SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

21 Julai 2010

KENYATAAN CUEPACS PENJAWAT AWAM RASUAH SALAH

Utusan Malaysia
21/7/2010



KUALA LUMPUR 21 Julai - Hanya 190 penjawat awam ditangkap kerana rasuah tahun lalu, bukannya seramai 418,200 atau 41 peratus seperti didakwa oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Sehubungan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong menafikan kenyataan CUEPACS itu dan penjelasan mengenainya sudah pun dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan baru-baru ini.

"Ia sebenarnya melibatkan perbandingan jumlah tangkapan penjawat awam dengan jumlah keseluruhan tangkapan pelaku rasuah dan bukannya penglibatan 41 peratus daripada keseluruhan penjawat awam dalam jenayah rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Mohamad Ezam Mohd. Nor pada sidang Dewan Negara hari ini yang bertanyakan sejauh mana kebenaran dakwaan CUEPACS bahawa hampir separuh penjawat awam terlibat dengan rasuah.

Mengulas lanjut, Vui Keong berkata, mengikut perangkaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, hanya 190 orang daripada 500 orang yang ditangkap ialah penjawat awam.

"Ini merangkumi 38 peratus daripada keseluruhan tangkapan pada tahun berkenaan. Jika dibandingkan dengan 2008, terdapat penurunan tangkapan di kalangan penjawat awam iaitu seramai 282 orang berbanding 605 orang yang ditangkap," katanya.

Tambah beliau, kenyataan yang dikeluarkan oleh CUEPACS itu amat tidak tepat dan tidak bertanggungjawab kerana dibuat tanpa terlebih dahulu membuat kajian dan mendapatkan penjelasan kerajaan.

Mohamad Ezam yang mencelah kemudiannya menyatakan kesyukuran kerana kenyataan CUEPACS itu tidak betul dan sekiranya keadaan sebaliknya ia adalah satu malapetaka kepada negara.

"Jumlah 41 peratus merupakan satu angka besar dan jika betul, ia akan meruntuhkan tamadun negara ini. Cuma saya fikir penjelasan harus dilakukan sebaik mungkin kerana kenyataan itu telah dihebahkan oleh semua media.

"Sudah tentu ia memberikan imej yang tidak baik kepada kakitangan awam," katanya.

Tiada ulasan: