SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

03 Disember 2020

CUEPACS tolak lanjut usia bersara penjawat awam

 Berita Harian
Oleh Suraya Roslan - Disember 3, 2020 @ 2:19pm
bhnews@bh.com.my


KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berpendirian usia persaraan penjawat awam tidak perlu dinaikkan kepada 65 tahun.

Presidennya, Adnan Mat, berkata ia kerana skim persaraan penjawat awam sudah tiga kali diubah dalam tempoh 20 tahun.

"Kali pertama, had usia persaraan penjawat awam dilanjutkan daripada 55 kepada 56 tahun pada 2001.

"Diikuti tujuh tahun kemudian apabila usia persaraan dilanjutkan daripada 56 kepada 58 tahun pada 2008 manakala empat tahun kemudian sekali lagi mengalami perubahan daripada 58 kepada 60 tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adnan mengulas mengenai cadangan wakil dan Pengurus Negara Kumpulan Bank Dunia di Malaysia supaya Malaysia meneliti semula dasar mengenai had usia persaraan berikutan status negara yang mungkin mempunyai masyarakat berusia pada masa akan datang.

Atas faktor itu wakil Bank Dunia berkenaan mencadangkan supaya Malaysia meningkatkan had minimum usia persaraan daripada 60 kepada 65 tahun dan ia dikaji dari semasa ke semasa sesuai dengan unjuran jangka hayat penduduk Malaysia.

Adnan berkata, pihaknya berpandangan sebahagian besar individu dalam lingkungan usia 60 tahun ke atas kebiasaannya berdepan dengan beberapa kekangan berkaitan pekerjaan termasuk faktor kesihatan selain perlu mengadaptasi teknologi baharu yang semakin canggih.

"Kemasukan kakitangan muda sudah pasti sedikit sebanyak menyumbang kepada peremajaan sistem perkhidmatan awam sesuai dengan keadaan semasa," katanya.

Menurutnya, justeru itu peraturan semasa yang terpakai ketika ini untuk had usia persaraan penjawat awam adalah masih munasabah dan relevan.

"Pada masa yang sama penjawat awam boleh membuat keputusan untuk bersara mengikut pilihan sendiri pada bila-bila masa yang difikirkan perlu walaupun masih belum mencapai usia 60 tahun.

"Bagaimanapun, kita akui menerima begitu banyak cadangan daripada pelbagai pihak termasuk wakil pekerja di sektor swasta supaya had usia persaraan dinaikkan.

"Cadangan ini timbul kerana ramai rakyat Malaysia masih lagi memiliki baki pinjaman perumahan yang banyak walaupun menghampiri usia persaraan malah ada yang terpaksa membuat pinjaman perumahan sehingga umur 65 tahun," katanya.

Katanya, rata-rata mereka ini bimbang tidak mempunyai pendapatan dan wang mencukupi selepas bersara kerana masih lagi perlu membayar hutang rumah.

"Perkara ini berlaku disebabkan harga rumah yang sangat mahal ketika ini selain skim gaji yang rendah.

"Gaji yang rendah memberi kesan kepada simpanan hari tua mereka sama ada memiliki simpanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) atau pencen yang diterima jika mereka penjawat awam.

"Untuk mengatasi masalah ini kita berharap kerajaan dapat meningkatkan had gaji minimum ke tahap yang lebih baik," katanya.

Adnan berkata, perkara itu membolehkan rakyat mempunyai simpanan KWSP yang lebih banyak untuk sektor swasta manakala penjawat awam boleh menerima wang pencen lebih tinggi.

"Pendapatan boleh guna mereka selepas bersara juga akan lebih baik sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat.

"Dalam masa yang sama perbanyakkan lagi membina rumah yang dikategorikan sebagai mampu milik dan selesa untuk golongan berpendapatan rendah," katanya

Tiada ulasan: