SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

20 Oktober 2007

KAJI DASAR KELUAR CARUMAN

Petikan dari Utusan Malaysia
20/10/2007

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mewakili sejumlah 543,000 pencarum menggesa kerajaan mengkaji secara menyeluruh dasar pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, nasib 43,000 orang kakitangan perkhidmatan awam yang mencarum dalam KWSP turut berdepan masalah yang sama jika kerajaan mengambil jalan mudah mengenai dasar pengeluaran caruman.
Beliau berpendapat, hala tuju penubuhan KWSP dikhuatiri menyimpang daripada matlamat asal kerana wujudnya pelbagai kaedah pengeluaran awal wang caruman sebelum persaraan.
“Kerajaan sudah mula memberi kelonggaran untuk membuat pelbagai pengeluaran termasuk membayar ansuran rumah setiap bulan, bakinya kelak tidak seberapa,” ujarnya.
Menurut beliau, pihaknya pernah menasihatkan ahli-ahli CUEPACS supaya tidak membuat pengeluaran sewenang-wenangnya walaupun terdapat ‘tarikan’ untuk berbuat demikian.
Sementara itu, Timbalan Presiden MTUC, Mohamed Shafie B. P. Mammal berpendapat, kaedah pengeluaran wang sedia ada kecuali untuk pembelian dan bayaran ansuran rumah perlu diperketatkan bagi mengelakkan para pencarum ‘papa kedana’ selepas bersara.
Menurut beliau yang mewakili hampir 500,000 ahlinya yang mencarum dengan KWSP, skim pelaburan unit amanah pula hanya boleh diteruskan jika ia dilaksanakan dengan bijak dan mendatangkan pulangan menguntungkan kepada pencarum.
“Pengeluaran caruman tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana ia merupakan simpanan hari tua dan sebarang tindakan tanpa perancangan rapi menyebabkan hidup para pencarum semakin terhimpit,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Mohamed Shafie mengulas konflik dihadapi oleh pencarum KWSP yang bakal dihimpit kemiskinan apabila purata simpanan seorang pencarumnya yang mencapai usia 55 tahun cuma RM114,000 berdasarkan caruman terkumpul berjumlah RM224 bilion sehingga Disember 2006.
Ini bermakna, seseorang pencarum yang bersara hanya mampu membelanjakan RM475 setiap bulan bagi membolehkannya menampung hidup sehingga usia 75 tahun sehingga meletakkan mereka dalam kategori golongan berpendapatan di bawah paras kemiskinan.
KWSP mempunyai kira-kira 11 juta pencarum dengan 47,500 orang akan mencapai umur bersara pada tahun ini.
Mengulas cara menambah nilai tabungan pencarum, Mohamed Shafie memberitahu, kadar peratusan caruman pekerja dan pencarum sedia ada tidak lagi munasabah untuk dilaksanakan.
Menurut beliau, ia perlu disemak semula bagi mengembangkan tabungan dan membolehkan pencarum menampung kos hidup yang semakin meningkat selepas bersara.
Beliau berpendapat, kadar caruman ideal bagi pekerja perlu dinaikkan daripada 11 peratus kepada 14 peratus manakala kadar caruman majikan ditambah daripada 12 peratus kepada 15 peratus.
Katanya, peningkatan tersebut mampu menambah jumlah simpanan pencarum berpendapatan rendah bagi membolehkan mereka hidup selesa.
‘‘Apa yang berlaku sekarang, kebanyakan pesara berpendapatan rendah terpaksa bekerja semula secara sambilan untuk menampung kos hidup dan melangsaikan baki hutang seperti pinjaman perumahan, kos perubatan dan membiayai pendidikan anak.
‘‘Kita sudah 50 tahun merdeka, sudah tiba masanya kerajaan menyemak semula dasar pengurusan dana KWSP bagi memastikan rakyat hidup sejahtera untuk 50 tahun akan datang,’’ ujarnya.
Mengulas lanjut, Mohamed Shafie berkata, kajian itu turut meliputi pembayaran dividen sebanyak lima peratus kepada pelabur-pelabur yang disifatkan terlalu rendah.
‘‘Sampai bila KWSP hendak bertahan dengan dividen lima peratus setiap tahun sedangkan caruman terkumpul berbilion-bilion ringgit,’’ tambahnya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi, Datuk Dr. Ismail Mohd. Salleh meminta kerajaan mengkaji semula cadangan supaya wang caruman tidak dikeluarkan sekali gus tetapi secara beransur-ansur seperti pengeluaran pencen.
Katanya, pengeluaran itu boleh dilakukan secara bulanan bertujuan menampung perbelanjaan pencarum untuk tempoh tertentu misalnya sehingga 20 tahun.
Dengan cara itu, ia membolehkan pencarum merancang perbelanjaan setiap bulan dan membantu mereka berjimat cermat.
‘‘Cadangan itu pernah mendapat bantahan keras pelbagai pihak termasuk pencarum ketika dikemukakan tiga tahun lalu tetapi kesesuaiannya wajar dikaji semula jika ia menguntungkan untuk jangka panjang,’’ tambahnya.

3 ulasan:

Chinta Chundary berkata...

dah abih duit tu yang asik minta naik gaji je pak omar

chinta berkata...

sumenya disebabkan kos sara hidup..ringgit malaysia bukan macam dulu. kuasa membeli dah kecil

FULL Movies/Drama Online - BudakGemok[dot]com berkata...

perkara ni sepatutnya dah lama dikaji..harap kerajaan pertimbang


.:: Free HQ Movies and Drama by Budak Gemok [dot] com. Watch Online ::.