SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

02 Februari 2010

MINDA PENGARANG: PELAN BANTU KURANG KETIDAKSEIMBANGAN, RASA TIDAK PUAS HATI RAKYAT

Berita Harian
2/2/2010


SUSULAN janji dan tekad mahu membawa perubahan dalam sosioekonomi serta meningkatkan tahap pengurusan prestasi dan penyampaian sektor awam menuju matlamat menjadi negara maju, kerajaan semalam melancarkan Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP). Pelan itu adalah kemuncak hasil kerja bagi kajian dan mengenal pasti jurang yang akan ditangani kerajaan bagi tempoh 2010-2012. Melaluinya, kerajaan memberitahu rakyat mengenai apa yang akan dilakukan dan apakah yang sudah disampaikan. Ia adalah agenda besar menambah baik sistem penyampaian kerajaan berpandukan gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. GTP akan membuka lembaran baru untuk memacu negara mengaplikasi Model Ekonomi Baru sejajar falsafah yang diterapkan dalam gagasan 1Malaysia. Keberhasilan GTP akan membolehkan negara mencatat pertumbuhan ekonomi pesat, perpaduan masyarakat yang ampuh dan sistem penyampaian kelas pertama. Pada masa sama ia juga akan membantu Malaysia menangani pelbagai isu yang membelenggu perjalanannya meraih status negara berpendapatan tinggi seperti pengaliran keluar modal, penghijrahan tenaga mahir dan ketidakseimbangan pembabitan antara kaum. Menyedari bahawa perpaduan adalah teras kepada kejayaan masa depan, GTP dirumus berlandaskan pendekatan menggalakkan integrasi secara inklusif untuk mengurus polariti antara asimilasi dan pemisahan dalam masyarakat pelbagai kaum. Dengan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), GTP akan membantu mengurangkan ketidakseimbangan dan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat yang kadang kala diluahkan dalam konteks perkauman. Ia juga menjurus ke arah memperkemas mutu sistem penyampaian kerajaan demi menjamin persekitaran lebih kondusif pada semua peringkat pentadbiran, pengurusan, perniagaan dan perkhidmatan bagi meningkatkan mutu hidup rakyat. Dalam penafsiran mudah, GTP sebenarnya ialah pelan yang dirumus untuk rakyat. Kerajaan mahu menyediakan yang terbaik secara saksama dan sama rasa di seluruh negara. Pentadbiran dilakukan secara berhemah, telus, cekap dan pantas. Dengan pelaksanaannya, cabaran besar kini menanti 1.2 juta penjawat awam bagi memastikan GTP dilaksanakan dengan cepat dan berkesan. Mereka harus memastikan dasar yang digariskan tidak terjejas hanya kerana sistem penyampaian yang kurang berkesan. Menerusi GTP, semuanya sudah diatur dan penjawat awam wajib memastikan apa juga yang dirancang, dapat dijayakan. Dalam konteks yang lebih menyeluruh, GTP ialah dokumen ikrar janji kerajaan untuk mengotakan semua yang sudah dijanjikan. Untuk semua, GTP adalah kenderaan yang akan membawa kita ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020 menerusi usaha menambah baik tahap serta mutu kehidupan seluruh rakyat Malaysia.

1 ulasan:

minorin berkata...

adakah penjawat awam telah bersedia untuk berubah?