SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

18 Februari 2010

TAMBAH CUTI BERSALIN TAK RUGI FIRMA

Berita Harian
Oleh Sharifah Salwa Syed Akil
inasalwa@bharian.com.my
18/2/2010




KUALA LUMPUR: Menambah bilangan cuti bersalin pekerja swasta dari 60 hari kepada 90 hari dilihat tidak menjejaskan mutu dan prestasi kerja kakitangan wanita sebaliknya ia berupaya meningkatkan produktiviti selain menjadi satu motivasi kepada mereka. Sudah tiba masanya, kerajaan bertindak meminda Akta Pekerjaan 1955 yang diguna pakai sekarang, untuk membolehkan wanita terbabit memberi tumpuan sepenuhnya terhadap bayi termasuk memberi penyusuan eksklusif, selain memastikan kesihatan ibu benar-benar pulih sebelum memulakan tugas. Naib Presiden Pertubuhan Kebangsaan Wanita Malaysia (NCWO) Faridah Khalid, berkata pihaknya meminta kerajaan menimbang cadangan itu kerana tempoh cuti 60 hari yang diberikan sekarang masih belum mencukupi bukan saja untuk ibu tetapi juga kepada bayi berkenaan.
“Banyak perkara yang perlu difikirkan oleh ibu terbabit selain memberikan tumpuan kepada bayi dengan memberi penyusuan eksklusif untuk tempoh tiga bulan, mereka juga perlu memikirkan soal mendapatkan orang gaji untuk menguruskan bayi berkenaan. “Jadi, sekiranya mereka diberi cuti bersalin sehingga 90 hari, kehidupan mereka akan menjadi lebih teratur serta memberi ruang secukupnya kepada bayi sekali gus selepas tempoh itu berakhir mereka boleh kembali memulakan kerja dengan tenang dan lebih bersemangat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Semalam, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) mahu kerajaan meminda Akta Pekerjaan 1955 bagi menambah bilangan hari cuti bersalin pekerja swasta dari 60 hari ke 90 hari seiring dengan negara anggota Asean yang lain.
Setiausaha Agungnya, J Solomon, berkata kebanyakan negara Asean menerima pindaan Konvensyen 183 Pertubuhan Buruh Antarabangsa mengenai Perlindungan Bersalin yang bukan saja menetapkan tempoh cuti bersalin lebih panjang tetapi juga peruntukan untuk penyusuan ibu dan penjagaan anak. Naib Presiden Hal Ehwal Wanita Abim, Fadhlina Sidek, berkata penambahan tempoh cuti bersalin tidak akan menjejaskan mutu kerja dan ini sudah dibuktikan oleh beberapa negara Asean yang memberikan tempoh cuti bersalin lebih lama kepada kakitangannya. “Ibu baru bersalin perlukan rehat secukupnya selepas melalui satu fasa yang agak memenatkan dan mungkin tempoh cuti lebih lama ini juga akan memudahkan mereka menyusukan bayi untuk tempoh yang lebih lama berbanding sekarang hanya dua bulan,” katanya. Ahli Majlis Penasihat Wanita Negara, Dr Rokiah Talib berkata, pihaknya melihat cadangan itu suatu yang positif kepada kaum wanita tetapi pada masa sama apa yang membimbangkan adalah keberkesanan proses pelaksanaannya.
“Polisi ini memang bagus tetapi adakah ia akan sama seperti yang dirancangkan. Itu yang kita bimbangkan sekarang ini. Bagi kita, cadangan ini amat bertepatan dengan keperluan semasa di mana ramai wanita berkerjaya dan pada masa yang sama menjadi seorang ibu. “Justeru, dia perlu menguruskan masa antara keluarga dan kerjaya sebaik mungkin. Disebabkan masalah ini ramai di kalangan wanita ini terpaksa berhenti kerja untuk menguruskan rumah tangga dan mungkin sekiranya mereka terus bekerja tanpa rehat yang cukup produktiviti mereka sebagai pekerja akan menurun,” katanya. Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman berkata, pihaknya pernah menghantar kertas cadangan kepada kerajaan beberapa tahun lalu berhubung tempoh cuti bersalin 60 hari kepada 90 hari. “Sehingga kini kita masih belum menerima sebarang maklum balas. Bagaimanapun, kita tidak berputus asa dan berharap tahun ini akan memberikan sesuatu yang positif kepada kakitangan awam.

Tiada ulasan: