Awam yang membaca komen saya ini,sekiranya anda seorang Kakitangan Awam Kumpulan Sokongan yang layak menjadi ahli Kesatuan,segeralah berjumpa pemimpin-pemimpin Kesatuan sekerja dijabatan masing-masing,isilah borang menjadi ahli dan barulah anda layak menikmati apa yang kami perjuangkan.Jangan hanya menumpang atas hasil usaha penat lelah ahli-ahli Kesatuan di seluruh Negara sedangkan anda hanya berpeluk tubuh memerhatikan apa yang Cuepacs perjuangkan.

Izham Ku Zaifah,
Kuala Kangsar.

TIMUR: CUEPACS AKAN HANTAR SYOR PELARASAN ELAUAN SARA DIRI

Berita Harian
2/6/2009




KUALA TERENGGANU: Cuepacs Terengganu akan menghantar cadangan lengkap pelarasan pembayaran elaun sara diri RM300 sebulan kepada setiap penjawat awam di negeri ini minggu depan, berikutan kesediaan kerajaan negeri menimbang cadangan itu yang bertujuan meringankan beban kewangan kakitangan awam. Pengerusinya, Azih Muda, berkata sebagai penghargaan kepada keprihatinan kerajaan negeri terhadap bebanan kewangan dihadapi pekerja perkhidmatan awam di negeri ini, Cuepacs berikrar memastikan setiap penjawat awam memberikan perkhidmatan terbaik, memperkemas sistem penyampaian bagi membantu kerajaan negeri melaksanakan agenda pembangunan mapan secara tersusun. Beliau berkata, penjawat awam di negeri ini mesti bersyukur dengan kesediaan kerajaan negeri menimbang permohonan elaun sara diri itu dengan memberikan komitmen penuh terhadap kerja dan menambah baik mutu perkhidmatan sebagai penghargaan kepada keprihatinan kerajaan negeri.
"Cuepacs berbesar hati dan menyambut baik kesediaan awal kerajaan negeri untuk menimbang permohonan itu. Saya yakin, usaha ini mampu menyuntik semangat baru kepada kakitangan awam mempertingkatkan mutu perkhidmatan ke tahap lebih baik. Saya berazam supaya kakitangan di Terengganu dapat menjadi penjawat awam contoh kepada pekerja kerajaan di seluruh negara. "Penjawat awam khususnya di negeri ini kini tidak boleh lagi mempunyai masa untuk melepak dan memberi tumpuan penuh terhadap tugas. Buktikan penghargaan sebenar kita kepada kerajaan negeri yang mengambil berat kebajikan kita sebagai kakitangan awam," katanya ketika dihubungi semalam. Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mokhtar Nong bahawa kerajaan negeri sedia menimbang permintaan Cuepacs negeri untuk membayar elaun sara diri sebanyak RM300 sebulan kepada lebih 12,000 kakitangan awam negeri.
Beliau berkata, kerajaan negeri kini menunggu permohonan secara rasmi daripada Cuepacs negeri berhubung cadangan penyelarasan elaun sara diri kakitangan awam, termasuk peringkat pegawai dan kumpulan sokongan untuk dibincangkan dalam mesyuarat Exco negeri.

01 Jun 2009

LARANGAN MEROKOK DI PEJABAT

Berita Harian
Oleh Faiza Zainudin
1/6/2009




Cuepacs bincang dengan JPA tegas elak kakitangan awam abai peraturan

KUALA LUMPUR: Cuepacs akan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengeluarkan arahan melarang semua kakitangan awam merokok di tempat kerja masing-masing tidak kira dalam pejabat atau pe karangan jabatan. Presidennya, Omar Osman, berkata surat pekeliling juga akan dikeluarkan kepada setiap kakitangan dalam masa terdekat, bagi mengingatkan mereka tindakan bakal diambil sekiranya ingkar terhadap arahan itu.

Beliau berkata, mana-mana kakitangan yang didapati merokok dalam premis tempat kerja masing-masing akan dipanggil ketua jabatan untuk tindakan lanjut. Katanya, usaha itu bagi mendisiplinkan kira-kira 1.2 juta kakitangan awam dan orang ramai supaya tidak merokok apabila berurusan dengan jabatan kerajaan. “Jabatan kerajaan dilarang terus merokok, tidak kira kawasan lobi, kaunter, kawasan berhawa dingin dan pekarangan pejabat, lebih mudah untuk penguat kuasaan.
“Selama ini, jabatan kerajaan ada sediakan kawasan zon larangan merokok tetapi tidak dipatuhi kakitangan termasuk pegawai atasan yang merokok sesuka hati termasuk di biliknya sehingga menimbulkan rungutan orang ramai. “Kini Cuepacs cadang semua kawasan pejabat kerajaan diwarta zon larangan merokok dan akan bincang perkara ini dengan JPA dalam masa terdekat, serta buat pekeliling sebagai peringatan dan amaran, mana-mana kakitangan yang didapati merokok akan dipanggil peringkat jabatan... jadi kakitangan akan terikat sikit untuk merokok,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan terbaru kerajaan untuk mewartakan dua lagi kawasan zon larangan merokok iaitu di tempat kerja yang mempunyai sistem pendingin hawa berpusat dan lobi hotel. Kelmarin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, dilaporkan berkata cadangan itu yang akan diwartakan tidak lama lagi itu amat perlu bagi melindungi kepentingan kesihatan orang ramai terutama yang tidak merokok.
Sehingga kini, terdapat 22 zon larangan merokok termasuk kaki lima kompleks membeli-belah, restoran dan kafe terbuka di luar premis. Sementara itu, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pihaknya menyambut baik usaha kerajaan menambah zon larangan merokok, pada masa sama mahu kerajaan meningkatkan penguatkuasaan. Beliau berkata, kerajaan juga perlu membanyakkan papan tanda larangan merokok di tempat awam serta mengadakan lebih banyak kempen larangan. “Masyarakat juga perlu memainkan peranan membantu kerajaan dengan membuat teguran terhadap mereka yang merokok di tempat awam,” katanya.

PULANGAN LANJUT PELAJARAN TIDAK SETIMPAL

Utusan Malaysia
1/6/2009





TULISAN Ridzuan Mahmud dari Kuala Lumpur bertajuk CUEPACS abaikan lulusan universiti bertarikh 26 Mei lalu mengimbau kenangan sedih, pilu tahun 2007 setelah pelarasan gaji dibuat atas tuntutan CUEPACS.
Saya adalah salah seorang kakitangan kerajaan yang bernasib malang. Saya menyahut cabaran kerajaan supaya kakitangan awam meningkatkan ilmu pengetahuan untuk diri, bangsa dan negara.
Saya tidak pernah menyalahkan kerajaan kerana saya tahu ia adalah ketidakprihatinan manusia sendiri. Saya pasrah dengan rezeki yang Allah telah tentukan untuk saya.
Mungkin disebabkan kes saya ini hanya satu dalam seribu jadi semua pihak tidak begitu sensitif dalam membuat sebarang tuntutan.
Untuk pengetahuan, saya adalah seorang guru DGA29 yang telah menyambung pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan cuti separuh gaji pada tahun 2001, iaitu sebanyak RM551.65 sebulan.
Saya terpaksa berulang-alik dari UPSI ke Terengganu setiap minggu kerana saya ada tanggung jawab lain terhadap suami, tiga anak saya yang masih kecil yang berumur antara tiga bulan hingga lima tahun. Juga tanggung jawab terhadap kedua orang tua yang semakin uzur.
Syukur kerana saya diberi pinjaman PTPTN yang membolehkan saya menampung kehidupan saya selama tiga tahun pengajian. Terima kasih PTPTN.
Akhirnya saya dapat menghabiskan pengajian saya tanpa menyusahkan pensyarah, UPSI dan juga kerajaan. Pada tahun 2004, saya dapat menggenggam segulung ijazah yang kini menjadi perangsang kepada anak-anak saya untuk berjaya.
Namun begitu selama tiga tahun pengajian, saya dapati banyak kerugian yang saya alami.
Di antaranya ialah:
*Saya kehilangan separuh dari gaji saya.
*Gaji saya selama 3 tahun adalah statik.
*Saya terpaksa membayar balik pinjaman PTPTN yang menampung pengajian saya.
*Saya kehilangan masa bersama keluarga terutama dengan anak-anak yang sedang membesar.
*Paling menyedihkan, saya terlepas ke gred DG32.
Jika masa boleh diputarkan semula, saya tidak mungkin memilih untuk belajar sepenuh masa. Lebih baik saya belajar secara Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) yang tidak membebankan saya dan memberikan banyak faedah. Di antaranya ialah:
*Bergaji penuh.
*Gaji tidak statik.
*Belajar di maktab yang berdekat dengan rumah.
*Tidak perlu berhutang kerana bergaji penuh.
*Dapat DG32 apabila cukup 10 tahun.
*Tidak membazir wang dan masa.
Pada 16 Mei 2004 saya melapor diri di sebuah sekolah menengah di Besut, Terengganu. Saya menyimpan hasrat untuk menabur bakti yang tidak terhingga untuk anak-anak bangsa saya.
Saya ditawarkan dengan gred DG41 pada mata gaji PIT4 dengan gaji RM1710.60. Pada masa yang sama kawan-kawan saya yang tidak menyambung pengajian memperoleh gaji pada gred DG32 pada mata gaji PiTI dengan gaji RM1932.85 tanpa bersusah payah menimba ilmu.
Pada tahun 2007 pula satu kejutan yang amat tidak munasabah dibuat oleh CUEPACS apabila menuntut pelarasan gaji yang tidak selaras dan tidak peka kepada keadaan semasa.
Bayangkan saya yang sudah bergaji kecil mendapat 15 peratus kenaikan dan kawan-kawan saya mendapat 25 peratus kenaikan.
Orang yang tidak bersekolah pun boleh menghitung perbezaan gaji antara saya dengan kawan-kawan saya. Betapa beruntungnya mereka yang tidak menyambung pengajian.
Ini tidak termasuk peluang kenaikan pangkat menjadi guru kanan.
Hari ini saya sekali lagi kecewa apabila CUEPACS menuntut kenaikan gaji khas untuk pekerja sokongan sahaja.
Dengan kata lain, sebagai kakitangan kerajaan tak payah nak susah-susahkan diri untuk belajar.
Tanpa berbuat demikian pun nasib mereka terus beruntung dan sentiasa dibela sehinggakan mereka yang hanya kelulusan SPM mempunyai gaji jauh lebih tinggi berbanding gaji yang berkelulusan ijazah.
Wajarkah perkara ini berlaku dan haruskah berlaku?

ANTARA GURU, PEGAWAI KERAJAAN

Utusan Malaysia
1/6/2009





Saya adalah salah seorang kaki tangan kerajaan. Isu CUEPACS Abaikan Lulusan Universiti tulisan Ridzuan Mahmud, Kuala Lumpur dan jawapan PTK Bukan Penentu Kenaikan Pangkat oleh Nik Noraini Nik Ya, Ketua Unit Komunikasi Korporat, Perkhidmatan Awam yang disiarkan di ruangan ini 26 Mei lalu mendorong saya meluahkan isi hati.

Terlebih dahulu saya ingin mengulas tulisan Saudara Ridzuan Mahmud yang menyatakan bahawa golongan pendidik DG 41 dan DG 44 menerima arahan daripada pegawai Pejabat Pendidikan yang mempunyai gred lebih rendah.

Saya sangat bersetuju. Ada ketikanya suara mereka lebih tinggi daripada kami. Kami pula kelihatan seperti kerani bergred rendah.

Sebenarnya bukan itu sahaja. Kami (golongan pengurusan dan profesional) yang berkhidmat di sekolah tidak mendapat hak yang sepatutnya seperti yang diterima oleh rakan-rakan kami yang sama kategori tetapi berkhidmat di jabatan atau kementerian.

Kalau mereka boleh duduk di bilik masing-masing kerana sudah menjadi penolong pengarah sekurang-kurangnya pada gred 41 dan 44, kami di sekolah jauh sekali.

Kami duduk bersesak-sesak dalam satu bilik. Lebih 10 tahun berkhidmat pun masih lagi menjadi guru biasa. Tetapi kami tak kisah kerana ini pilihan kami. Berkhidmat untuk negara.

Kenaikan pangkat rakan kami di jabatan atau kementerian juga lebih cepat berbanding kami.

Kami di sekolah terpaksa menunggu lebih lama ke jawatan sekurang-

kurangnya Penolong Kanan kerana kekosongan yang terhad.

Oleh itu, tidak hairanlah sebahagian besar daripada kami yang pencen dengan jawatan guru biasa sahaja.

Perkara ini hendak buat tak kisah pun tidak boleh juga kerana kami beranggapan kami juga berhak seperti rakan kami di jabatan atau kementerian.

Berilah kami hak yang sama rata dengan rakan-rakan kami di jabatan atau kementerian.

Menteri Pelajaran sebelum ini dan Menteri Pelajaran terkini telah pun mengumumkan pertambahan jawatan Guru Cemerlang dan memperkenalkan jawatan Guru Tingkatan Enam sebagai membantu kenaikan pangkat golongan pendidik. Tetapi perkara yang berlaku tidak seperti yang dikatakan.

Pada tahun 2007, kami beramai-ramai mengisi permohonan jawatan Guru Cemerlang sebagai menyahut seruan Menteri Pelajaran.

Selepas dinilai Jemaah Nazir dan mereka berpuas hati dengan prestasi kami, keputusan yang dinanti dengan penuh debaran tidak kunjung tiba.

Teruk sangatkah kami ini sehingga tidak layak dilantik sebagai Guru Cemerlang sedangkan saban tahun kami melahirkan pelajar cemerlang dan ramai yang memasuki IPT?

Seterusnya saya ingin merujuk tulisan Nik Noraini Nik Ya yang mengatakan bahawa PTK bukan penentu kenaikan pangkat. Terdapat syarat-syarat lain seperti kecekapan, kelayakan, pengetahuan, kemahiran dan pengalaman, sifat-sifat peribadi dan lain-lain.

Sedap hati membacanya. Tetapi kenapakah permohonan kami untuk jawatan Guru Tingkatan Enam ditolak kerana semata-mata telah dilantik ke DG 44, dan tidak atau belum mempunyai keputusan DG 44 pada aras III atau IV, sedangkan kami telah mempunyai pengalaman dan pengetahuan mengajar kelas tingkatan enam lebih daripada 10 tahun.

Saya terkilan rakan DG 41 yang baru tiga tahun mengajar tingkatan enam (syarat permohonan tiga tahun mengajar tingkatan enam dan lulus PTK) telah dilantik ke jawatan ini dan diberikan kenaikan ke DG 44.

Dengan kata lain, guru yang baru posting pada tingkat DG 41 dengan mudahnya dinaikkan ke DG 44 hanya dalam tempoh tiga tahun.

Bukan iri hati tetapi di manakah logiknya?

Kami yang baru dilantik ke DG 44 awal tahun ini setelah melalui time base selama 10 tahun diketepikan oleh kerajaan.

Kami diminta memohon semula selepas lulus PTK DG 44 yang akan diambil pada Ogos nanti.

Lantikan mungkin akan hanya dibuat pada tahun hadapan. Itu pun kalau kuota 5:3:2 di sekolah masih belum dipenuhi. Kalau kuota DG 48 Guru Tingkatan Enam sudah dipenuhi alamat gigit jarilah kami.

Pada peringkat permulaan ini semua guru yang sedang mengajar tingkatan enam masih dibenarkan mengajar tingkatan enam sehingga 2011.

Selepas itu apakah nasib kami apabila kami tidak dilantik tetapi telah mengajar pelajar tingkatan enam berbelas tahun lamanya? Malah ada dalam kalangan kami merupakan pemeriksa kertas STPM.

Tidakkah ini merugikan? Bukan kenaikan DG yang kami rebut tetapi minat kami yang lebih mendalam untuk mengajar pelajar tingkatan enam ini harap dipertimbangkan.

Jangan jadikan jumlah kami yang ramai ini sebagai alasan untuk menidakkan hak kami. Mohon Menteri Pelajaran membantu kami merungkai masalah ini.

29 Mei 2009

100,000 PEMINJAM KETAKUTAN

Berita Harian
29/5/2009



KUALA LUMPUR: Cuepacs mendedahkan kira-kira 100,000 kakitangan awam hidup dalam ketakutan selepas diburu kumpulan along kerana gagal melunaskan pinjaman mereka. Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata jumlah itu (kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan kakitangan awam) amat membimbangkan kerana ia boleh menjejaskan produktiviti dan perkhidmatan. Katanya, hasil kajian pihaknya mendapati kakitangan awam terbabit mula mendapatkan pinjaman along sejak tiga tahun lalu dan sehingga kini majoriti daripada mereka masih tidak mampu melunaskan pinjaman terbabit.
“Akibatnya pekerja terbabit diganggu along hampir setiap hari termasuk ada yang menunggu di pintu masuk pejabat. “Ada pekerja yang ponteng dan sanggup dikenakan tindakan disiplin semata-mata hendak mengelak diganggu along di tempat kerja,” katanya dihubungi, semalam.
Ahmad Shah berkata, kebanyakan kakitangan awam meminjam wang daripada along adalah pekerja kumpulan profesional dan ke bawah.

100,000 DICENGKAM AH LONG

Bernama
29/5/2009


KUALA LUMPUR 28 Mei - CUEPACS hari ini menggesa institusi kewangan menyediakan peruntukan khas bagi memberi pinjaman peribadi kepada petugas awam yang terperangkap dengan pinjaman wang ah long.
Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd. Zin memberitahu, 10 peratus atau kira-kira 100,000 petugas awam berada dalam cengkaman ah long dan petugas ini memerlukan bantuan.
Beliau berkata, kebanyakan mereka diganggu oleh ah long hampir setiap hari dan ini menjejas produktiviti mereka.
Beliau berkata, jika institusi kewangan boleh membantu, ini amat disambut baik oleh kerana adalah lebih murah dan selamat bagi petugas awam berurusan dengan institusi berkenaan daripada dengan al long.
Ahmad Shah memuji Malaysia Building Society Berhad (MBSB) kerana memperuntukkan RM100 juta bagi menyediakan pinjaman peribadi untuk guru-guru.
Pengerusi MBSB, Tan Sri Abdul Halim Ali, ketika mengumumkan demikian semalam berkata, pinjaman maksimum di bawah skim itu ialah RM150,000 bagi tempoh 15 tahun pada kadar faedah 5 peratus setahun. MBSB turut memperkenalkan skim serupa kepada polis Mac lepas.
Ahmad Shah berkata, bank dan institusi kewangan lain wajar mencontohi MBSB.
Beliau juga berharap MBSB akan memperluaskan kemudahan pinjaman kepada kategori petugas lain.
Katanya, adalah satu langkah yang berdaya maju jika bank dan institusi kewangan memberi pinjaman kepada petugas awam oleh kerana bayaran balik pinjaman boleh dipotong dari gaji bulanan menerusi ANGKASA - badan koperasi kebangsaan. Ahmad Shah menggesa pihak berkuasa memperhebat kempen menghapus aktiviti ah long yang mengganggu masyarakat.

BERNAMA

28 Mei 2009

CUEPACS MINTA LIMA TANGGA KENAIKAN GAJI SELEPAS GAJI MATI PENJAWAT AWAM

Bernama
28/2/2009





KOTA BAHARU, 26 Mei (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan mengemukakan tuntutan untuk menaikkan tangga gaji mati penjawat awam kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Jun ini.Presidennya, Omar Osman berkata, Cuepcas akan meminta tambahan lima mata tangga gaji dan jika ia dipersetujui
kerajaan, ia akan 'menceriakan' lebih 45 peratus daripada 1.2 juta penjawat awam di negara ini yang kini sudahpun mencecah tangga gaji mati."Kita nak minta tambah lagi lima mata tangga gaji, memorandumnya sudah dilengkapkan dan akan diserah kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat, mungkin Jun ini."Ini kerana ada penjawat awam yang tangga gaji mati awal dan mereka masih mempunyai tempoh berkhidmat lagi 20 atau 30 tahun. Kita fikir perkara ini perlu sebab kita nak jaga produktiviti. Kalau tidak ada kenaikan tahunan, ia akan menjejaskan prestasi," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.Menurut beliau, tuntutan itu merangkumi semua gred gaji.Dalam perkembangan lain, beliau berkata CUEPACS juga meminta kerajaan supaya menimbangkan pemberian elaun khas kepada penjawat awam berpakaian seragam yang bekerja di waktu malam."Kita nak minta kerajaan beri insentif khas kepada petugas penguatkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis, kastam, jururawat dan seumpamanya yang bekerja malam, daripada pukul 12 hingga 6 pagi. Hal ini telah dibincangkan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)."Sekurang-kurangnya mereka yang kerja malam ni istimewa, kerana risiko yang dihadapi mereka tinggi dari segi keselamatan dan kesihatan," katanya

BERNAMA



CUEPACS ABAIKAN LULUSAN UNIVERSITI

Utusan Malaysia
28/5/2009

Saya secara peribadi berbangga menjadi seorang warga kakitangan Kerajaan Malaysia walaupun tidak berjawatan tinggi. Namun khidmat bakti, komitmen dan taat setia kepada kerajaan tidak pernah berbelah bahagi.
Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada kepimpinan Datuk Seri Najib bin Tun Razak yang dikenali pembela kakitangan kerajaan sejak menerajui Kementerian Pertahanan, Kementerian Pelajaran mahupun sebagai Perdana Menteri.
Namun persoalan saya apakah hala tuju perjuangan kepimpinan CUEPACS yang dilihat hanya memperjuangkan penambahbaikan bagi kakitangan sokongan sahaja. Adakah nasib kami lepasan universiti tidak layak untuk diperjuangkan?
Untuk makluman, golongan kami ibarat telah dijadikan anak tiri. Tuntutan pelarasan gaji yang diluluskan oleh kepimpinan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi, hasil perjuangan CUEPACS, telah menjadikan gaji antara kami lebih rendah berbanding gaji rakan yang tidak ke universiti.
Ini berlaku hasil gerakan mata gaji 25 peratus bagi kumpulan sokongan dan hanya 15 peratus untuk kami. Kemudian beberapa keistimewaan kenaikan pangkat dipermudahkan ke gred 32 dan sehingga ke gred 38 yang mana jumlah gaji hampir menyamai gaji Pengetua Gred DG 48!
Saya berpendapat kedudukan ini amatlah unik di mana golongan yang belajar tinggi mendapat gaji lebih rendah berbanding mereka yang tidak ke menara gading. Jika tidak, masakan heboh saban hari golongan guru DG 41 yang melanjutkan pelajaran meminta pihak berwajib menimbang kedudukan mereka yang rendah gaji, bukan oleh rakan yang sama keluar maktab, malah gaji junior dari maktab pun melebihi mata gajinya.
Memang lebih pelik jika berkhidmat di sekolah, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah DG 41, mahu pun DG 44, akan menerima arahan dan tugasan daripada pegawai di Pejabat Pelajaran yang mempunyai gred DG 29 atau DG 32 walau pun penstrukturan baru ada menunjukkan penambahan pegawai DG 41.
Berita terbaru menambahkan lagi keistimewaan kumpulan sokongan di mana 15 tahun berkhidmat automatik mendapat kenaikan pangkat. Itu belum lagi tuntutan yang akan dibuat untuk memohon penambahan Elaun Cola dan Elaun perumahan bagi kumpulan sokongan ini.
Tahniah diucapkan kepada kepimpinan CUEPACS yang menjadi pembela golongan sokongan. Namun pastikan mereka itu menjadi nadi penggerak utama dasar dan menjadi penyokong setia kerajaan di waktu senang dan susah serta tidak menjadi duri dalam daging kerajaan pada waktu pilihan raya nanti.

RIDZUAN MAHMUD
Kuala Lumpur