SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

31 Julai 2009

FOMCA BIMBANG MENGENAI PENGUASAAN PIHAK ASING DALAM GLC

Bernama
31/7/2009




PETALING JAYA, 31 Julai (Bernama) -- Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) hari ini menggesa kerajaan lebih berhati-hati apabila menyenaraikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di pasaran saham kerana ia akan memberi kesan terhadap aspek kebajikan penduduk dan negara.Setiausaha Agungnya Muhammad Shaani Abdullah berkata apa yang dibimbangkan ialah penyenaraian itu mungkin akan melenyapkan terus kawalan dalam syarikat terbabit dan menyebabkan ia dikuasai pihak asing.Beliau berkata demikian semasa mengulas laporan mengenai sebuah syarikat berpengkalan di Hong Kong, Wang Tak Co Ltd, yang menjadi pemegang saham terbesar Padiberas Nasional Berhad (Bernas), yang merupakan sebuah GLC yang memonopoli import beras.Wang Tak kini memiliki 31.36 peratus daripada 470.4 juta saham dalam Bernas.Muhammad berkata Fomca tidak menentang pelaburan asing atau pembabitan syarikat asing dalam pertumbuhan ekonomi negara, namun ia amat bimbang dengan pengurusan syarikat-syarikat berkenaan."Pelabur di seluruh dunia hanya berminat dengan keuntungan semata-mata dan tidak mempedulikan soal lain, jadi mereka tidak boleh diharap untuk memiliki tanggungjawab sosial dalam menyumbang kepada pembangunan negara," katanya kepada Bernama di sini Jumaat."Oleh itu aset negara perlu dipastikan supaya tidak dikawal oleh orang asing kerana perlahan-lahan mereka ini akan mengikis hartanya, dan memindahkan ia ke negara mereka sendiri," tambahnya.Sementara itu Cuepacs turut menyuarakan kebimbangannya mengenai liberalisasi perkhidmatan kesihatan dalam negara.Setiausaha Agungnya Ahmad Shah Mohd Zin berkata di bawah rancangan liberalisasi yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, syarikat-syarikat asing akan diberikan kebenaran menubuhkan hospital-hospital swasta dalam negara, di samping turut dibenarkan mengimport doktor serta petugas perubatan sendiri.Beliau berkata kemudiannya Pertubuhan Pengurusan Penjagaan Kesihatan Asing (MCO) dan Pertubuhan Pengurusan Kesihatan (HMO) hospital ini akan membawa rangkaian kerja mereka yang tirut membawa bersama syarikat insurans untuk membekalkan pakej insurans kepada penduduk tempatan.Katanya perkembangan ini mungkin baik jika dilihat di atas kertas kerana ia akan membawa persaingan dan menambah baik perkhidmatan kesihatan serta hospital tempatan, namun realitinya ia akan menjejaskan sistem rawatan kesihatan sedia ada.Beliau berkata ini kerana ia akan menimbulkan suasana perebutan tenaga pakar, doktor, petugas paramedik dari hospital-hospital kerajaan, sekaligus memburukkan lagi masalah 'brain drain' dan menjejaskan kualiti perkhidmatan.Katanya MCO dan HMO bersama dengan syarikat-syarikat insurans akan menguasai sistem perkhidmatan kesihatan sekaligus menafikan kumpulan berpendapatan rendah daripada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.Ahmad Shah berkata 90 peratus daripada penjawat awam bergantung kepada perkhidmatan kesihatan kerajaan dan sekiranya perkhidmatan itu terjejas, mereka akan menjadi pihak yang terinaya, terutama golongan pesara."Oleh itu kami merayu kepada kerajaan supaya berhati-hati dalam membuka perkhidmatan kesihatan kepada pihak asing," katanya.-- BERNAMA

30 Julai 2009

BINCANG ISU POTONGAN BULANAN

Berita Harian
30/7/2009




KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan mengadakan pertemuan dengan Akauntan Negara untuk mendapatkan khidmat nasihat sebelum mengambil alih perkhidmatan potongan bulanan bagi pinjaman sektor awam daripada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), 7 Ogos ini. Presidennya, Omar Osman, berkata kongres juga akan menubuhkan satu jawatankuasa khas yang akan membuat penyelidikan dan kajian mengenai cadangan itu untuk melihat impak serta kebaikannya kepada 1.2 juta kakitangan awam. "Kongres tidak berhasrat untuk mengambil alih perkhidmatan potongan bulanan bagi pinjaman sektor awam daripada Angkasa dalam tempoh terdekat ini.
"Sebaliknya, kongres mahu mengadakan pertemuan dengan Akauntan Negara terlebih dulu bagi mendapatkan khidmat nasihat mengenai perkara itu," katanya ketika ditemui di sini, semalam. Sebelum ini, Cuepacs menggesa Kementerian Kewangan membenarkannya mengambil alih perkhidmatan potongan bulanan bagi pinjaman sektor awam daripada Angkasa bagi membolehkan kongres itu memanfaatkan komisen daripada perkhidmatan itu untuk faedah 1.2 juta kakitangan kerajaan. Kongres itu mendakwa Angkasa memperoleh RM8.1 bilion setahun dalam bentuk komisen dengan menyediakan perkhidmatan potongan bagi sektor awam dan swasta.
Omar berkata, cadangan untuk mengambil alih perkhidmatan potongan bulanan bagi pinjaman sektor awam daripada Angkasa, bertujuan untuk menyelaraskan sistem potongan terbabit di kalangan kakitangan awam secara lebih sistematik. "Sememangnya idea ini lahir daripada ahli kongres sendiri yang meminta supaya Cuepacs mengambil alih perkhidmatan terbabit, malah secara tidak rasmi juga ada kakitangan awam yang melaporkan terdapat masalah dalam sistem pemotongan gaji mereka sekarang. "Cadangan ini juga tidak bererti kita tidak mahu bekerjasama dengan Angkasa, malah kita berhasrat untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada Angkasa serta menjalinkan kerjasama dalam bidang tertentu," katanya. Beliau berkata, berkata bagi mengambil alih perkhidmatan terbabit daripada Angkasa, Cuepacs memerlukan dana sekurang-kurangnya RM16 juta termasuk tenaga kerja mencukupi bagi melaksanakannya.
Katanya, sekiranya perkhidmatan terbabit diambil alih Cuepacs, ia akan memberi manfaat dan faedah yang begitu banyak kepada sektor awam.

SENTRAL: BAWA BEKAL DARI RUMAH DIDIK PENGGUNA BERJIMAT

Berita Harian
Oleh Nurhasyima Hasim
nurhasyima@bharian.com.my
30/7/2009




Kempen simbolik Fomca sempena Hari Tidak Berbelanja PETALING JAYA: Krisis ekonomi ketika ini membuatkan setiap individu mengeluh memikirkan kaedah terbaik untuk berjimat terutama dari aspek perbelanjaan harian. Namun tanpa disedari, pelbagai cara sebenarnya boleh dilakukan bagi memastikan wang gaji diterima mencukupi sehingga hujung bulan. Sebagai pemudah cara bagi meringankan beban masyarakat Malaysia khususnya dalam soal menguruskan perbelanjaan dan kewangan, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) tampil dengan kempen membawa bekal untuk makan tengah hari.
Kempen itu dianjurkan sebagai simbolik kepada sambutan Hari Tidak Berbelanja yang dirai bagi kali kedua pada 16 Julai lalu, selepas sambutan pertamanya tahun lalu dengan matlamat memberi kesedaran kepada pengguna supaya menilai semula tabiat berbelanja mereka selama ini. Sehubungan itu juga, lebih 40 kakitangan dan ahli jawatankuasa Fomca serta ahli gabungannya berkumpul di Tasik Aman dekat sini, bagi menikmati makanan dibekal seperti sandwic, nasi dan lauk yang disediakan sendiri dari rumah sekali gus menyahut seruan kempen yang mahu orang ramai mengelak daripada membelanjakan wang untuk membeli makanan di luar. Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC), Paul Selva Raj, berkata makan tengah hari di kedai menjadi kebiasaan bagi mereka yang bekerja dan jika dihitung jumlah yang perlu dibelanjakan dalam sebulan adalah banyak.
“Itu belum lagi dicampur dengan belanja bagi makan malam dan pagi selain keperluan harian. Justeru, melalui acara makan tengah hari dengan bekal makanan yang dibawa ini, kita mahu pengguna sedar bahawa perbelanjaan makanan harian boleh dijimatkan dengan hanya menyediakan makanan di rumah. “Kempen simbolik ini diharapkan dapat mengubah minda masyarakat untuk tidak berbelanja perkara yang tidak perlu. Corak penggunaan kita perlu direnung kembali bagi memastikan ia dilakukan berasaskan penggunaan lestari iaitu berdasarkan keperluan dan mengikut kemampuan sebenar kita. “Selain itu, ia juga perlu berasaskan amalan yang baik seperti menyediakan senarai beli-belah dan mengehadkan belanja di samping menggunakan kad kredit secara bijak. Jadi, kita juga sarankan supaya orang ramai mencari ruang untuk menyediakan masakan sendiri dari rumah dan menikmatinya bersama rakan di pejabat,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada aktiviti kempen berkenaan baru baru ini. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman. Kempen itu sebahagian daripada program Kempen Konsumer Kebangsaan (Kempen 3K) anjuran Fomca dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Majlis Belia Malaysia, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan Petronas.
Paul berkata, selain menjimatkan, rutin membawa bekal untuk makan tengah hari juga boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan terutama apabila ada ahli keluarga seperti isteri atau anak yang membantu menyediakan makanan berkenaan untuk dibawa ke pejabat. “Makanan yang disediakan juga bukan saja dilakukan dengan penuh kasih sayang tetapi dijamin bersih serta selamat kerana ia dimasak sendiri yang sudah pasti mementingkan cara penyediaan yang betul. Tanpa disedari, aktiviti membawa bekal ini sebenarnya memberi pelbagai manfaat kepada pengguna,” katanya. Katanya, pihaknya tidak mengukur sambutan orang ramai sebagai tanda aras sama ada untuk meneruskan sambutan atau aktiviti seumpama ini pada masa depan berikutan ilmu kepenggunaan perlu sentiasa disebarkan kepada masyarakat sebelum kesannya dapat diperoleh. “Kita tidak lakukan kempen ini berdasarkan sambutan masyarakat tetapi berdasarkan tanggungjawab Fomca untuk mendidik orang ramai mengenai pentingnya untuk tidak berbelanja sesuka hati. Walaupun, pada peringkat ini, sambutan untuk kempen ini adalah sederhana tetapi ia tetap akan diteruskan bagi memastikan matlamat jangka panjang kempen tercapai,” katanya. Sementara itu, peserta kempen yang hadir pada sesi itu membawa bekal untuk makan tengah hari mengakui membawa bekal dari rumah berupaya membantu meringankan beban belanja harian. Kakitangan CRRC, S Thilaga, berkata beliau yakin ramai individu boleh mendapat manfaat daripada aktiviti ini dengan syarat mereka bersungguh-sungguh mahu berjimat dalam perbelanjaan harian kerana ia terbukti boleh mengurangkan beban belanja makanan bulanan seseorang. “Orang ramai sebenarnya tidak mempunyai alasan untuk tidak berjimat kerana alternatif untuk berbuat demikian sudah ada. Apa yang penting ialah disiplin serta kemahuan untuk menguruskan perbelanjaan mereka dengan cara yang berhemah dan mudah,” katanya. Bagi kakitangan CRRC, Yu Kin Len pula, beliau berharap aktiviti ini dapat digalakkan di sekolah khususnya di kalangan pelajar kerana penyediaan makanan berkhasiat dan selamat dari rumah penting untuk perkembangan tumbesaran mereka selain mempromosi masa berkualiti antara anak dan ibu yang menyediakan makanan berkenaan.

29 Julai 2009

TELITI SEBELUM BENARKAN POTONGAN GAJI

Berita Harian
29/7/2009



KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membuat penilaian terperinci dan menyeluruh sebelum perkhidmatan potongan gaji diberikan kepada mana-mana pihak supaya tidak memberi kesan memudaratkan kepada mereka yang sudah berjasa, kata Pengurus Umum Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Nasir Khan Yahaya. Walaupun kerajaan berhak memberi perkhidmatan itu kepada mana-mana pihak, beliau berkata, gesaan Cuepacs supaya kerajaan membenarkannya mengambil alih perkhidmatan potongan gaji sektor awam daripada Angkasa, menambahkan lagi kegusaran koperasi mengenai masa depan gerakan itu. “Sebelum ini, Akauntan Negara sudah membuka tawaran perkhidmatan potongan gaji kepada bank dan syarikat kewangan tempatan yang memberi pinjaman kepada kakitangan kerajaan sebagai alternatif kepada perkhidmatan yang hingga kini dipelopori oleh koperasi kredit, termasuk Bank Rakyat,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

GAJI KAKITANGAN GRED 41, 44 MASIH RENDAH

Berita Harian
29/9/2009




SEBELUM ini kita sering mendengar rungutan dan rintihan guru sekolah lulusan ijazah selepas Pelarasan Gaji Baru Kakitangan Awam yang bermula pada Julai 2007. Sesungguhnya fenomena sama juga dihadapi kakitangan awam yang berada di bawah jabatan lain seperti Kastam, Bomba dan Penyelamat, Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sebagainya. Persoalannya, sampai bila kumpulan pengurusan dan profesional perlu bersabar dengan jurang kenaikan gaji yang seolah-olah diatur oleh pihak lain untuk merendahkan kumpulan berijazah di negara ini? Sebagai contoh, saya sudah berkhidmat di dalam perkhidmatan awam di bawah Skim Keselamatan dan Pertahanan Awam selama 12 tahun lalu, sebagai pegawai di dalam Kumpulan Sokongan 1 di bawah Gred 27 (lulusan STPM dan Diploma ).
Bagi meningkatkan taraf akademik dan pembangunan kerjaya, saya menyambung pelajaran di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan dengan perbelanjaan sendiri. Hasilnya saya berjaya menjawat jawatan dalam Gred 41, tetapi dengan gaji pokok lebih kecil berbanding kawan yang sama-sama melaporkan diri 12 tahun lalu, tetapi sudah dinaikkan pangkat ke Gred 32. Perbezaan gaji kami sebanyak lebih RM500. Itu belum lagi mengambil kira kakitangan yang baru berkhidmat lima tahun yang sudah dinaikkan pangkat dengan gaji mereka juga lebih besar daripada pegawai mereka. Apa yang saya ingin persoalkan di sini, bukanlah saya tidak berpuas hati dengan gaji mereka, bahkan saya mewakili pegawai lain mengalu-alukan kenaikan itu bagi menampung kos kehidupan yang cukup tinggi.
Apa yang ingin saya pertikaikan ialah perbezaan peratusan kenaikan gaji yang dibuat dua tahun lalu, tidak adil kepada kumpulan pekerja yang berijazah terutama dari Gred 41 dan 44. Ia bukan saja membabitkan kenaikan gaji pokok, malah juga memberi kesan kepada kenaikan tahunan iaitu kenaikan tahunan Skim Gaji 32 lebih besar daripada kami yang berada di dalam Gred 41. Keadaan ini memberi tekanan hebat kepada kumpulan pengurusan dan profesional. Untuk makluman, gaji Gred 38 juga lebih besar dan menarik daripada Gred 44. Inilah kenyataan yang harus diterima oleh kumpulan bawahan dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional di dalam perkhidmatan awam. Bukan niat saya untuk mempertikaikan keputusan kerajaan, bahkan saya amat bersyukur dengan pembelaan daripada pihak kerajaan terhadap masalah kakitangan awam di negara kita, tetapi perbezaan kenaikan peratusan sebanyak 10 peratus, menyebabkan golongan kami tertindas. Hasilnya, segelintir pegawai bawahan memandang rendah kepada pegawai mereka yang bergaji kecil. Saya merayu kepada pihak kerajaan supaya mengkaji semula pelarasan gaji yang bermula pada Julai 2007 dan bukannya berterusan mengikut telunjuk Cuepacs yang ternyata tidak membela nasib Kumpulan Pengurusan dan Profesional di negara ini.
Kepada Cuepacs, cuba selami hati dan perasaan kami yang terpaksa mengikat perut, meminjam duit untuk menyambung pelajaran dan jangan hanya tahu menuntut untuk sebelah pihak saja. Sesungguhnya kenaikan sebanyak 35 peratus untuk Kumpulan Sokongan 2 adalah baik, kenaikan sebanyak 25 peratus untuk Sokongan 1 juga adalah munasabah, tetapi satu kajian semula perlu dibuat supaya Kumpulan Pengurusan dan Profesional tidak tertindas. JALAK LENTENG, Banting, Selangor.

ANGKASA NAFI KOMISEN RM1.8B

Berita Harian
Oleh Haspaizi Mohd Zain
haspaizi@bharian.com.my





KUALA LUMPUR: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa), menafikan dakwaan Cuepacs bahawa badan itu memperoleh komisen sebanyak RM8.1 bilion setahun dengan menyediakan perkhidmatan potongan gaji bagi pinjaman sektor awam dan swasta. Naib Yang Dipertua Angkasa, Mustapa Kamal Maulut, berkata beliau tidak dapat memaklumkan jumlah sebenar komisen tetapi berharap mana-mana pihak yang ingin mengetahui maklumat lanjut mengenai perkara itu supaya menghubungi Angkasa. Beliau berkata, seramai 1.2 juta kakitangan kerajaan yang menjadi sebahagian daripada lebih enam juta anggota Angkasa menikmati pelbagai kemudahan dan faedah daripada badan koperasi.
“Kakitangan kerajaan yang menjadi anggota koperasi mendapat kemudahan dan faedah dari Angkasa, malah Angkasa kini menaungi aktiviti 1,800 koperasi sekolah dengan memberikan bantuan serta bimbingan secara percuma. “Menyentuh mengenai hasrat Cuepacs ini, saya berpendapat adalah lebih baik Cuepacs menumpukan usahanya membela kakitangan kerajaan yang belum diselesaikan seperti cuti bersalin dan kerja lebih masa,” katanya. Cuepacs sebelum ini menggesa Kementerian Kewangan membenarkannya mengambil alih perkhidmatan potongan bulanan bagi pinjaman sektor awam daripada Angkasa bagi membolehkan kongres itu memanfaatkan komisen daripada perkhidmatan itu untuk faedah 1.2 juta kakitangan kerajaan.
Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata Angkasa memperoleh RM8.1 bilion setahun dalam bentuk komisen dengan menyediakan perkhidmatan potongan bagi sektor awam dan swasta. Mustapa berkata, Angkasa mempunyai kelengkapan teknologi terkini dan kepakaran pemprosesan potongan gaji serta kakitangan yang cekap bagi memastikan tidak berlaku kehilangan duit dalam sistem potongan gaji. Katanya, Cuepacs juga digesa menangani isu pemberian secara terus kod potongan gaji kakitangan awam oleh Akauntan Negara kepada bank perdagangan. “Saya mengajak Cuepacs berganding bahu dengan Angkasa dalam menangani isu ini, ia adalah satu ancaman yang lebih besar kepada hal kebajikan yang dilahirkan oleh gerakan koperasi sebelum ini.
“Hasrat Akauntan Negara hanya akan memberi keuntungan kewangan yang besar kepada bank komersial, tetapi mereka tidak meletakkan kebajikan kepada kakitangan kerajaan mahupun masyarakat negara ini sebagai keutamaan,” katanya.

CUEPACS SYOR BERI BONUS MENERUSI BAJET 2010

Berita Harian
29/7/2009




JOHOR BAHRU: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan mengemukakan permohonan kepada kerajaan supaya menimbangkan pemberian bonus kepada penjawat awam, menerusi pengumuman Bajet 2010, Oktober depan. Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata perbincangan mengenai bonus hanya akan diadakan pada mesyuarat tertinggi kongres itu minggu depan sebelum dikemukakan kepada kerajaan. "Pemberian bonus ini dibincangkan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Khamis lalu. Kita setuju sekiranya pemberian Elaun Sara Hidup (Cola) tidak dapat dinaikkan dalam keadaan ekonomi ketika ini, namun diharap musim perayaan nanti, kira-kira 1.2 juta penjawat awam negara ini dapat menikmati ‘duit raya’," katanya.
Omar berkata demikian pada majlis perasmian mesyuarat agung dwi tahunan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Penguasa Tempatan (Anulae), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini, semalam. Beliau berkata, pihaknya menerima banyak panggilan telefon dan kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) dari penjawat awam yang ingin mendapatkan perkembangan mengenai pemberian bonus selain, perkara lain yang dibangkitkan Cuepacs. Mengenai kadar pemberian bonus, beliau berkata, ia terserah kepada kerajaan kerana Cuepacs memahami keadaan kerajaan yang berdepan dengan situasi ekonomi tidak menentu.
Ketika ini, bonus penjawat awam diberi mengikut budi bicara kerajaan berdasarkan kemampuannya dan pada waktu baik penjawat awam menikmati bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000. Dalam perkembangan lain, Omar berkata, pihaknya menyambut baik enam teras Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA), bagi mencapai matlamat indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI), yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin, terutama usaha memperkasa prasarana luar bandar. Beliau berkata, Cuepacs mendapati banyak kemudahan awam seluruh daerah seperti jalan raya dan pondok polis perlu dibaik pulih serta ditingkatkan supaya matlamat menjadikan negara maju dapat dicapai. Katanya, satu pertemuan antara Cuepacs dan Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut diadakan kelmarin bagi menghindar salah guna kuasa dan rasuah di kalangan penjawat awam.

CUEPACS MOHON KERAJAAN PERTIMBANG BERI BONUS

Bernama
28/07/2009 3:24pm





JOHOR BAHARU 28 Julai - Cuepacs akan mengemukakan permohonan kepada kerajaan untuk menimbangkan pemberian bonus kepada penjawat awam dalam pengumuman Bajet, Oktober ini.
Presidennya, Omar Osman berkata, perbincangan mengenai bonus itu akan diadakan menerusi mesyuarat tertinggi kongres itu minggu depan sebelum dikemukakan kepada kerajaan.
“Pemberian bonus ini sudah dibincangkan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Khamis lepas. Kita setuju kalau pemberian Elaun Sara Hidup (COLA) tidak dapat dinaikkan dalam keadaan ekonomi ketika ini, tetapi kita harap biarlah dalam musim perayaan nanti kira-kira 1.2 juta penjawat awam di negara ini dapat menikmati ’duit raya’,” katanya.
Omar berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian mesyuarat agung dwi tahunan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Penguasa Tempatan (Anulae) Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB), di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya menerima banyak panggilan telefon dan SMS daripada penjawat awam yang ingin mendapatkan perkembangan mengenai pemberian bonus selain perkara-perkara lain yang dibangkitkan Cuepacs.
- BERNAMA

ORANG RAMAI MINTA BATALKAN PERHIMPUNAN MANSUH ISA

Berita Harian
Oleh Nazura Ngah
nazura@bharian.com.my
29/9/2009




KUALA LUMPUR: Rakyat pelbagai lapisan, termasuk peniaga, kesatuan sekerja serta badan bukan kerajaan (NGO) meminta penganjur perhimpunan haram bagi mendesak kerajaan menghapuskan dan mengekalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), di ibu negara Sabtu ini membatalkan hasrat berkenaan. Mereka berpendapat perhimpunan yang dirancang di beberapa lokasi tumpuan ramai itu tidak perlu diadakan kerana boleh menimbulkan suasana tidak sihat, menggugat keamanan serta memberi kesan negatif terhadap usaha pemulihan ekonomi negara. Sebagai ganti, penganjur dicadangkan menggunakan saluran lebih sesuai termasuk menghantar memorandum dan menemui pihak berkuasa bagi menyatakan ketidakpuasan mereka.
Selain itu, menurut mereka, kerajaan sudah menyatakan kesediaan mengkaji ISA dan semua pihak sepatutnya menunggu tindakan lanjut kerajaan selain memberikan pandangan dan cadangan mengikut saluran yang dibenarkan oleh undang-undang. Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata kongres yang mewakili 1.2 juta kakitangan awam yakin ada saluran lebih tepat untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap dasar kerajaan. Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sentiasa membuka pintu rundingan bagi memastikan tiada pihak yang terpinggir dan perhimpunan sama ada menyokong atau membantah ISA akan menggugat keamanan ketika ekonomi negara sedang pulih.
Perhimpunan membantah ISA akan dianjurkan oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang diterajui pemimpin parti pembangkang. Perhimpunan menyatakan sokongan pula membabitkan Majlis Gabungan NGO Pembela Negara (Magaran) yang menaungi beberapa NGO, termasuk Majlis Pemuafakatan Ummah (Pewaris). Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Khalid Atan, berkata perhimpunan tidak perlu diadakan kerana ia mengundang pertelagahan dan keganasan akibat ketegangan tidak terkawal. "Sama ada menyokong atau membantah, ia akan mengundang suasana tidak sihat. Kedua-dua pihak harus menyelesaikan masalah menerusi meja rundingan. Jangan terlampau mengikut perasaan dan emosi kerana ia tidak boleh menyelesaikan sebarang masalah," katanya. Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Loke Yim Pheng, berkata pihaknya yakin hanya meja rundingan yang mampu menyelesaikan masalah kerana demonstrasi boleh mencetuskan ketegangan dan memberi kesan negatif kepada imej negara.
Beliau yakin tiada guru yang terbabit dalam perhimpunan menyokong atau membantah ISA kerana ia tidak membabitkan sebarang isu perkhidmatan perguruan. Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Bekas Tentera Malaysia, Datuk Mohd Nordin Mohamad, pula berkata kedua-dua pihak perlu menilai pentadbiran Perdana Menteri yang membuat banyak perubahan. "Kerajaan kata akan meminda ISA dan kita sepatutnya menunggu serta melihat kajian dan pelaksanaannya kelak. Apa yang pasti sama ada kerajaan mansuh atau pinda, ia tidak dibuat sewenang-wenangnya. "Mungkin ada pihak tertentu yang mendapat sokongan luar yang berani menganjurkan perhimpunan yang hanya memberi manfaat kepada satu pihak, manakala pihak lain menerima kesan negatif," katanya. Naib Pengerusi Biro Korporat Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Mohamad Sahar Mat Din, berkata kedua-dua pihak perlu rasional supaya ketegangan kesan daripada perhimpunan haram tidak memberi kesan kepada peniaga. "Perhimpunan tidak menguntungkan semua pihak. Dalam keadaan sekarang, kita memerlukan sistem ekonomi yang kukuh bagi membantu semua kelompok perniagaan daripada peniaga kecil, penjaja mahupun ahli korporat. Kerajaan perlu memastikan kestabilan ekonomi dan politik yang berterusan," katanya. Presiden Dewan Perniagaan dan Industri India, P Muguntha, berkata ketika krisis ekonomi global dan wabak Influenza A (H1N1), negara sepatutnya memberi tumpuan kepada langkah pemulihan ekonomi dan membendung penyakit berbahaya itu. "Tidak guna kita terlalu fokus untuk memansuhkan ISA kerana bukan semua 27 juta penduduk Malaysia menjadi tahanan mengikut akta itu," katanya.

28 Julai 2009

PERKHIDMATAN POTONGAN GAJI PERLU PENILAIAN TERPERINCI - ANGKASA

Bernama
28/7/2009





KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Penilaian terperinci dan menyeluruh perlu dilakukan sebelum perkhidmatan potongan gaji penjawat awam diberikan kepada mana-mana agensi agar langkah itu tidak memudaratkan pihak lain, kata Pengurus Umum Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Nasir Khan Yahaya.Beliau berkata laporan media semalam mengenai gesaan Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhdimata Awam (Cuepacs) supaya kerajaan membenarkannya mengambil alih perkhidmatan potongan gaji sektor awam daripada Angkasa, menambahkan lagi kegusaran koperasi dan Angksa mengenai masa depan gerakan itu."Kerajaan berhak memberikan perkhidmatan potongan gaji kepada mana-mana pihak yang ditentukannya, namun penilaian terperinci dan menyeluruh perlu dibuat supaya ia tidak pula memberi kesan yang memudaratkan kepada pihak lain yang sudah berjasa," katanya.Nasir Khan berkata sebagai badan yang diiktiraf kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Angkasa akan terus memberi perkhidmatan membangunkan dan menjaga kepentingan 3,804 koperasi dan 6.5 juta anggota masyarakat, termasuk penjawat awam yang menganggotai koperasi.Sementara itu Pengerusi Koperasi Pendidikan Islam Malaysia Berhad (UKHWAH), Mustapha Kamal Maulut menafikan dakwaan Cuepacs bahawa Angkasa memperolehi komisyen RM8.1 bilion daripada pemotongan gaji penjawat awam."Angkasa yang ditubuhkan selama lebih 37 tahun kini mempunyai kelengkapan IT, kepakaran pemprosesan potongan gaji dan kakitangan yang cekap. Tidak ada satu sen pun berlaku ketirisan duit daripada sistem potongan gaji Aangkasa sehingga kini," katanya.Mustapha berkata adalah lebih wajar Cuepacs menumpu dan memperluaskan pembelaannya kepada penjawat awam kerana masih banyak isu yang belum diselesaikan seperti hal ehwal penggajian, cuti bersalin, kerja lebih masa dan lain-lain.-- BERNAMA

PERKHIDMATAN POTONGAN GAJI PENILAIAN TERPERINCI

ANGKASABy: Ramjit-->
KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Penilaian terperinci dan menyeluruh perlu dilakukan sebelum perkhidmatan potongan gaji penjawat awam diberikan kepada mana-mana agensi agar langkah itu tidak memudaratkan pihak lain, kata Pengurus Umum Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Nasir Khan Yahaya.Beliau berkata laporan media semalam mengenai gesaan Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhdimata Awam (Cuepacs) supaya kerajaan membenarkannya mengambil alih perkhidmatan potongan gaji sektor awam daripada Angkasa, menambahkan lagi kegusaran koperasi dan Angksa mengenai masa depan gerakan itu."Kerajaan berhak memberikan perkhidmatan potongan gaji kepada mana-mana pihak yang ditentukannya, namun penilaian terperinci dan menyeluruh perlu dibuat supaya ia tidak pula memberi kesan yang memudaratkan kepada pihak lain yang sudah berjasa," katanya.Nasir Khan berkata sebagai badan yang diiktiraf kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Angkasa akan terus memberi perkhidmatan membangunkan dan menjaga kepentingan 3,804 koperasi dan 6.5 juta anggota masyarakat, termasuk penjawat awam yang menganggotai koperasi.Sementara itu Pengerusi Koperasi Pendidikan Islam Malaysia Berhad (UKHWAH), Mustapha Kamal Maulut menafikan dakwaan Cuepacs bahawa Angkasa memperolehi komisyen RM8.1 bilion daripada pemotongan gaji penjawat awam."Angkasa yang ditubuhkan selama lebih 37 tahun kini mempunyai kelengkapan IT, kepakaran pemprosesan potongan gaji dan kakitangan yang cekap. Tidak ada satu sen pun berlaku ketirisan duit daripada sistem potongan gaji Aangkasa sehingga kini," katanya.Mustapha berkata adalah lebih wajar Cuepacs menumpu dan memperluaskan pembelaannya kepada penjawat awam kerana masih banyak isu yang belum diselesaikan seperti hal ehwal penggajian, cuti bersalin, kerja lebih masa dan lain-lain.-- BERNAMA

27 Julai 2009

CUEPACS SEDIA URUS POTONGAN GAJI AHLI

Bernama
27/7/2009

Kesatuan mahu ambil alih peranan AngkasaKUALA LUMPUR: Cuepacs menggesa Kementerian Kewangan membenarkannya mengambil alih perkhidmatan potongan bulanan bagi pinjaman sektor awam daripada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa). Ini bagi membolehkan kongres itu memanfaatkan komisen daripada perkhidmatan itu untuk faedah 1.2 juta kakitangan kerajaan.
Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata Angkasa memperoleh RM8.1 bilion setahun dalam bentuk komisen dengan menyediakan perkhidmatan potongan bagi sektor awam dan swasta. "Daripada jumlah ini, 50 peratus disumbangkan oleh kakitangan awam melalui pelbagai potongan," katanya. Angkasa mengenakan caj 2.5 peratus bagi jumlah pinjaman bulanan sebagai komisen bagi perkhidmatan itu.
"Apa yang kami cadangkan ialah untuk membenarkan Cuepacs mengambil alih perkhidmatan potongan bagi pinjaman kakitangan awam dan membiarkan Angkasa meneruskan perkhidmatan bagi sektor swasta. "Jika cadangan itu diterima, ia akan membenarkan Cuepacs menjana kira-kira RM4 bilion setahun daripada perkhidmatan itu," katanya. Pendapatan itu, katanya akan disalurkan semula kepada kakitangan awam melalui sebuah yayasan dalam bentuk biasiswa, bantuan perubatan, geran dan bantuan kewangan. Ahmad Shah berkata, Angkasa tidak menyumbang 'apa-apa kepada kakitangan awam', di sebalik menjana pendapatan besar daripada mereka.
Beliau berkata, Cuepacs mempunyai keupayaan untuk mengambil alih perkhidmatan potongan itu dan apa yang diperlukannya ialah sedikit bantuan pada peringkat permulaan daripada kerajaan untuk menyediakan infrastruktur diperlukan. Sementara itu, Bernama difahamkan Perbendaharaan dan Akauntan Negara bersetuju dengan cadangan berkenaan dan bersedia membantu Cuepacs jika kerajaan meluluskan cadangan itu. – Bernama

CUEPACS MAHU AMBIL ALIH FUNGSI KHIDMAT POTONGAN BULANAN

Bernama
27/7/2009



KUALA LUMPUR: Cuepacs hari ini menggesa Perbendaharaan membenarkannya mengambil alih perkhidmatan potongan bulanan bagi pinjaman sektor awam daripada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa). Ini bagi membolehkan kongres itu memanfaatkan komisen daripada perkhidmatan itu untuk faedah 1.2 juta kakitangan kerajaan. Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata Angkasa memperoleh kira-kira RM8.1 bilion setahun daripada segi komisen dengan menyediakan perkhidmatan potongan bagi sektor awam dan swasta.
"Daripada amaun ini, 50 peratus disumbangkan oleh kakitangan awam melalui pelbagai potongan," katanya. Angkasa mengenakan caj 2.5 peratus bagi amaun pinjaman bulanan sebagai komisen bagi perkhidmatan itu. "Apa yang kami cadangkan kepada kerajaan ialah untuk membenarkan Cuepacs mengambil alih perkhidmatan potongan bagi pinjaman kakitangan awam dan membiarkan Angkasa meneruskan perkhidmatan bagi sektor swasta.
"Jika cadangan itu diterima, ia akan membenarkan Cuepacs menjana kira-kira RM4 bilion setahun daripada perkhidmatan itu," katanya. Pendapatan itu, katanya akan disalurkan semula kepada kakitangan awam melalui sebuah yayasan dalam bentuk biasiswa, bantuan perubatan, geran dan bantuan kewangan dan material lain. "Bantuan juga akan diberikan kepada pesara kerajaan, dengan itu dapat mengurangkan beban di pihak kerajaan. "Ini akan mewujudkan keadaan saling bermanfaat, kerana kakitangan awam dan kerajaan akan mendapat faedah daripada skim ini," katanya.
Ahmad Shah berkata Angkasa tidak menyumbang "apa-apa kepada kakitangan awam," di sebalik menjana pendapatan besar daripada mereka. Beliau berkata Cuepacs mempunyai keupayaan untuk mengambil alih perkhidmatan potongan itu dan apa yang diperlukannya ialah sedikit bantuan di peringkat permulaan daripada kerajaan untuk menyediakan infrastruktur diperlukan. "Mungkin kerajaan boleh memberikan kami pinjaman mudah yang kami mampu bayar balik dalam tempoh singkat apabila sistem kami beroperasi," katanya. Sementara itu, Bernama difahamkan Perbendaharaan dan Pejabat Akauntan Negara bersetuju dengan cadangan itu dan bersedia membantu Cuepacs jika kerajaan meluluskan cadangan itu. "Menyediakan infrastruktur bukan masalah besar dan ia boleh dilakukan dengan mudah kerana asasnya sudah ada," kata sumber di MAMPU (Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia). Menurut sumber itu malahan mendapatkan kakitangan berpengalaman bukan satu masalah kerana pegawai berpengalaman daripada Pejabat Akauntan Negara dan jabatan lain boleh dipinjamkan sementara untuk membantu Cuepacs. - Bernama

22 Julai 2009

CUEPACS KEMUKAKAN OPSYEN KETIGA PEKERJA PBT

Bernama
22/7/2009



ALOR SETAR, 21 Julai (Bernama) - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan menimbangkan opsyen ketiga terhadap pekerja-pekerja sokongan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) setelah pengurusan sisa pepejal diswastakan.Presiden Cuepacs Malaysia, Omar Osman berkata, pekerja sokongan PBT mendesak supaya mereka diserapkan ke Perbadanan Sisa Pepejal, selain menangguhkan pelaksanaan penswastaan itu sebelum mendapat persetujuan pekerja."Cuepacs tidak membantah pelaksanaan penswastaan tetapi cuma minta opsyen ketiga ditawarkan kepada pekerja PBT, iaitu serapkan pekerja PBT ke Perbadanan Sisa Pepejal," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat mengenai isu penswastaan sisa pepejal dan kebersihan awam zon utara, di sini, Selasa.Omar berkata, sebelum ini, pekerja PBT diberi dua pilihan, sama ada bersara awal atau bekerja dengan syarikat E-idaman yang akan mengambil alih pengurusan sisa pepejal di Kedah, namun pekerja mendesak supaya mereka diserapkan dalam Perbadanan demi masa depan yang lebih terjamin.Menurutnya, Cuepacs telah pun menghantar memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, 23 Jun lalu bagi meminta opsyen ketiga itu.Lebih seribu pekerja dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang hadir pada perjumpaan yang dianjurkan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Penguasa-Penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae).Seramai lebih 25,000 pekerja seluruh negara terbabit dalam proses penswastaan itu, 5,000 daripadanya dari Wilayah Utara.-- BERNAMA
_______________________________________________________________________
Photo (Media Cuepacs)


Klip Video

18 Julai 2009

STAF SOKONGAN GRED N17 RAYU PEMBELAAN

Utusan Malaysia
18/7/2009




KAMI mewakili staf Sokongan Gred N17 merayu dan memohon perhatian serta kajian semula oleh pihak-pihak terlibat untuk mengatasi masalah jurang perbezaan gaji yang amat menyedihkan bagi kakitangan Sokongan Gred N17 dengan Gred Gaji di bawah daripadanya.

Sebagai contoh: Kalau kita lihat dari sudut perbezaan gaji N11 dengan N17 pada SSM 2002 ialah RM9.68 dan pada 01/07/2007 perbezaan ialah RM9.07. Di sini dapat dilihat gaji N17 kecil dari N11 sedangkan jawatan N17 memerlukan SPM dengan 4 kepujian. Kami staf sokongan merasa terkilan kerana N17 pada 01/07/2007 diletakkan dalam kumpulan sokongan 1 bersamaan dengan gred yang bertaraf diploma di mana N17 mendapat 25 peratus kenapa tidak diletakkan atau mendapat 30 peratus barulah dikatakan adil.

Pada 01/07/2009 berita digempar dengan penggubalan N11 ke N17 dan diberi gaji permulaan pada gaji yang hampir atau satu pergerakan. Tetapi menurut kaedah penetapan tetapi hampir dua pergerakan. Kepada N11 yang tidak memiliki sijil SPM hanya layak 6 tahun perkhidmatan. Terlalu istimewalah mereka. Sudahlah baru setahun jagung dinaikkan 35 peratus dan sekarang dinaikkan gred jawatan dan mendapat satu pergerakan gaji.

Sebelum ini, pada sesiapa yang hendak dinaikkan taraf kenalah menduduki peperiksaan dan cukup tempoh 10 tahun berkhidmat baru dapat naik pangkat, kena temu duga pula, bukan sekali dua baru hendak dapat. Terlalu letih.

Apa kata kami Staf Sokongan N17 yang sedia ada dipertimbangkan dengan diberi lagi satu pergerakan gaji. Tidaklah Staf Sokongan N17 terasa. Perkara ini telah berlaku pada DGA29 dengan DG41. Kesudahannya DG41 diberi atau ditambah satu pergerakan.

Kenapakah perkara ini dipandang remeh dan kecil oleh pihak-pihak yang terlibat sedangkan kesannya amat besar kepada penjawat awam terutama N17. Walaupun dua tiga sen tetapi ia amat berharga bagi kami golongan staf sokongan. Kalau hendak membuat perubahan buatlah kajian yang terperinci dan janganlah merugikan mana-mana pihak.

Kami amat berharap kerajaan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan CUEPACS dapat memantau dalam hal ini dan ambillah tindakan sewajarnya serta bantulah, tolonglah dengan belas kasihan kepada kami kumpulan sokongan N17 dalam jadual gaji dan jangan kami diletakkan dalam sokongan satu kerana mereka memiliki diploma sedangkan kami hanya SPM. Sebelum 01/07/2007 kami diletakkan dalam kategori Sokongan 11 ia sudah cukup baik. Kenapa sekarang ini diubah-ubah?

N17 KECEWA

Pulau Pinang

KEMPEN HARI TIDAK BERBELANJA PATUT DIPERLUAS GALAK BUDAYA JIMAT

Berita Harian
18/7/2009





KELMARIN, adalah hari tidak berbelanja iaitu kempen dianjurkan Fomca, Cuepacs dan beberapa gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Walaupun dilihat tidak logik, apa yang penting adalah usaha itu sebagai langkah berjimat pada zaman gawat ini perlu digalakkan. Walaupun kempen berjimat ini tidak diuar-uarkan secara intensif, kita sebenarnya amat memerlukan kempen sedemikian sebagai peringatan dan mesej kepada peniaga agar lebih bertimbang rasa apabila mengenakan sebarang harga barang atau perkhidmatan. Pada masa sama, kita perlu juga berhati-hati apabila keluar berbelanja ketika virus H1N1 menular. Berbelanja memang misi mustahil untuk tidak dilakukan kerana sudah menjadi tabiat manusia untuk mendapatkan sesuatu demi kelangsungan hidup.
Sebagai contoh ada yang resah apabila tidak menyapa mamak untuk memesan teh tarik atau roti canai setiap pagi. Ia umpama rutin yang sukar dipisahkan dalam budaya masyarakat Malaysia. Hari tidak berbelanja sesungguhnya amat molek dibuat secara bulanan dan bukan harian pada masa ini kerana selain faktor berjimat ia juga baik untuk kesihatan. Selain mengambil tindakan pencegahan virus selesema babi masa kini, pencemaran udara akibat jerebu turut boleh dielakkan daripada menyebabkan penyakit saluran pernafasan seperti selesema dan asma.
Hari tidak berbelanja yang dianjurkan sungguh bermanfaat dalam memelihara kesihatan apabila aktiviti luar diminimumkan. Pergaulan dan sentuhan yang tidak diperlukan hanya kerana hendak keluar membeli barang yang tidak diperlukan dan boleh ditangguhkan ke lain masa yang lebih selamat perlu dibuat demi kesihatan diri yang lebih penting. Kenaikan harga barang dan kos perkhidmatan juga perlu diberi isyarat jelas kepada peniaga masa kini bahawa pada hari tidak berbelanja kelmarin, sesungguhnya kempen itu boleh menjadi kempen berterusan sepanjang masa jika mereka terus menaikkan harga barang, walaupun harga minyak dunia sudah kekal pada tahap di bawah AS$100 setong.
Alasan kenaikan kos tidak langsung seperti kos pekerja, insurans dan kemelesetan ekonomi di Amerika Syarikat yang menyebabkan harga senang naik dan susah turun perlu diberi perhatian oleh pengguna dan peniaga sendiri. Jika membuat untung biar berpada agar kita sama-sama merasai pada masa ekonomi sedang dalam pemulihan berkala. Pengguna dan peniaga saling memerlukan dan wajar untuk kita bertimbang rasa sesama kita. Justeru kempen 'Hari Tidak Berbelanja' tepat pada waktunya. Selain duit semakin subur di poket dan tabung, kesihatan boleh dipelihara daripada terkena penyakit yang sukar dikesan di mana ia berada. ABDUL RAZAK IDRIS Banting, Selangor

17 Julai 2009

CUEPACS PERLU UTAMA DISIPLIN PENJAWAT AWAM, BUKAN GANJARAN

Berita Harian
17/7/2009




SAYA ingin merujuk laporan muka depan akhbar ini bertajuk ‘Bonus Tetap Sektor Awam’ berkisar kepada tuntutan dipersetujui Majlis Kongres Cuepacs untuk dikemukakan kepada kerajaan.

Selaku penjawat awam, saya rasa amat malu dengan kenyataan itu apatah lagi dalam suasana negara berdepan kemelut ekonomi yang menuntut penyatuan dan pemahaman daripada segenap lapisan masyarakat untuk menghadapinya dengan cekal hati.

Cuepacs memandang dari sudut material saja dalam soal menaik taraf skim perkhidmatan penjawat awam. Cuepacs gagal melihat kehendak dan ruang yang perlu diisi oleh penjawat awam lebih daripada soal wang semata-mata.



Amat jarang mendengar Cuepacs mempersoalkan kemerosotan tahap disiplin di kalangan penjawat awam sendiri yang semakin meruncing. Saya percaya jika Cuepacs benar-benar ikhlas dalam perjuangan mereka, soal wang, gaji, bonus dan elaun adalah perkara terakhir yang akan diperbincangkan.

Tidak dapat dinafikan pelbagai perubahan sudah berlaku dalam perkhidmatan awam jika dibandingkan dengan dulu terutama dari segi kelancaran proses dan infrastruktur ICT yang disediakan untuk kemudahan orang ramai.

Sebilangan besar penjawat awam juga menunjukkan komitmen tinggi kepada jawatan yang disandang. Namun, saya juga tidak dapat menafikan masih wujud segelintir penjawat awam mengambil mudah akan tanggungjawab dan tugasan diberi.

Golongan ini berasa begitu yakin bahawa kedudukan mereka tidak akan tergugat, malah jauh sekali dibuang kerja. Saya juga yakin masih ada segolongan penjawat awam yang layak dipanggil ‘makan gaji buta’ dan tidak melakukan pekerjaan setimpal dengan bayaran diterima.

Saya ingin tahu sama ada Cuepacs memandang berat perkara ini dan jika ya, saya ingin tahu sejauh mana Cuepacs benar-benar serius menanganinya terutama di kalangan kumpulan sokongan.

Cuepacs mendakwa antara punca yang menyumbang kepada peningkatan kadar rasuah di kalangan penjawat awam adalah pendapatan diterima tidak mencukupi untuk menampung keperluan kehidupan.

Justeru, Cuepacs berpendapat kesediaan kerajaan menaikkan gaji dan memberi bonus akan mampu mengatasi masalah ini. Namun, saya berpendapat perkara begini menyebabkan sesetengah penjawat ‘naik lemak’ dan tidak serius dalam pekerjaan masing-masing.

Rata-rata penjawat awam meletakkan sasaran kewangan sebagai objektif utama untuk memohon memasuki perkhidmatan awam, bukannya kesediaan berkhidmat kepada negara. Seperti umum sedia maklum, bergelar penjawat awam juga melayakkan mereka menikmati pelbagai kemudahan kerajaan seperti pinjaman kenderaan dan perumahan.

Saya sedar jika kerajaan bersetuju dengan cadangan Cuepacs itu, secara tidak langsung saya juga akan turut menerima tempiasnya. Begitu pun, dalam suasana tidak menentu seperti sekarang, saya berpendapat tindakan Cuepacs mengemukakan perkara berkenaan amat tidak bertepatan dan tidak mencerminkan konsep Satu Malaysia.

Selaku penjawat awam, Cuepacs seharusnya menjadi penyokong kuat kepada gagasan ini dan bertindak selayaknya.



PENJAWAT AWAM KECEWA,

Keramat, Kuala Lumpur.

8 TUNTUTAN CUEPACS UNTUK 1.2 JUTA KAKITANGAN

Berita Harian
17/7/2009




KUALA LUMPUR: Lapan tuntutan digariskan Majlis Kongres Cuepacs untuk manfaat 1.2 juta penjawat awam, termasuk pesara kerajaan adalah cadangan yang masih di peringkat perbahasan dan disimpan dalam fail dikategorikan sulit oleh majlis berkenaan.

Timbalan Presiden Cuepacs, Aziz Muda, berkata kertas kerja berhubung semua tuntutan itu juga belum dirangka, malah ia belum dibincangkan di peringkat Majlis Kongres Cuepacs Khas membabitkan semua kesatuan gabungan.



“Belum ada ketetapan muktamad mengenainya, sebab itu sehingga sekarang kami tidak membuat sebarang kenyataan media mengenainya, cuma fakta mengenainya dipetik daripada sumber kajian yang belum dimuktamadkan.

“Sebagai pengerusi mesyuarat di Ipoh pada 27 Jun lalu itu, perkara itu tidak tersenarai dalam agenda mesyuarat,” katanya di sini, semalam.

Kelmarin, Bernama melaporkan Majlis Kongres Cuepacs meluluskan cadangan menuntut kerajaan membayar bonus tetap setiap tahun dengan menggabungkan elemen imbuhan itu dalam skim perkhidmatan kakitangan awam.

Ini adalah antara beberapa tuntutan baru yang akan dikemukakan kepada kerajaan sebagai sebahagian daripada kajian semula syarat perkhidmatan penjawat awam.

Selain bonus tetap, tuntutan lain adalah kadar faedah pinjaman perumahan dikurangkan kepada satu peratus, bayaran gantian cuti rehat daripada maksimum 150 hari, formula pencen mengikut gaji pokok terakhir termasuk elaun, cuti tahun menjaga anak sakit, bayaran balik implan gigi dan rawatan mata, sistem kenaikan matriks diganti dengan sistem linear dan mewujudkan skim sub-profesional bagi pemegang diploma.

Aziz berkata, pihaknya bimbang persepsi kerajaan apabila tuntutan itu didedahkan sebelum keputusan muktamad dibuat kerana ia menggambarkan seolah-olah Cuepacs memberi tekanan kepada kerajaan, terutama di awal pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Selalunya pemimpin Cuepacs akan berjumpa Perdana Menteri terlebih dulu untuk membentangkan tuntutan terbaru kesatuan sebelum membuat kenyataan media mengenainya,” katanya yang bimbang kejadian itu boleh mengganggu gugat usaha Cuepacs itu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Gaji Cuepacs juga terkejut apabila dimaklumkan berhubung perkara itu kerana nota berhubung tuntutan itu masih di peringkat sulit.

Malah, katanya, memang ada perbincangan yang sedang diusahakan Presiden Cuepacs, Omar Osman berhubung formula baru pencen kakitangan awam tetapi perkara itu belum sampai ke peringkat yang boleh dihebahkan.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan dengan lebih lanjut langkah terbaik bagi memastikan tiada sebarang tanggapan buruk kerajaan terhadap Cuepacs hingga boleh menjejaskan usaha yang dilakukan untuk manfaat penjawat awam.

Sumber memberitahu Berita Harian, hanya tuntutan berkaitan bonus tetap setiap tahun saja isu baru yang akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, manakala tujuh tuntutan lain adalah isu lama yang akan diketengahkan semula untuk pertimbangan kerajaan.

15 Julai 2009

CUEPACS TUNTUT BONUS DALAM SKIM PERKHIDMATAN

Bernama
15/07/2009 3:51pm




KUALA LUMPUR 15 Julai — Cuepacs menuntut supaya elemen bonus digabungkan dalam skim perkhidmatan kakitangan awam bagi memastikan ia dibayar setiap tahun.
Pada masa ini, bonus diberi mengikut budi bicara kerajaan berdasarkan kemampuannya tidak seperti sektor swasta yang menjadikannya sebagai amalan tahunan.
Pada waktu yang baik, 1.2 juta penjawat awam menikmati bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000.
Kongres itu juga mencadangkan supaya kadar faedah bagi pinjaman perumahan dikurangkan daripada empat peratus pada kadar sekarang kepada satu peratus setiap tahun.
Perkara itu merupakan antara beberapa cadangan baru kepada kerajaan sebagai sebahagian daripada kajian semula syarat perkhidmatan kepada penjawat awam dalam satu memorandum yang akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak lama lagi.
Sumber-sumber CUEPACS memberitahu Bernama hari ini bahawa memorandum itu diluluskan pada mesyuarat majlis kongres di Ipoh baru-baru ini juga akan menuntut perubahan bagi bayaran gantian cuti rehat daripada maksimum 150 hari pada masa ini kepada jumlah sebenar cuti tahun yang tidak digunakan yang dikumpul oleh para pegawai.
— LAGI CUEPACS-BONUS 2 KUALA LUMPUR Gantian cuti rehat adalah bayaran tunai bagi cuti tahun yang tidak digunakan yang dikumpul oleh seseorang pegawai sepanjang perkhidmatannya dengan kerajaan.
Satu lagi perubahan besar yang dituntut CUEPACS adalah berhubung pengiraan pencen.
Cuepacs mencadangkan supaya formula pencen yang ada sekarang dibuat berdasarkan gaji pokok terakhir ditukar bagi memasukkan juga semua elaun.
Ini bermakna apabila pengiraan pencen dibuat, semua elaun perumahan, kos hidup, makanan, perjalanan, pemandu, kesusahan dan keraian juga perlu dimasukkan kepada gaji pokok terakhir.
CUEPACS juga menuntut satu faedah baru dalam bentuk cuti tahun bagi menjaga anak yang sakit dengan tempohnya bergantung kepada tempoh keuzuran itu.
Satu lagi faedah baru yang diminta ialah bayaran balik bagi implan gigi dan rawatan mata.
Mengenai pelbagai skim perkhidmatan, Cuepacs menuntut supaya sistem kenaikan matriks digantikan dengan sistem linear dengan tambahan lima kenaikan.
Cuepacs juga mahu skim sub-profesional diwujudkan bagi pemegang diploma.
Sumber-sumber itu berkata para pemimpin Cuepacs begitu optimis bahawa kerajaan akan mempertimbang cadangan mereka dengan fikiran terbuka.
“Kami sedar bahawa cadangan itu, yang jika diterima keseluruhannya, akan meningkatkan kos pentadbiran kerajaan dengan begitu besar tetapi apa yang kami harapkan ialah permintaan kami itu akan dipenuhi secara berperingkat,” kata mereka.
— BERNAMA

13 Julai 2009

HARI TIDAK BERBELANJA

Utusan Malaysia
13/7/2009




ISMAIL Sabri menunjukkan isyarat bagus kepada media sempena pelancaran telefon bimbit termurah keluaran CSL di Tesco Ampang, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 11 Julai - Kepada kaki membeli-belah yang boros, anda mungkin berpeluang mempelajari sesuatu daripada 'Hari Tidak Berbelanja' anjuran Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) pada 16 Julai ini.
Ia bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna agar memikirkan semula tabiat berbelanja masing-masing, pengguna dinasihat tidak membuat sebarang pembelian yang tidak perlu pada hari itu.
Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, program itu juga merupakan sebahagian usaha FOMCA mendidik masyarakat agar tidak berlebih-lebihan ketika berbelanja.
''Ini bukan bertujuan memboikot atau berkonfrontasi terhadap mana-mana pihak tetapi lebih menjurus kepada usaha mendidik pengguna agar bijak berbelanja.
''Mereka digalakkan untuk meminimumkan perbelanjaan agar lebih menghargai nilai wang yang dibelanjakan setiap hari,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hari Tidak Berbelanja disambut setiap 29 November di peringkat antarabangsa. FOMCA bagaimanapun memilih 16 Julai sebagai tarikh program itu dijalankan di Malaysia.
Ia sebahagian Kempen Konsumer Kebangsaan (3K) yang dijalankan FOMCA dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Mengenai langkah yang boleh diambil pengguna untuk tidak berbelanja, Mohd. Yusof menjelaskan, banyak perbelanjaan kecil harian yang tanpa disedari mampu diketepikan demi berjimat.
''Antaranya membawa bekal makanan dari rumah ke mana-mana destinasi," katanya.