SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

17 Februari 2011

MTUC INGATKAN MAJIKAN JANGAN SEKAT USAHA KESATUAN LAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB

Bernama
17/2/2011



PETALING JAYA, 17 Feb (Bernama) -- Para majikan tidak seharusnya menyekat usaha kesatuan-kesatuan sekerja yang sah daripada melaksanakan tunggungjawab mereka demi mengekal dan mengukuhkan keharmonian hubungan industri yang dikecapi negara, kata presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Khalid Atan.

Beliau berkata tiada tunjuk perasaan atau ketegangan secara besar-besaran berlaku dalam negara sejak 2001, kerana rata-rata kepimpinan kesatuan sekerja ketika ini lebih bertanggungjawab yang memilih untuk berunding secara aman dalam menangani setiap isu.

Bagaimanapun menurutnya sejak kebelakangan ini beliau mendapati ada kalangan majikan yang menggunakan taktik yang tidak beretika untuk melemahkan kesatuan sekerja.

"Mereka sering menggunakan taktik menggalakkan penubuhan kesatuan sekerja dalaman yang disertai pekerja-pekerja yang menyokong mereka untuk menjatuhkan atau sabotaj kesatuan sekerja yang sah," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ini adalah cara tidak langsung yang sering digunakan bagi mencampuri urusan kesatuan.

"Dalam jangka masa panjang taktik ini akan memakan diri apabila para pekerja terpengaruh dengan janji-janji palsu yang diberikan oleh pihak pengurusan kepada kesatuan sekerja dalaman, yang sehati dengan majikan," katanya.

Khalid berkata salah satu anggota gabungan MTUC, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (Nube) kini berhadapan dengan keadaan sama apabila sebuah kesatuan sekerja ditubuhkan dengan sokongan pihak pengurusan.

"Kami difahamkan pegawai-pegawai Nube dihalang daripada menjalankan tugas (di bank) dan keutamaan diberikan kepada kesatuan sekerja dalaman," katanya.

Beliau berkata pendaftar Kesatuan Sekerja perlu menjalankan siasatan dengan segera perkara ini, kerana jika dibiarkan ia akan memusnahkan kesatuan-kesatuan sekerja.

Nube merupakan kesatuan sekerja terbesar dan tertua dalam sektor kewangan di Malaysia dan mewakili kira-kira 40,000 daripada 70,000 pekerja dalam sektor itu.


-- BERNAMA

Tiada ulasan: