SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

18 Februari 2010

SEKTOR AWAM MESTI UTAMA REHAT KAKITANGAN

Berita Harian
18/2/2010




PRESIDEN Cuepacs, Omar Osman dipetik Berita Harian pada 16 Februari lalu sebagai menyatakan bahawa kira-kira 50,000 kakitangan awam bekerja lebih masa di 40 jabatan kerajaan. Juga di laporkan, pekerja ini tidak dibayar elaun lebih masa tetapi diganti dengan cuti rehat. Omar juga mendakwa menerima aduan bahawa pekerja yang enggan melakukan kerja lebih masa diugut ketua jabatan masing-masing, akan dikenakan tatatertib kerana ingkar arahan. Persoalan yang tidak diutarakan di sini ialah mengapa kerja lebih masa diperlukan. Jika kerja itu adalah tugasan luar pejabat seperti tugas penguatkuasaan, maka kerja lebih masa memang diperlukan memandangkan keperluan untuk melaksanakan tanggungjawab itu di luar waktu pejabat atau di luar kawasan.
Tetapi jika tugas lebih masa itu dilakukan di pejabat, maka persoalannya adakah ia perlu dilakukan. Dengan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), banyak kerja dipermudahkan. Justeru, ada kerja yang dapat disiapkan dalam tempoh singkat. Malah tugas tambahan di luar waktu pejabat tidak diperlukan lagi. Banyak jabatan kerajaan apabila menyediakan sesuatu tugasan menggunakan pendekatan sama dengan mengadakan perbincangan demi perbincangan, mesyuarat, menyediakan kertas dan sebagainya yang menyebabkan pegawai pulang lewat malam. Yang menyedihkan pegawai berkenaan terpaksa pula datang ke pejabat seperti biasa keesokan harinya. Kerana keletihan dan tiada masa untuk berfikir, menyebabkan pegawai terpaksa pulang lewat kerana perlu menyiapkan kerja. Pulang lewat tidak semestinya mereka berfikiran kreatif. Malah sebagai manusia biasa, adalah tidak produktif jika sebahagian utama masa digunakan untuk bekerja tanpa rehat.
Manusia memerlukan rehat cukup. Kerja lebih masa apabila diperlukan saja atau apabila jabatan ingin menyelesaikan sesuatu tugas dengan segera. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa jabatan yang setiap hari meminta pegawainya bekerja sehingga lewat malam adalah jabatan yang tidak produktif. Dalam usaha menyiapkan tugasan secara profesional, jabatan kerajaan perlu mencari idea kreatif dan inovatif supaya masa kerja dapat dipendekkan tetapi menghasilkan produk yang luar biasa. Biarkan pegawai pulang mengikut masa ditetapkan jika tugas mereka selesai. Sekurang-kurangnya mereka akan datang pejabat keesokan harinya dengan lebih bersemangat. Sudah tiba masanya jabatan kerajaan melaksanakan tranformasi menyeluruh dengan memanfaatkan ICT dan kreativiti supaya pelaksanaan tugas menjadi mudah. Jabatan kerajaan juga perlu mencipta teknik baru dalam melaksanakan tugas supaya inovasi dapat terhasil. Bekerja sehingga lewat malam bukanlah sesuatu yang patut dibanggakan tetapi bekerja dalam jangka masa yang pendek tetapi menghasilkan produk luar biasa, perlu dijadikan budaya.

AHMAD INOVASI,
Kuala Lumpur.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Bekerja sehingga lewat malam bukanlah sesuatu yang patut dibanggakan tetapi bekerja dalam jangka masa yang pendek tetapi menghasilkan produk luar biasa, perlu dijadikan budaya.Saya amat bersetuju dengan kenyataan En Ahmad Inovasi.Seharusnya Ketua Jabatan dan Ketua Unit lakukan semakan semula senarai tugas anggota apabila berlaku pertukaran,supaya penambahbaikan boleh dilakukan.Jadi Bos kena berani dan tegas untuk bertindak.Penempatan anggota yang terlalu lama di sesuatu unit juga adalah satu fenomena yang menyebabkan minda menjadi jumud bagi anggota yang bekerja mengharapkan gaji semata-mata, tetapi tidak bagi anggota yang menganggap kerja sebagai ibadah.Anggota seperti ini akan berusaha melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa tanpa diarah oleh bos.Tetapi berapa ramai?

Tanpa Nama berkata...

Minta dikaji semula Perintah Am Bab B Perkara III.LEBIH MASA

Cadangan saya: "Kerja Kecemasan" dan kerja di luat pejabat sahaja yang dibayar ELM.
Istiharkan kerja mengawal wabak sebagai "kerja kecemasan".
Tugas-tugas perkeranian dan teknik sudah tidak relevan lagi untuk dilakukan kerja lebih masa.Zaman sudah berubah dan teknologi semakin canggih!