SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

27 Februari 2010

WANITA HANYA ISI KEKOSONGAN JAWATAN

Utusan Malaysia
24/2/2010




KUALA LUMPUR 24 Feb. - Penyertaan wanita yang semakin meningkat di sektor awam bukannya untuk bersaing dengan lelaki tetapi hanya bagi mengisi kekosongan jawatan yang berlaku.
Sehubungan itu, badan-badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan wanita menyifatkan adalah merugikan kepada pembangunan negara jika jawatan itu dibiarkan kosong hanya kerana lelaki tidak berminat atau layak mengisinya.
Yang Dipertua Persatuan Siswazah Wanita Malaysia, Datin Fauziah Ramli berkata, wanita tertarik bekerja di sektor awam walaupun tidak menjanjikan pendapatan lumayan kerana masa depan lebih terjamin.
''Wanita sebenarnya begitu memikirkan kebajikan keluarga dan jika bekerja di sektor awam mereka tidak perlu bimbang takut dibuang kerja dan akan mendapat pencen untuk hari tua,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Ahmad Shah Mohd. Zin melahirkan rasa bimbang terhadap penguasaan kaum wanita di sektor awam.
Ketua 1 Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama), Muharyani Othman pula berkata, wanita juga lebih selesa bekerja di sektor awam kerana bidang pekerjaannya lebih mudah dan kurang tekanan.
''Waktu kerja di sektor awam adalah teratur dan setelah selesai boleh pulang ke rumah untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu,'' katanya.
Jelas beliau, lelaki tidak berminat bekerja di sektor awam kerana mudah berasa bosan disebabkan banyak menghabiskan masa di pejabat.
Presiden Pertubuhan Organisasi Wanita Kebangsaan (NCWO), Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin berkata, wanita di negara ini mempunyai tahap pendidikan yang tinggi, maka mereka memang layak memikul tanggungjawab yang besar di dalam sektor awam.
''Jangan dinilai pretasi mereka berpandukan seorang dua yang lemah disebabkan bimbang dengan penguasaan wanita di sektor awam,'' katanya.
Sementara itu Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam dari Pusat Pemikiran Sejarah Impak, Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, wanita suka bekerja di sektor awam kerana masa bekerja yang teratur.
''Setiap wanita tahu bahawa dia masih ada kerja yang perlu dibereskan di rumah dan kerana itu sektor awam adalah pilihan terbaik,'' katanya.
Malah jelasnya, corak kerja di sektor awam juga berkaitan pengurusan dan tugas itu sebenarnya tidak begitu berbeza dengan tugas di rumah yang juga menguruskan keluarga.
Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Ivy Josiah berkata, penyertaan ramai wanita dalam perkhidmatan awam kerana inginkan jaminan masa depan dan kualiti masa yang ditawarkan sektor tersebut.
''Ini untuk memudahkan mereka mengagihkan tugas di pejabat dan di rumah supaya dapat berjalan dengan lancar," katanya.
Penulis dan pendakwah, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri pula berkata, tidak ada salahnya wanita di Malaysia berkhidmat di sektor awam asalkan mereka jujur dan amanah ketika melaksanakan tugas.
Katanya, paling penting seorang wanita itu harus menjaga adab dan tata susila supaya tidak menimbulkan fitnah terhadap diri mereka.

Tiada ulasan: