SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

27 Februari 2010

BUKAN PANDANGAN CUEPACS

Berita Harian
Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my
25/2/2010


Isu wanita kuasai sektor awam tak pernah dibincang kesatuan


KUALA LUMPUR: Presiden Cuepacs, Omar Osman, semalam menjelaskan isu kebimbangan wanita menguasai sektor awam seperti disuarakan Setiausaha Agung kesatuan itu, Ahmad Shah Mohd Zin bukan pandangan kesatuan itu. Beliau berkata, isu itu juga tidak pernah dibincangkan pada peringkat Kongres Cuepacs dan tidak menolak kemungkinan Ahmad Shah tersalah membuat kenyataan akibat kekeliruan.
Omar berkata, Cuepacs tidak pernah menidakkan sumbangan wanita dalam perkhidmatan awam, malah bersikap terbuka dan seimbang dalam memperjuangkan hak serta kebajikan
penjawat awam. "Lebih tepat lagi, kami percaya gandingan bersama kakitangan dan pegawai kerajaan sama ada lelaki atau wanita adalah yang terbaik untuk menghasilkan sistem penyampaian lebih berkesan," katanya ketika dihubungi, semalam. Omar memberi penjelasan mengenai kenyataan Ahmad Shah, kelmarin yang meluahkan kebimbangan berikutan penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam yang semakin meningkat.
Ahmad Shah juga berkata, trend menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan sebagai pembuat keputusan dan situasi itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara. Beliau mengambil contoh hampir tiga perempat daripada jawatan baru dalam perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) diisi wanita, manakala 70 peratus daripada lebih 350,000 guru juga adalah wanita. Omar berkata, jika wanita dikatakan lebih ramai mengisi jawatan dalam kerajaan berdasarkan pemilihan yang dibuat secara merit, ia seharusnya memberi kesedaran kepada lelaki untuk bersaing dengan sihat. Beliau mengakui ada bidang tertentu sesuai untuk lelaki, manakala perguruan dan kejururawatan dilihat lebih sesuai untuk wanita.
"Kita tidak boleh menafikan sumbangan wanita untuk pembangunan pendidikan, ekonomi dan kekeluargaan. Sebab itu negara menetapkan sasaran 30 peratus wanita untuk mengisi jawatan penting sebagai pembuat dasar," katanya.

1 ulasan:

minorin kushieda berkata...

tak bagi pompuan naik jadi boss sama macam amalkan double standard la. memang wanita mudah dipengaruhi emosi. tapi kena ingat tak semua wanita macam tu. mungkin ada sikit yg naik angin time seminggu. tapi salah la kalau nak label semua pompuan sama.