SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

21 Disember 2020

 Sinar Harian
20/12/2020


Akhir-akhir ini, kita sering dihidangkan pelbagai berita gejala rasuah dan pelanggaran integriti membabitkan penjawat awam tidak kira pangkat atau pun jabatan.

CUEPACS mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak yang membongkarkan gejala rasuah dan salah guna kuasa untuk kemahuan diri hingga membelakangkan kepentingan negara.

Pada asasnya, perbuatan terbabit tidak boleh diterima semua pihak apatah lagi membabitkan penjawat awam bertanggungjawab dan memegang ikrar 'berkhidmat untuk negara'. Sebagai anggota perkhidmatan kerajaan yang menjadi nadi pentadbiran negara, sudah tentu rakyat meletakkan harapan besar kepada penjawat awam.

Bagaimanapun, tindakan sesetengah pihak memberi gambaran gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam perkhidmatan awam seperti barah tidak dapat diubati lagi, tidak boleh diterima CUEPACS.


Apatah lagi ia seolah-olah terus memberi hukuman kepada semua warga perkhidmatan awam yang kekal komited dan berdedikasi melaksanakan tugas kepada rakyat serta negara.

Jika lihat statistik, sejak 2016 hingga September lalu, hanya 2,287 kertas siasatan dibuka ke atas penjawat awam bagi menyiasat aduan kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Berdasarkan angka berkenaan, jumlah itu kurang 0.15 peratus daripada keseluruhan 1.6 juta penjawat awam dan ia tidak mengambil jumlah kes didapati bersalah selepas siasatan dan pendakwaan di mahkamah dilakukan.

Peratusan 0.15 peratus itu jumlah sangat kecil sekiranya kita mahu menggambarkan rasuah atau salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam seperti barah tidak boleh dirawat lagi.

Kebanyakan kes rasuah dan salah guna kuasa dalam perkhidmatan awam hanya diperbesarkan sahaja hingga menimbulkan persepsi awam ia begitu teruk dan tidak lagi dapat dibendung.

Perkhidmatan awam menolak dan tidak menerima budaya atau amalan salah laku ini, tetapi kita juga tidak boleh menerima jika kesalahan berkenaan diperbesarkan hingga memberi gambaran buruk terhadap penjawat awam.

CUEPACS menyambut baik apa sahaja usaha atau penambahbaikan dalam perkhidmatan awam bagi membendung salah laku dan rasuah, tetapi biarlah ia tidak memberi gambaran seolah-olah penjawat awam terlalu teruk.

Rasuah tetap salah, walaupun nilai diterima atau diminta itu sedikit. Sebagai penjawat awam, kita semua perlu tahu membezakan mana yang hak dan batil supaya tidak terjebak.

Semua anggota perkhidmatan awam lantikan baharu perlu didedahkan dengan peraturan semasa dalam perkhidmatan awam dan kesan dihadapi jika melanggar peraturan itu.

Pendedahan awal budaya tidak baik dalam setiap jabatan akan menyebabkan kakitangan lama ini malu melakukannya lagi, selain menjadikan lantikan baharu lebih bermotivasi dan sentiasa menjaga integriti.

Pada masa sama, tapisan lebih ketat perlu dibuat ketika proses pengambilan kakitangan kerajaan dengan mendapatkan kerjasama daripada polis.

Tapisan ketat itu perlu dilakukan untuk semua peringkat perjawatan atau diberikan lebih perhatian kepada perjawatan penting dalam sektor kritikal seperti bahagian perolehan dan hasil serta agensi penguatkuasaan.

Pihak berkuasa juga perlu memberi jaminan keselamatan kepada penjawat awam dalam memerangi gejala salah laku dan pencegahan rasuah dalam perkhidmatan awam.

Penjawat awam pada peringkat awalnya menjadi mangsa diburu setiap pelaku jenayah sebenar bagi menghalalkan kegiatan salah laku mereka dengan tawaran indah-indah.

Jika tawaran itu diterima penjawat awam dengan balasan menghalal setiap kelakuan jenayah, mereka akan bersahabat baik demi memastikan kedua-dua pihak terus menerima manfaat.

Perkara sebaliknya tentu berlaku jika penjawat awam bertegas tidak mahu terbabit dalam kegiatan jenayah. Mereka mungkin diugut dan diancam keselamatan sekiranya terus berdegil tidak menerima tawaran penjenayah ini.

Kisah bekas Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim maut ditembak dua lelaki bermotosikal ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya pada 2013 masih segar dalam ingatan penjawat awam.

Ketegasan pegawai berdedikasi dalam menentang jenayah dan tidak berkompromi dengan ancaman, akhirnya mendedahkan beliau dalam situasi bahaya yang tidak dapat diterima.

Sudah tentu kes ini akan sentiasa diingati semua penjawat awam hingga mereka bimbangkan keselamatan jika tidak menuruti kemahuan pemberi rasuah atau melaporkan kegiatan salah laku berkenaan.

Begitu juga tekanan dalaman diterima penjawat awam sekiranya tampil ke hadapan mendedahkan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam jabatan sendiri. Tekanan menjadi lebih teruk jika mereka yang mahu dilaporkan itu, membabitkan pegawai tertinggi.

Justeru, perlu ada satu jaminan kukuh daripada pihak berkuasa dan kerajaan sendiri terhadap keselamatan penjawat awam yang mungkin boleh menjadi mangsa daripada pelbagai sudut hingga pada akhirnya mereka yang dilihat sebagai bersalah.

Penulis adalah Presiden CUEPACS

Tiada ulasan: