SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

29 Disember 2020

Cuepacs bantah pelaksanaan JPA mengenai MBK

 Sinar Harian 
28/12/2020


SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membantah pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan baharu oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) yang akan berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Januari ini.

Presidennya, Adnan Mat berkata, pihaknya dimaklumkan pelaksanaan pekeliling tersebut bertujuan untuk penambahbaikan terhadap dasar hubungan majikan dan pekerja dalam perkhidmatan awam melalui MBK.

“Keputusan pekeliling tersebut tidak dirunding atau melibatkan Cuepacs selaku wakil pekerja dan tiga wakil MBK lain iaitu Pekerja-Pekerja Pengurusan dan Profesional, Pekerja-Pekerja Sains dan Teknologi Dalam Kumpulan Pelaksana serta Pekerja-Pekerja Am Dalam Kumpulan Pelaksana.

Saya berpandangan pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan yang melibatkan dasar hubungan majikan dan pekerja perlu melibatkan semua pihak berkepentingan bagi memastikan kewujudan MBK kekal relevan dan mampu menjadi salah satu dasar penting dalam perkhidmatan awam.

“Bagaimanapun tindakan JPA yang melaksanakan pekeliling tanpa rundingan dengan pihak berkepentingan memberi gambaran kerajaan cuba sabotaj peranan kesatuan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

 ANULAE kecewa tiada rundingan laksana pekeliling baharu

Adnan berkata, tindakan pegawai tertinggi dalam kerajaan yang bercanggah dengan aspirasi kerajaan itu seolah-olah mencuba untuk menghapuskan sokongan kakitangan awam kepada kerajaan.

Sehubungan itu, Adnan memohon JPA untuk menangguhkan dahulu pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan mengenai MBK tersebut sehingga rundingan dilakukan bersama Cuepacs dan semua ahli dalam ketiga-ketiga MBK tersebut.

“Sekiranya dahulu JPA sentiasa berunding dengan Cuepacs sebelum melaksanakan sesuatu pekeliling baharu, perkara tersebut sepatutnya dipraktikkan juga dalam pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan ini.

“Janganlah diabaikan suara pekerja dalam melaksanakan sesuatu pekeliling kerana ini akan mengundang kegagalan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya JPA masih mahu melaksanakan pekeliling tersebut, Cuepacs akan membawa perkara berkenaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Tiada ulasan: