SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

25 Februari 2010

PAS TAK BIMBANG WANITA KUASAI SEKTOR AWAM

Berita Harian
Oleh Norliza Wasilan

norlizawasilan@bharian.com.my
25/2/2010




KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, berkata penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam yang semakin meningkat tidak sepatutnya menimbulkan kebimbangan kerana sebarang pelantikan atau pengambilan dilakukan berdasarkan merit. Beliau berkata, dalam Islam, tiada perbezaan antara lelaki dan perempuan kecuali dalam beberapa perkara membabitkan peranan dalam mengetuai keluarga. "Saya tak bimbang... mula-mula Pas masuk pilihan raya (dulu) sudah beri kepada Khadijah Sidik jadi wakil Parlimen, (dan) dalam Islam, tak ada lelaki dan perempuan lebih, (tetapi) dalam perkara tertentu ada diberi kepada lelaki untuk mengetuai isteri, itu sajalah.
"Selain itu, terletak kepada meritlah," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam. Selasa lalu, akhbar melaporkan Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zain meluahkan kebimbangan berikutan penguasaan wanita dalam perkhidmatan awam yang semakin meningkat sekarang.

Di KUALA LUMPUR, Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, tidak akan berganjak daripada pendiriannya berhubung isu peningkatan penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam, dan enggan melayan jika ada sebarang tekanan daripada mana-mana pihak untuk mendesaknya meletakkan jawatan. Katanya, beliau bebas untuk menyuarakan pandangan secara ikhlas kerana senario membimbangkan itu adalah realiti, malah mendakwa isu berkenaan pernah dibangkit dan dibincangkan dalam Cuepacs. Beliau menegaskan, pandangan itu tercetus bukan kerana dengki atau antiwanita mahu pun melabelkan kaum itu sebagai tidak bagus, tetapi berdasarkan kebimbangan terhadap implikasi jangka panjang selain untuk menuntut kesamarataan dan keseimbangan bagi golongan lelaki dalam perkhidmatan awam. “Saya tetap mempertahankan pandangan bahawa isu berkenaan perlu ditangani. Wanita tetap ada kelemahan tersendiri dan lelaki ada kelebihan tersendiri.
“Kita yakin dominasi wanita dalam jawatan pembuat keputusan ada kesan terhadap sistem penyampaian kerajaan dalam jangka panjang. Sebagai contoh, seorang wanita yang ‘datang bulan’, emosinya lain dan mempengaruhinya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Tiada ulasan: