SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

23 Februari 2010

PUTERI SIFAT CUEPACS BERFIKIRAN SEMPIT

Berita Harian
22/2/2010






KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri Umno menyifatkan kebimbangan Cuepacs mengenai penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam, bukan saja satu penghinaan kepada kakitangan awam wanita, malah menunjukkan kecetekan pemikiran pemimpin pertubuhan kesatuan itu. Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin, berkata beliau bukan saja kesal dengan kenyataan Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin mengenainya, malah menyifatkannya sebagai berbaur tidak adil terhadap wanita.
“Kebimbangan Cuepacs mengenai penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam yang dikatakan semakin meningkat adalah tidak berasas sama sekali. “Kita percaya wanita yang berkhidmat dengan kerajaan dipilih berdasarkan kebolehan serta keupayaan mereka sendiri dan perkembangan itu sama sekali tidak akan memberi kesan jangka panjang terhadap kemajuan dan pembangunan negara seperti didakwa. “Kenyataan ini (Cuepacs) ternyata bertentangan dengan aspirasi kesaksamaan gender yang diuar-uarkan kerajaan selain menidakkan kebolehan dan keupayaan golongan wanita itu sendiri.
“Kesatuan itu sepatutnya mencari jalan dan melihat faktor yang menyebabkan kekurangan lelaki dalam jawatan sebagai pembuat dasar terutama dari sudut jumlah penuntut wanita di institut pengajian tinggi (IPT) yang sentiasa melebihi kaum lelaki,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, malam tadi. Rosnah berkata, kenyataan bahawa dasar kerajaan sekarang hanya memperuntukkan 30 peratus jawatan pembuat keputusan kepada wanita juga dinilai secara tidak tepat oleh Cuepacs kerana penetapan itu hanya membabitkan jawatan tertinggi dalam pentadbiran yang sehingga kini belum tercapai. Presiden Persatuan Pekerja-Pekerja Wanita Malaysia (Perwanis), Silam Hassan, berkata wanita perlu diberi hak sama rata untuk memohon jawatan kosong di sektor kerajaan atau swasta jika tidak mahu melihat penjawat awam wanita hanya tertumpu kepada sesuatu bidang pekerjaan. Beliau berkata, pihaknya melihat wanita tidak diberi banyak pilihan untuk memasuki sektor pekerjaan walaupun kebanyakan daripada mereka mempunyai kebolehan, kelayakan setanding dengan lelaki.
“Disebabkan faktor itu, maka mahu tidak mahu mereka (wanita) memilih bidang yang senang untuk mereka sertai dan tidak hairanlah jika kita lihat ramai pekerja wanita ini berada dalam perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD),” katanya. Naib Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Dr Harlina Halizah Siraj, juga tidak bersetuju dengan Cuepacs kerana JIM melihat perkembangan yang berlaku itu sebagai suatu yang positif untuk golongan wanita. “Tidak salah wanita dilantik memegang jawatan tertentu dalam perkhidmatan awam sekiranya mereka berkelayakan dan berkebolehan untuk mengendalikan tugas yang diamanahkan. Tidak salah, jika mereka yang berkelayakan ini diberi peluang untuk menyertai sektor awam atau swasta, setanding dengan lelaki. “Tetapi, apa yang kita lihat, Cuepacs seolah-olah menjadikan gender sebagai alasan untuk tidak memberi peluang kepada penjawat awam wanita mengembangkan potensi diri mereka,” katanya.

Tiada ulasan: