SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

02 Mac 2011

1,086 PENJAWAT AWAM BANKRAP DAN RAMAI DIBELENGGU HUTANG

Bernama
3/2/2011



PUTRAJAYA, 1 Mac (Bernama) -- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong mendedahkan ramai penjawat awam di negara ini dibelenggu masalah hutang yang serius yang mungkin membawa kepada kebankrapan.

Beliau berkata pada tahun 2009 sahaja, Jabatan Insolvensi Malaysia melaporkan seramai 1,086 penjawat awam diisytiharkan bankrap di mana 72.74 peratus daripadanya adalah lelaki.

"Masalah ini perlu difahami oleh semua penjawat awam kerana belenggu masalah hutang boleh menjejaskan prestasi penjawat awam, dan sekiranya prestasi terjejas dengan teruk maka boleh diambil tindakan tatatertib," katanya ketika merasmikan Taklimat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Taklimat Kebankrapan dan Taklimat Bantuan Guaman kepada ahli Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di Jabatan Perdana Menteri di sini Rabu.

Turut hadir pada majlis anjuran Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Jabatan Bantuan Guaman dan Jabatan Insolvensi Malaysia itu adalah Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.

Justeru Liew berkata taklimat tersebut diadakan bagi memberi pendedahan kepada penjawat awam bagaimana untuk menangani isu-isu berkaitan dengan hutang dan kebankrapan.

Beliau berkata ia juga bagi memberi penerangan mengenai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat yang telah diluluskan oleh Parlimen tahun lepas dan telah mula dikuatkuasakan pada 15 Disember tahun yang sama, serta taklimat mengenai Bantuan Guaman untuk penjawat awam.

"Ahli-ahli Cuepacs yang berpendapatan kurang dari RM25,000 setahun boleh mendapat perkhidmatan guaman percuma daripada Jabatan Bantuan Guaman dalam kes-kes seperti petisyen perceraian, tuntutan nafkah, tuntutan harta sepencarian, hak penjagaan anak dan lain-lain masalah kekeluargaan.

"Sekiranya pendapatan lebih RM25,000 tetapi tidak lebih RM30,000 mereka hanya akan dikenakan bayaran minimum," katanya.

-- BERNAMA

01 Mac 2011

15,000 PEMBANTU AM NAIK PANGKAT

Utusan Malaysia
Oleh ASLIZA MUSA
pengarang@utusan.com.my



IPOH 28 Feb. – Seramai 15,000 pembantu am pejabat akan menikmati kenaikan pangkat dan gaji sekiranya permohonan kenaikan itu diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman (gambar) berkata, sudah tiba masa untuk kerajaan mengkaji dan menyelaraskan semula sistem penggredan sedia ada agar bersesuaian dengan taraf pendidikan penjawat jawatan itu ketika ini.

Menurutnya, pelarasan itu perlu kerana penjawat jawatan itu sebelum ini hanya berkelulusan rendah seperti di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) berbanding kini apabila turut disertai lulusan diploma dan ijazah.

“Memorandum telah dihantar kepada JPA enam bulan lalu dan kita sedang menunggu kelulusan permohonan tersebut. Saya menjangkakan keputusannya akan diketahui tahun ini juga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis taklimat dan penerangan Kesatuan Pembantu Am Pejabat (KPAP) Perkhidmatan Awam Semenanjung Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Asri Saad dan Presiden KPAP Semenanjung Malaysia, M. Ramachandran.

Omar berkata, sekiranya permohonan itu diluluskan ia dilihat akan meningkatkan lagi semangat penjawat jawatan itu untuk bekerja keras.

“Mereka yang menjawat jawatan ini merupakan nadi yang menggerakkan sesuatu tugas di pejabat.

“Justeru itu, apabila adanya keselarasan, ia secara langsung bakal meningkatkan motivasi setiap pekerja,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya sedang mempertimbangkan untuk menukar nama KPAP kepada nama yang lebih bersesuaian agar selaras dengan tanggungjawab mewakili persatuan itu.

Katanya, kini tugas pembantu am pejabat tidak hanya tertumpu kepada pentadbiran pejabat sahaja malah meliputi pelbagai cabang tugasan.

“Dulu memang tugas mereka hanya tertumpu di pejabat tapi kini ada antara mereka bertugas di luar seperti di makmal dan sebagainya.

“Justeru itu kita akan berbincang dengan JPA untuk mencari nama yang lebih sesuai untuk persatuan ini,” katanya.

15,000 PEMBANTU AM NAIK PANGKAT

Utusan Malaysia
1/3/2011



Oleh ASLIZA MUSA
pengarang@utusan.com.my

IPOH 28 Feb. – Seramai 15,000 pembantu am pejabat akan menikmati kenaikan pangkat dan gaji sekiranya permohonan kenaikan itu diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman (gambar) berkata, sudah tiba masa untuk kerajaan mengkaji dan menyelaraskan semula sistem penggredan sedia ada agar bersesuaian dengan taraf pendidikan penjawat jawatan itu ketika ini.

Menurutnya, pelarasan itu perlu kerana penjawat jawatan itu sebelum ini hanya berkelulusan rendah seperti di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) berbanding kini apabila turut disertai lulusan diploma dan ijazah.

“Memorandum telah dihantar kepada JPA enam bulan lalu dan kita sedang menunggu kelulusan permohonan tersebut. Saya menjangkakan keputusannya akan diketahui tahun ini juga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis taklimat dan penerangan Kesatuan Pembantu Am Pejabat (KPAP) Perkhidmatan Awam Semenanjung Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Asri Saad dan Presiden KPAP Semenanjung Malaysia, M. Ramachandran.

Omar berkata, sekiranya permohonan itu diluluskan ia dilihat akan meningkatkan lagi semangat penjawat jawatan itu untuk bekerja keras.

“Mereka yang menjawat jawatan ini merupakan nadi yang menggerakkan sesuatu tugas di pejabat.

“Justeru itu, apabila adanya keselarasan, ia secara langsung bakal meningkatkan motivasi setiap pekerja,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya sedang mempertimbangkan untuk menukar nama KPAP kepada nama yang lebih bersesuaian agar selaras dengan tanggungjawab mewakili persatuan itu.

Katanya, kini tugas pembantu am pejabat tidak hanya tertumpu kepada pentadbiran pejabat sahaja malah meliputi pelbagai cabang tugasan.

“Dulu memang tugas mereka hanya tertumpu di pejabat tapi kini ada antara mereka bertugas di luar seperti di makmal dan sebagainya.

“Justeru itu kita akan berbincang dengan JPA untuk mencari nama yang lebih sesuai untuk persatuan ini,” katanya.

15,000 PEMBANTU AM PEJABAT TUNGGU NAIK PANGKAT

Bernama
28/2/2011


IPOH: Seramai 15,000 Pembantu Am Pejabat (PAP) di seluruh negara sedang menunggu untuk dinaikkan pangkat dan gaji yang permohonan mereka telah pun dikemukakan oleh Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata memorandam berkenaan dihantar ke JPA enam bulan lalu dan pihaknya sedang menunggu kelulusan permohonan yang dijangka diketahui seawal 1 Mei ini.
"Sudah sampai masanya kerajaan mengkaji dan menyeleras semula sistem penggredan sedia ada agar bersesuaian dengan taraf pendidikan penjawat jawatan ini yang sebelum ini hanya memerlukan kelulusan rendah di peringkat Penilaian Menengah Rendah berbanding kini yang memerlukan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia selain diploma dan ijazah," katanya kepada pemberita. Beliau menghadiri majlis taklimat kepada anggota Kesatuan Pembantu Am Pejabat Perkhidmatan Awam Semenanjung Malaysia cawangan negeri Perak.

Omar berkata sekiranya permohonan itu diluluskan, ia akan meningkatkan semangat penjawat jawatan berkenaan untuk bekerja lebih keras.

"Mereka yang menjawat jawatan ini merupakan nadi yang menggerakkan sesuatu tugas di pejabat. Justeru itu, apabila adanya keselarasan (jawatan), ia secara langsung bakal meningkatkan motivasi setiap pekerja," katanya.

Beliau berkata Cuepacs turut bercadang menukarkan gelaran jawatan Pembantu Am Pejabat kepada yang lebih sesuai.
Tugas Pembantu Am Pejabat kini tidak hanya tertumpu kepada pentadbiran pejabat semata-mata malah meliputi pelbagai tugasan lain di luar pejabat seperti di makmal dan bengkel, katanya. - BERNAMA

28 Februari 2011

TIADA WAKIL GAKUM GUBAL SSU

Berita Harian
Oleh Mohamed Farid Noh
28/2/2011



Kesatuan kecewa, kesal 55,000 ahli seperti dianaktirikan: Omar Osman

BATU PAHAT: Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Malaysia (GAKUM) kecewa apabila tiada wakil gabungan itu dibabitkan dalam penggubalan Sistem Saraan Universiti (SSU) walaupun ia membabitkan masa depan kira-kira 55,000 ahlinya di 20 IPTA.

Presiden GAKUM, Datuk Omar Osman, berkata Sistem Saraan Universiti sedang giat digubal dengan beberapa mesyuarat sudah diadakan membabitkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Pendaftar IPTA dan kakitangan akademik. Omar yang juga Presiden CUEPACS berkata, gabungan itu terpaksa menubuhkan jawatankuasa bertindak khas bagi mendapatkan input dan cadangan ahli gabungan terhadap sistem berkenaan sebelum diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi memastikan nasib ahli GAKUM terbela. “Kita amat kecewa dan kesal kerana dianaktirikan dan mendapat layanan berat sebelah daripada KPT kerana menggubal SSU tanpa kehadiran wakil GAKUM, sedangkan pihak lain termasuk kakitangan akademik turut mempunyai wakil mereka.

“Seolah-olah 55,000 kakitangan pentadbiran dan sokongan di 20 IPTA seluruh negara tidak diperlukan sehingga pandangan dan pendapat mereka mengenai masa depan mereka sendiri tidak mahu diambil kira sedangkan ramai kami yang mempunyai kelayakan diploma dan ijazah.

“Siapa pula yang mahu memperjuangkan dan membela nasib ahli GAKUM, sedangkan mereka tidak dibabitkan sama dalam penggubalan sistem itu. Adakah adil nanti apabila sistem itu sudah digubal, ahli GAKUM dipaksa menerimanya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Bengkel Skim Perkhidmatan Sokongan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, semalam.

Ahli GAKUM terdiri dari kakitangan pentadbiran dan sokongan Gred 1 hingga 42 membabitkan Penolong Jurutera, Penolong Pegawai Kewangan, Penolong Akauntan, Penolong Veterinar, Pembantu Am dan Pembantu Makmal.
Dalam pada itu, mengulas penubuhan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Omar mencadangkan bantuan guaman dan khidmat nasihat yayasan itu diperluaskan kepada warga tempatan berpendapatan di bawah RM35,000 setahun atau RM3,000 sebulan.

Pada masa ini, bantuan dan khidmat YBGK ditetapkan dan dihadkan kepada semua warga negara tempatan berpendapatan di bawah RM25,000 setahun atau RM2,000 sebulan.

Omar berkata, langkah itu wajar kerana golongan berpendapatan RM35,000 setahun masih tidak mempunyai kemampuan kewangan mencukupi untuk membayar khidmat guaman.

“Dengan yuran guaman yang tinggi ketika ini, sara hidup yang tinggi serta kenaikan harga barang, saya berpendapat mereka bergaji RM3,000 sebulan juga masih tidak mampu menampung kos guaman dan amat memerlukan bantuan guaman,” katanya.

YBGK dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Februari lalu hasil inisiatif kerajaan bersama Majlis Peguam dalam memenuhi hasrat kerajaan untuk memastikan keadilan dinikmati semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang.

CUEPACS MAHU BANTUAN GUAMAN DIPERLUAS

Utusan Malaysia
28/2/2011



BATU PAHAT 27 Feb. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan menimbangkan supaya bantuan guaman dan khidmat nasihat oleh Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) diperluaskan kepada rakyat yang berpendapatan di bawah RM35,000 setahun.

Pada masa ini, bantuan dan khidmat YBGK hanya dihadkan kepada semua warganegara yang berpendapatan di bawah RM25,000 setahun.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, langkah itu wajar kerana golongan berpendapatan RM35,000 setahun juga dikenal pasti tidak mempunyai kemampuan dari segi kewangan untuk membayar khidmat guaman.

"Dengan yuran guaman dan sara hidup yang tinggi serta kenaikan harga barang, saya berpendapat golongan itu juga masih tidak mampu dan amat memerlukan bantuan guaman daripada YBGK.

"Keadaan tentu semakin sukar jika golongan ini mempunyai ramai tanggungan dan tinggal di bandar besar," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Skim Saraan Universiti di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini hari ini.

Beliau juga Pengerusi Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Malaysia (Gakum) mengulas mengenai YBGK yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin.

YBGK akan membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan pembelaan ketika seseorang individu itu ditangkap, ditahan atau dituduh dengan kesalahan jenayah dengan dikenakan caj bayaran minimum.

Perdana Menteri semasa melancarkan yayasan itu memberitahu, lebih kurang 80 peratus orang kena tuduh (OKT) dalam kes jenayah tidak mempunyai peguam kerana tidak mampu untuk membayar yuran yang tinggi.

Omar berkata, seiring gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, lebih ramai pihak wajar mendapat bantuan itu supaya mereka mendapatkan keadilan yang sewajarnya.

"Kita faham, buat permulaan mungkin YBGK hanya untuk yang berpendapatan RM25,000 setahun dan ini satu usaha yang wajar dipuji. Bagaimanapun, kita harap ia dapat diperluaskan kepada lebih ramai rakyat yang kurang berkemampuan," katanya.

Dalam pada itu, Omar berkata, langkah melakukan pertukaran kakitangan kerajaan yang menduduki 'kerusi panas' sebagai antara tiga inisiatif yang akan dilaksanakan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengenai rasuah juga wajar diperluaskan kepada kakitangan badan berkanun.

Menurutnya, kerusi panas yang diduduki kakitangan badan berkanun juga mesti dipantau dengan teliti bagi mengelak berlaku rasuah.

"Pada masa sama, jangan dilupakan 'kerusi sejuk' iaitu kakitangan yang sudah terlalu lama tidak dinaikkan pangkat.

"Mungkin tidak berlaku rasuah tetapi produktiviti mereka mungkin menurun kerana rasa tidak dihargai," katanya.

YBGK BERI KEADILAN UNTUK SEMUA - NGO

Utusan Malaysia
27/2/2011


KUALA LUMPUR 26 Feb. - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpendapat langkah kerajaan melancarkan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dapat memastikan golongan yang kurang berkemampuan mendapat pembelaan terbaik.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, ia merupakan langkah bijak kerajaan dalam memastikan golongan yang berpendapatan kurang daripada RM25,000 setahun mendapat khidmat bantuan peguam yang disediakan.

Jelasnya, kebanyakan rakyat yang dihadapkan ke mahkamah gagal untuk membela diri disebabkan kos guaman yang terlalu tinggi bagi mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

"Penubuhan yayasan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat bagi mendapatkan keadilan sekali gus mengelakkan golongan bawahan daripada ditindas dan dianiayai.

"Sebagai contoh, banyak kes penipuan membabitkan pihak atasan yang lebih berkuasa menindas orang bawahan yang tidak mampu membela diri apalagi mahu mendapatkan keadilan.

"Justeru, penubuhan yayasan ini dapat menjamin keselamatan dan keadilan bagi mereka yang memerlukan khidmat guaman," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pelancaran YBGK oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memenuhi hasrat kerajaan untuk memastikan keadilan dinikmati oleh semua rakyat di negara ini.

Dalam pada itu Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Muhammad Shaani Abdullah berkata, penubuhan YBGK dapat memberi kemudahan kepada mereka yang tidak mampu mendapatkan khidmat guaman untuk membela diri.

Jelasnya, ada kes melibatkan mereka yang tidak berkemampuan mengambil risiko mengaku bersalah semata-mata tidak mempunyai wang untuk menanggung kos guaman yang tinggi.

"Jadi, yayasan ini mampu menyediakan proses pembelaan bagi mereka yang tidak berkemampuan di mahkamah tanpa tekanan kos guaman.

"Suhakam turut menyarankan supaya kerajaan meneliti dengan baik setiap permohonan bagi mengelak penipuan mengenai pendapatan isi rumah yang ditetapkan," katanya.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan turut mengalu-alukan penubuhan YBGK yang dilihat mampu menjamin kebajikan rakyat apabila dihadapkan ke mahkamah.

Menurutnya, golongan berpendapatan rendah kini boleh membela diri mereka tanpa memikirkan soal bayaran guaman.

27 Februari 2011

PENGHUNI KUARTERS JALAN COCHRANE DIMINTA PINDAH

Bernama
27/2/2011


KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Penghuni kuarters kerajaan di Jalan Cochrane di sini yang wujud sejak sebelum Perang Dunia Kedua diminta berpindah bagi memberi laluan kepada projek pembinaan kuarters baru.

Setiausaha Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) Jabatan Perdana Menteri, Hasnol Zam Zam Ahmad berkata penghuni di Plot A dan B diberi tempoh sehingga 31 Mac manakala penghuni di Plot C diberi tempoh sehingga Jun untuk berpindah.

"Pihak Tenaga Nasional Berhad dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd akan memotong bekalan elektrik dan air sekiranya mereka ingkar kepada arahan dan kerajaan tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan yang dihadapi mereka kelak," katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan Penyelarasan Penghuni Kuarters Jalan Cochrane di sini pada Sabtu.

Katanya pihak BPH telah membuka bilik gerakan tersebut sejak 15 Feb lepas untuk menyediakan kemudahan pengangkutan bagi urusan perpindahan penghuni kuarters.

Hasnol berkata bilik gerakan itu juga akan menyenarai nama penduduk dan memudahkan setiap keluarga membuat perancangan untuk menetapkan tarikh dan masa yang paling sesuai untuk berpindah.

Penghuni diberi pilihan sama ada untuk berpindah ke kuarters di Putrajaya, Petaling Jaya, Jalan Duta dan Jalan U-Thant serta berapa kawasan lain di sekitar Kuala Lumpur.

Mereka juga boleh memohon rumah sementara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibah di Jalan Puchong.

"Sehingga hari ini, sebanyak 114 penghuni telah diberi penempatan di kuarters kerajaan di Putrajaya dan daripada jumlah itu 54 telah pun mengambil kunci rumah masing-masing.

"Selain itu 31 penghuni telah diberi penempatan di kuarters kerajaan di sekitar Kuala Lumpur manakala 159 penghuni telah memohon rumah PPR dengan DBKL.

"Setakat ini, sebanyak 62 rumah kuarters telah pun dikosongkan manakala 22 penghuni telah hilang kelayakan akibat ketua keluarga yang layak menduduki kuarters kerajaan telah pun bersara sebelum notis perpindahan dikeluarkan oleh kerajaan," katanya.

Terdapat kira-kira 538 unit kediaman di kuarters kerajaan di Jalan Cochrane.

Bagaimanapun, kerajaan akan memberi kelonggaran dengan mempertimbangkan untuk memberi penempatan kepada penghuni sekiranya ketua keluarga yang layak menduduki kuarters kerajaan meninggal dunia, kata Hasnol.

Beliau berkata tapak kuarters kerajaan Jalan Cochrane akan dibangunkan semula untuk pembinaan kuarters kerajaan jenis apartmen antara 15 dan 20 tingkat.

Katanya projek itu melibatkan kos RM220 juta dan akan diuruskan oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan dijangka siap dalam tempoh 30 bulan.

Katanya pembinaan kuarters baru di Jalan Conchrane itu perlu dilakukan untuk menampung lebih ramai kakitangan awam di sekitar ibu negara pada ketika ini selain daripada penduduk asal dari kalangan penjawat awam di kawasan tersebut.

Apabila siap kelak, kuarters baru itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tempat letak kenderaan dan juga stesen sistem transit aliran massa (MRT) yang dicadangkan akan dibina di kawasan tersebut, katanya.

-- BERNAMA

CUEPACS MINTA SEMAK GAJI 5 BIDANG

Berita Harian
2011/02/26



KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menyemak semula skim gaji penjawat awam beruniform iaitu bomba, Jabatan Kastam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan pendapatan mereka setaraf anggota polis dan tentera.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata skim gaji bagi lima bidang penjawat awam beruniform itu tidak sesuai dengan bidang tugas dan tanggungjawab dipikul. > “Jika kita lihat lima bidang penjawat awam itu, tugas mereka perlukan ketahanan fizikal dan mental di mana mereka perlu berhadapan dengan berjaga sehingga lewat malam, berkawal di sempadan negara dan semua ini berkaitan dengan risiko serta tanggungjawab mereka.

“Saya berharap kerajaan semak dan menilai semula skim gaji mereka dan menyelesaikannya dalam tahun ini,” katanya selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina dan pertemuan pertamanya bersama Exco Kanan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) di sini, semalam.

Selain itu, Omar turut mengingatkan orang ramai bahawa Koperasi CUEPACS Berhad adalah satu badan yang berbeza dengan CUEPACS dan mereka tiada hak menyentuh isu berkaitan kongres itu.

Ini berikutan aduan diterima CUEPACS berhubung koperasi itu.
“Saya ada menerima beberapa aduan orang ramai dan saya ingatkan kepada semua, koperasi itu di bawah satu badan lain dan tiada kena mengena dengan CUEPACS,” katanya

26 Februari 2011

KURSUS KENEGARAAN DIMANSUH

Berita Harian
Oleh Nazura Ngah
nazura@bharian.com.my
2011/02/26



Penjawat awam lulus TK1, aras IV layak dipertimbang anjakan gaji

KUALA LUMPUR: Kursus Kenegaraan yang menjadi syarat wajib kepada penjawat awam untuk menerima anjakan gaji, dimansuhkan selaras pemansuhan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) berkuat kuasa 1 Januari lalu. Mengikut surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 17 Februari lalu, kursus kenegaraan dikecualikan kepada pegawai yang lulus PTK di Tahap Kecekapan 1 (TK1) dan pegawai yang mendapat aras IV di TK1, sekali gus melayakkan mereka dipertimbangkan anjakan gaji tahun ini. Surat edaran bertajuk ‘Pengecualian Syarat Kursus Kenegaraan di TK1 dan Urusan Kenaikan Pangkat Selepas Pemansuhan PTK’ ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah menjelaskan pelaksanaan urusan kenaikan pangkat mulai 1 Januari lalu perlu diselaraskan terutama membabitkan pencapaian PTK.

Katanya, tarikh kenaikan pangkat pegawai yang lulus PTK adalah berdasarkan tarikh memangku atau tarikh lulus PTK iaitu mana yang terkemudian, manakala bagi pegawai yang belum lulus PTK, kenaikan pangkat berkuat kuasa selepas 1 Januari 2011.

Ketetapan itu hendaklah digunakan dalam menetapkan tarikh kenaikan pangkat pegawai yang terbabit ketika memperakukan kepada Lembaga Kenaikan Pangkat yang berkenaan sehingga ketetapan baru dikeluarkan.

“Ketua perkhidmatan atau ketua jabatan dalam menimbangkan pegawai bagi urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat boleh memberi keutamaan kepada pegawai yang lulus PTK tetapi ia juga tertakluk kepada syarat skim, merit, kesesuaian dan kepentingan perkhidmatan serta kriteria lain yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat,” katanya.
Awal bulan lalu, Berita Harian melaporkan dakwaan CUEPACS mengenai beratus penjawat awam yang berhak mendapat kenaikan gaji RM200 hingga RM400 sebulan selepas lulus PTK aras IV tahun lalu, tidak mendapatnya berikutan tindakan Biro Tatanegara (BTN) menghentikan Kursus Kenegaraan.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, dilaporkan berkata penjawat awam terbabit tidak menerima sebarang makluman daripada BTN berhubung kursus itu sehinggalah pihaknya menghubungi mereka dan dimaklumkan kursus berkenaan dihentikan sehingga Jun depan.

Lok yang menghubungi Berita Harian, kelmarin berkata pengecualian kursus kenegaraan akan memberi faedah kepada beribu penjawat awam yang sedang menunggu kenaikan pangkat, tetapi penjawat awam masih terikat dengan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) dan perakuan ketua jabatan untuk melayakkan mereka menerima anjakan gaji.

25 Februari 2011

INOVATIF PATUT JADI SYARAT GURU NAIK PANGKAT

Berita Harian
2011/02/24




MENARIK sekali pandangan Dr Kamal Jit Singh yang disiarkan akhbar ini pada 19 Februari lalu mengenai pemikiran inovatif.

Sekolah memang tempat paling sesuai melahirkan insan yang berfikiran kreatif dan inovatif. Guru perlu terlebih dulu memiliki pemikiran inovatif untuk menjadi perangsang kepada pelajar yang inovatif. Bukan sekadar guru yang mengutamakan kelulusan dan memberi maklumat kepada pelajar untuk dihafal dalam peperiksaan.

Ramai guru berkeupayaan untuk melakukan inovatif. Setiap tahun, pada Hari Guru juga ada anugerah Guru Inovatif.

Lebih ramai guru boleh melakukan inovatif jika diberi insentif.
Oleh itu, dalam usaha kita mencari alternatif Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) untuk penjawat awam termasuk guru, unsur guru inovatif wajar dijadikan kriteria penting untuk kenaikan pangkat, pemilihan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Guru Cemerlang.
Guru inovatif mempunyai pengalaman dan idea untuk merenung masalah dalam profesion, mencari jalan penyelesaian, menyusun strategi, mengubah suai strategi, melaksanakan program, membuat penilaian, menunjukkan demonstrasi, serta dokumentasi.

Setidak-tidaknya guru boleh membuat kajian tindakan dalam P&P. Hasil kreatif dan inovatif mereka boleh menjadi rujukan guru lain.

Sekolah perlu mempunyai jawatankuasa penilai untuk ketelusan pemilihan. Langkah ini secara tidak langsung meningkatkan profesion perguruan.

Program inovasi itu mungkin dijalankan oleh seorang guru atau dalam kumpulan.
Kemahiran bekerja dalam kumpulan juga adalah satu usaha inovatif yang bukan mudah dibina dalam kalangan guru di sekolah.

GURU BIASA,

24 Februari 2011

MINDA PENGARANG: SISTEM PENGGILIRAN TUGAS MAMPU BERSIHKAN PERSEPSI NEGATIF RAKYAT

Berita Harian
22/2/2011




PEGAWAI dan kakitangan awam yang memegang jawatan ‘panas’ sukar untuk mengelak daripada persepsi negatif, terutama mereka yang terbabit dalam agensi penguatkuasaan. Kehadiran mereka juga sering dipandang serong masyarakat. Melihat latar belakang dan persekitaran tugasan yang terdedah kepada perlakuan rasuah, persepsi itu bagaikan stigma yang sukar dipisahkan.

Justeru, ada kebenarannya dengan kenyataan Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah, Datuk Hisham Nordin, kelmarin supaya pegawai dan kakitangan penyandang jawatan itu diwajibkan mengikuti sistem penggiliran tugasan sebagai antara usaha kerajaan memerangi rasuah. Bagi orang ramai, tindakan proaktif sebegini diyakini boleh mengurangkan rasuah kerana usaha membanterasnya ke akar umbi memerlukan strategi, komitmen serta masa, selain pengorbanan kakitangan itu sendiri. < Kita tahu segelintir penyandang jawatan ‘panas’ seperti di Jabatan Imigresen dan Kastam yang masing-masing sepatutnya menjadi penapis kemasukan warga serta produk asing ke negara ini, sebaliknya terbabit gejala mengambil ‘duit kopi’ atau menerima ‘habuan bawah meja’ untuk menghalalkan cara atau mengetepikan undang-undang. Orang ramai juga mempunyai persepsi negatif terhadap pasukan polis ketika majoriti anggotanya benar-benar bertindak untuk menguatkuasakan undang-undang. Justeru, sistem penggiliran tugasan, sama ada berpindah jabatan dan tempat kerja, diharap mampu melonjakkan semula nama baik pasukan penguat kuasa. Sebelum ini, kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia, yang setakat ini sudah mengemukakan 125 cadangan bagi memulihkan imej dan kredibiliti pasukan itu dari sudut kaca mata awam. Dengan mewajibkan sistem penggiliran tugasan yang akan dikemukakan kepada Kabinet dalam masa terdekat, kita yakin sebahagian lagi persepsi negatif terhadap penyandang jawatan ‘panas’ dapat dikikis dan orang awam kembali menaruh keyakinan terhadap kredibiliti mereka.

Jawatan panas turut membabitkan pegawai dan kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), selain pegawai peringkat daerah dan pihak berkuasa tempatan. NKRA Rasuah juga wajar melihat potensi rasuah di jabatan yang ada kaitan dengan lesen, permit, subsidi, kelulusan, perbekalan dan operasi supaya tanggapan jentera perkhidmatan awam terdedah gejala rasuah dapat dikikis ke tahap paling minimum. Kita tahu gejala rasuah antara ancaman terbesar sesebuah negara dan bangsa.

Rasuah dalam apa juga bentuk, boleh mempengaruhi banyak keputusan atau tindakan pada semua peringkat sehingga meruntuhkan sistem dan integriti kerajaan. Membanteras gejala rasuah dipertingkatkan selaras usaha melaksanakan transformasi sektor awam dan swasta, selain parti politik komponen Barisan Nasional (BN) supaya ketiga-tiganya mampu melaksanakan tadbir urus secara berkesan serta telus mencapai piawaian urus tadbir kelas dunia. NKRA Rasuah juga perlu peka terhadap mana-mana jabatan atau agensi perkhidmatan awam dan potensi berlaku gejala rasuah di dalamnya.

Ketika fokus umum dialih kepada tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan, langkah memperkukuh imej serta kredibiliti harus dilakukan dari sudut menangani penyelewengan kuasa dan dana dalam entiti itu. Usaha memerangi rasuah jangan dilihat bermotifkan politik atau dipolitikkan. Selain bukti inisiatif dan komitmen kerajaan, tindakan itu selaras aspirasi rakyat yang menuntut semua urus tadbir dilakukan secara profesional, telus dan ada pertanggungjawaban.

PENJAWAT AWAM DISARAN SIMPAN DAN TULIS DIARI

Bernama
24/2/2011


KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) Datuk Seri Dr Rais Yatim menyarankan setiap penjawat awam di kementerian itu menyimpan dan menulis diari mengenai pengalaman masing-masing sehingga dapat menghasilkan sebuah buku untuk tatapan rakan-rakan.

Bagaimanapun, katanya penghasilan sesebuah buku mungkin tidak akan tercapai sekiranya tidak disusuli dengan minat.

"Masalahnya ialah minat... jika minat kita untuk menulis tidak cukup, tidak tebal maka penghasilannya mungkin tidak jadi tetapi sekiranya minat itu diasah dari mula-mula kita bertugas dan berkhidmat, saya percaya kementerian inilah salah satu kementerian yang boleh melahirkan penulis biografi kemudiannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis meraikan persaraan empat pegawai kanan KPKK di sini Rabu.

Mereka ialah bekas Timbalan Ketua Setiausaha KPPK (Kebudayaan) Datuk Mohammed Mohd Daud, bekas Ketua Pengarah Arkib Negara Datuk Sidek Jamil, bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Selamat Sukimi dan bekas Penasihat Media kepada Menteri Datuk Abdul Rahman Hamid.

Rais turut berharap keempat-empat pegawai kanan KPKK yang telah berkhidmat lebih 32 tahun itu mengambil peluang menulis pengalaman masing-masing untuk dijadikan bahan bacaan generasi seterusnya.

"Lantaran masa penjajahan Inggeris dulu mereka gemar menulis tentang perjuangan dan pandangan mereka tentang tanah air dan orang Melayu serta kehidupan di Malaya atau di Semenanjung Tanah Melayu.

"Jadi apa salahnya saya fikir pegawai-pegawai kita juga pada masa ini rajin menulis dan menghasilkan penulisan untuk ditatap oleh rakan dan rakyat berhubung dengan pengalaman dan latar belakang mereka," katanya.

-- BERNAMA

23 Februari 2011

BEKAS SETIAUSAHA AGUNG NUBE DIPENJARA 10 TAHUN

Utusan Malaysia
23/02/2011 3:45pm

KUALA LUMPUR 23 Feb. - K. Shanmugan, bekas Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), dipenjara 10 tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan pecah amanah dana persatuan tersebut itu pada 16 tahun lalu.

Hakim Azizah Mahamud membuat keputusan demikian setelah mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pertuduhan tersebut. - Utusan

HOT STAFF DITUKAR KE BAHAGIAN LAIN

Berita Harian
Oleh Zanariah Abd Mutalib
zanariah@bharian.com.my
2011/02/22



Langkah untuk atasi rasuah agensi penguatkuasaan

KUALA LUMPUR: Kakitangan agensi penguatkuasaan bermasalah atau disifatkan sebagai ‘hot staff’ termasuk mereka yang pernah terbabit rasuah dan mempunyai rekod tatatertib buruk akan ditukar ke bahagian lain sebelum akhir tahun ini. Mereka akan ditempatkan di bahagian lain yang kurang sensitif bagi memastikan keberkesanan tugas sesuatu agensi, sekali gus mengurangkan kemungkinan berlaku rasuah. Kakitangan berkenaan akan dikenal pasti oleh Unit Pematuhan lima agensi terbabit termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen bagi memastikan masalah sama tidak berulang, selain menjadi teladan kakitangan lain.

Pengarah Pemantauan dan Penyelarasan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah, Datuk Hisham Nordin, berkata selain mengenal pasti kakitangan bermasalah, agensi itu juga akan mengenal pasti jawatan panas (hot job) dan kawasan panas (hot spot) di agensi masing-masing bagi pertukaran kakitangan mengikut jawatan dan tempat bertugas.

“Unit Pematuhan setiap agensi akan diseragamkan supaya memudahkan urusan pertukaran kakitangan, komunikasi antara agensi dan pemantauan pelaksanaan tugas oleh kakitangan, termasuk mematuhi SOP (prosedur operasi standard).

“Dengan ini, setiap agensi dapat memeriksa tugas kakitangan penguatkuasa secara lebih terperinci seperti mengenal pasti kesalahan dilakukan serta menjalankan ujian integriti dan tidak hanya bergantung kepada aduan,” katanya.
Berita Harian semalam melaporkan, semua pegawai dan kakitangan awam menjawat jawatan ‘panas’ terutama agensi penguatkuasaan akan diwajibkan mengikuti sistem penggiliran tugasan sebagai salah satu usaha kerajaan memerangi rasuah.

Beliau berkata, sistem itu dimulakan oleh JKDM tahun lalu di bawah inisiatif makmal NKRA rasuah dan dibentangkan pada pertemuan dengan semua agensi penguatkuasaan, sebelum diputuskan untuk diguna pakai memerangi gejala rasuah di kalangan kakitangan awam

21 Februari 2011

NUTP BANTAH CADANGAN SWATA SEKOLAH KERAJAAN

Bernama
21/02/2011 2:13pm

KUALA LUMPUR 21 Feb. - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) hari ini berkata kesatuan itu membantah sebarang langkah untuk menswastakan sekolah kerajaan.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng berkata, dasar baru kerajaan berhubung kerjasama Menteri Pelajaran, di Limbang minggu lepas bahawa kerajaan menimbangkan untuk menswastakan sekolah tertentu atau membenarkan pihak swasta untuk menguruskan pembaikan dan penyelenggaraan. - Bernama

20 Februari 2011

KERAJAAN PUSAT BELANJA RM3.8 BILION SETAHUN UNTUK KAKITANGAN AWAM DI KELANTAN

Bernama
20/2/2011


KOTA BAHARU, 20 Feb (Bernama) -- Kerajaan persekutuan membelanjakan RM3.8 bilion setahun untuk perbelanjaan mengurus 74,800 kakitangan awam di Kelantan, kata Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Yahya Mamat.

Beliau berkata jumlah peruntukan itu atau kira-kira RM300 juta sebulan adalah untuk memastikan kakitangan awam di Kelantan mampu memberi perkhidmatan cemerlang seterusnya membantu meningkatkan pembangunan di negeri ini.

"Peruntukan yang disalurkan itu lebih banyak, berganda-ganda daripada hasil perolehan negeri setiap tahun iaitu RM300 sehingga RM400 juta setahun," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Taklimat Keselamatan dan Isu-Isu Semasa di sini Ahad.

Majlis itu dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Penceramah pada majlis yang dihadiri kira-kira 117 agensi di Kelantan ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Urus Setia Ibu Pejabat Polis Bukit Aman SAC Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.

Selain peruntukan mengurus kakitangan awam, Yahya berkata kerajaan turut meluluskan sebanyak RM2.4 bilion dalam tempoh dua tahun pertama Rancangan Malaysia Kesepuluh untuk melaksanakan 346 projek di negeri ini.

-- BERNAMA

KAKITANGAN KERAJAAN DUDUK 'KERUSI PANAS' DITUKAR

Utusan Malaysia
20/2/2011



PORT DICKSON 20 Feb. - Pertukaran kakitangan kerajaan yang menduduki 'kerusi panas' adalah antara tiga inisiatif akan dilaksanakan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengenai rasuah, pada tahun ini.

Selain jawatan di kerusi panas, kakitangan yang kerap dikaitkan dengan rasuah juga akan terlibat dalam inisiatif tersebut.

Pengarah NKRA Rasuah, Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan, Datuk Hisham Nordin berkata, kerusi panas dimaksudkan ialah mereka yang bertugas di tempat kritikal serta berkait rapat dengan imej negara seperti pintu masuk negara, agensi penguatkuasaan dan pejabat tanah.

Beliau berkata, pihaknya melaksanakan penilaian risiko pada tahun lalu yang mengenal pasti tempat atau jawatan yang memberi ruang luas untuk individu melakukan kesalahan rasuah.

"Sebagai contoh, kakitangan di pintu masuk negara seperti lapangan terbang terdedah kepada perbuatan membawa masuk pendatang tanpa izin dan senjata atau kakitangan jabatan yang berurusan secara terus dengan orang ramai atau di peringkat lebih kecil seperti pejabat tanah.

"Terdapat juga staf itu sendiri bertaraf 'panas' yang mana ke mana saja dia pergi, tempat itu akan menjadi 'panas' dengan perbuatan rasuah," katanya pada sidang akhbar selepas sesi makmal mini NKRA Memerangi Rasuah 2011 di sini hari ini.

Makmal mini selama tiga hari bermula sejak Khamis lalu melibatkan 35 peserta daripada kementerian dan agensi kerajaan serta perunding asing.

Antara lain, makmal mini itu bertujuan menyemak dan mendapatkan maklum balas daripada kumpulan fokus mengenai kesan pelaksanaan inisiatif NKRA tahun lalu dan merancang strategi dan penambahbaikan pelaksanaan inisiatif bagi tahun ini.

Hisham memberitahu, pertukaran yang hendak dilaksanakan itu tidak mudah kerana ia akan melibatkan kos kepada kerajaan tetapi tempat yang mempunyai risiko tinggi perlu dikendalikan dengan betul.

Katanya, hasrat yang hendak dicapai dalam usaha itu ialah untuk menentukan mereka yang duduk lama di jawatan tertentu tidak mempunyai peluang melakukan kesalahan rasuah.

"Jika kakitangan itu sendiri sememangnya berkesan dalam menjalankan tugas sekali pun, ia tidak akan memberi imej baik kepada kerajaan dalam kerangka yang lebih besar," ujarnya.

Beliau memberitahu, dua inisiatif lain yang hendak dijayakan pada tahun ini ialah reformasi perkhidmatan awam dan melaksanakan pakatan integriti secara menyeluruh.

Secara peribadi, katanya, beliau juga mahu menyelesaikan inisiatif berkaitan sumbangan dana kepada parti-parti politik.

"Kami berharap semua inisiatif ini akan diterima dan dekat di hati rakyat kerana pendekatan NKRA bukan sahaja soal pelaksanaan tetapi apa yang paling penting ialah kesan dari pelaksanaan itu," katanya.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu, kejayaan besar pihaknya ialah pelaksanaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Pusat Maklumat Perolehan Kerajaan (MyPROCUREMENT), Pangkalan Data Pesalah Rasuah, penubuhan unit pematuhan di agensi penguatkuasaan dan penubuhan Mahkamah Khas Rasuah.

19 Februari 2011

SEMANGAT MUSYAWARAH DI KALANGAN PENJAWAT AWAM MAMPU CIPTA LEBIH BANYAK KEJAYAAN - FORUM PERDANA

Bernama
18/2/2011



KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Penjawat awam perlu mengamalkan semangat musyawarah dengan rakan sejawatan seperti yang dianjurkan Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W. dalam usaha mencipta lebih banyak kejayaan bagi organisasi dan kerjaya mereka.

Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Pahang Badlishah Alauddin berkata mereka perlu mencontohi sikap Rasulullah yang menganggap sesuatu kejayaan itu adalah atas usaha bersama.

"Semangat musyawarah atau perbincangan perlu diterapkan di kalangan sesama penjawat awam yang lain untuk mencipta lebih banyak kejayaan," katanya pada Forum Perdana sempena sambutan Maulidurasul anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) di Masjid Muhammadi, Angkasapuri di sini.

Forum bertajuk "Kepimpinan Rasulullah: Aplikasi dan Penghayatannya" disertai panel terdiri Badlishah, anggota Majlis Fatwa Negeri Sembilan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dengan Dr Mohd Redhuan Tee Abdullah sebagai moderator.

Forum itu, yang dihadiri para kakitangan daripada seluruh jabatan dan agensi KPKK, antara lain mengingatkan umat Islam supaya mengaplikasikan sunnah Nabi Muhammad S.A.W dalam pelbagai aspek kehidupan sebelum mengejar cita-cita untuk menjadi pemimpin dalam bidang yang diceburi.

Badlishah berkata Rasulullah perlu dicontohi kerana baginda berjaya menjadi pemimpin ummah yang disegani dan pada masa yang sama tidak mengabaikan peranannya sebagai pemimpin dalam keluarga.

"Antara faktor kejayaan baginda adalah kerana kebijaksanaannya dalam menguruskan pelbagai perkara. Baginda tidak sekali-kali menganggap sesuatu kejayaan itu berpunca daripadanya, sebaliknya menganggap ia sebagai kejayaan bersama," katanya.

Justeru, beliau mengingatkan penjawat awam agar tidak cepat berasa bangga dengan kejayaan yang dicapai.

Pada akhir forum itu, kontinjen KPKK menerima hadiah setelah menjuarai pertandingan Perarakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada Selasa lepas.

-- BERNAMA

18 Februari 2011

PENJAWAT AWAM JANGAN LENGAHKAN KERJA - LAJIM

Utusan Malaysia
18/2/2011




KUALA PENYU 17 Feb. - Penjawat awam digesa membuat sesuatu keputusan atau kelulusan dengan kadar segera dan tidak melengah-lengahkan kerja dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, penjawat awam khususnya ketua jabatan perlu memastikan proses kerja yang diguna pakai sentiasa relevan dan mengikut perkembangan semasa.

Menurut beliau, hanya dengan cara itu ia dapat meyakinkan masyarakat dan memenuhi aspirasi rakyat yang mahukan satu sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap, cepat dan berkesan.

Sehubungan itu katanya, penjawat awam bukan sahaja perlu komited dalam melaksanakan tugas masing-masing, tetapi pada masa yang sama perlu memiliki daya saing dengan meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan.

"Sebagai pelaksana dasar di peringkat akar umbi, penjawat awam perlu meningkatkan kemahiran, kecekapan dan pengetahuan bagi memastikan segala perkhidmatan yang diberikan mampu memuaskan setiap pelanggan iaitu orang ramai," katanya di sini hari ini.

Lajim berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama ketua jabatan kerajaan dan pemimpin masyarakat tempatan daerah Kuala Penyu di Dewan Masyarakat Dato' Shah Bandar Makang di sini.

Mengulas lanjut, Lajim berkata, setiap ringgit yang dibelanjakan oleh penjawat awam seharusnya dibelanjakan dengan berhemah dan boleh memberi impak positif kepada kepentingan rakyat.

Jelasnya, hanya tindakan berhemah tersebut membolehkan kerajaan berjimat dan menggunakannya untuk melaksanakan lebih banyak projek di negeri ini.

Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, kerajaan memandang berat soal integriti dalam kalangan penjawat awam.

"Kesungguhan serta kebolehan penjawat awam di semua peringkat dalam menentukan segala dasar dan program dilaksanakan dengan sempurna merupakan kunci kepada kejayaan negara," katanya.

Sementara itu, beliau yang menghargai sokongan dan serta kerjasama yang diberikan oleh penjawat awam amat mengalu-alukan sebarang cadangan dan pandangan bagi memantapkan lagi perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat.

Pada masa sama, beliau juga mengingatkan rakyat supaya menghargai peranan sektor perkhidmatan awam kerana ia merupakan tulang belakang pembangunan negara.

"Mereka yang suka menghentam sektor awam sebenarnya merupakan golongan yang hanya suka mencari kesalahan orang lain. Pihak berkenaan harus sedar peranan sektor awam kerana mereka inilah yang membantu menjadi jentera kepada dasar dan pembangunan negara," katanya.