Najib terima maklum balas positif, mahu praktik Strategi Lautan Biru

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak gembira dengan maklum balas positif rakyat terhadap 11 langkah penjimatan sektor awam yang diumumkannya Isnin lalu.

Perdana Menteri berkata, ia adalah permulaan bagi langkah lain yang bakal dilaksanakan berdasarkan keperluan semasa bagi kesejahteraan bersama.

“Alhamdulillah, langkah pengurangan kos perbelanjaan kerajaan yang saya umumkan Isnin lalu mendapat maklum balas baik daripada rakyat. Langkah ini adalah permulaan kepada langkah lain yang bakal dilaksanakan berdasarkan keperluan dan keadaan semasa.



Optimum ruang pejabat

“Kita akan mengurangkan penggunaan kain pemidang bagi penganjuran majlis rasmi kerajaan, mengoptimum penggunaan ruang pejabat sedia ada untuk mengurangkan kos sewa premis dan menggunakan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan mengoptimum penggunaan Pusat Latihan 1Malaysia (1MTC) dan kemudahan institusi latihan milik kerajaan,” katanya dalam catatan terbaru Facebook beliau.

Isnin lalu, Najib mengumumkan 11 langkah mengurangkan perbelanjaan sektor awam, berkuat kuasa kelmarin, sejajar hasrat kerajaan berbelanja secara berhemah.

Antaranya pengurangan 10 peratus elaun keraian menteri dan timbalan menteri serta lima hingga 10 peratus bagi pegawai kanan kerajaan Gred Jawatan Utama Sektor Awam C (JUSA C) ke atas dan pengurangan lima peratus kos utiliti elektrik di semua kementerian, jabatan, agensi dan premis kerajaan.
Kelmarin, Tun Dr Mahathir Mohamad memuji 11 langkah itu dan yakin dapat membantu meringankan bebanan kos sara hidup rakyat, selain membuktikan komitmen tinggi kerjaaan memastikan rakyat tidak terlalu dibebani kesan kenaikan itu.


Disokong pelbagai pihak

Turut menyokong ialah CUEPACS dan Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Zakariah Abdul Rashid, kerana ia memberi kesan ke atas perbelanjaan operasi, sekali gus mengurangkan emolumen kerajaan dalam keadaan ekonomi global tidak menentu tahun ini.

Najib juga mengucapkan selamat memulakan sesi persekolahan baharu kepada pelajar dan berdoa semoga 2014 membawa kejayaan untuk semua rakyat Malaysia.