SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

06 Januari 2021

Cuepacs dan MTUC akan jumpa PM isu Pekeliling Perkhidmatan

 My Metro
5 januari 2021


Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan bertemu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat berikutan tindakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 dan 7 Tahun 2020 berkuatkuasa 1 Januari lalu tanpa berunding dengan kesatuan itu.


Presiden CUEPACS, Adnan Mat, berkata tidak adil pekeliling itu dikeluarkan tanpa rundingan yang turut membabitkan implikasi saiz perkhidmatan awam Malaysia dengan jumlah warganya kira-kira 1.6 juta orang selain 15 juta pekerja di bawah naungan MTUC.

Menurutnya, pihak kesatuan yakin dan percaya Perdana Menteri tidak dimaklumkan mengenai pekeliling baharu dikeluarkan JPA itu.

"Justeru, kami memohon Putrajaya memansuhkan pekeliling itu segera dan kembali kekal di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 1992.

"Kita ada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang bersidang Jun. Kami tak pernah mengadu kepada mereka selama ini demi menjaga nama baik kerajaan.

"Kami merasakan platform sedia menerusi Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) adalah memadai. Sama ada merujuk kepada ILO, itu bergantung kepada maklum balas Perdana Menteri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat CUEPACS, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pemangku Presiden MTUC Mohd Effendy Abdul Ghani.

Beliau mengakui kali terakhir tindakan sama dilakukan JPA pada Disember 2019 namun tak dibawa ke ILO demi menjaga imej negara yang ketika itu sudah tercalar dengan isu buruh paksa dan pembayaran gaji rendah menyalahi konvensyen antarabangsa.

Sebelum ini dalam siaran media 29 Disember lalu, Adnan dilaporkan berkata, CUEPACS menolak dan membantah sepenuhnya pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan baharu oleh JPA mengenai MBK yang berkuatkuasa sepenuhnya pada 1 Januari 2021.

"Keputusan pekeliling itu langsung tidak berunding serta melibatkan CUEPACS selaku wakil pekerja dan tiga MBK iaitu MBK Pekerja-Pekerja Pengurusan dan Profesional (MBK P&P), MBK Pekerja-Pekerja Sains dan Teknologi Dalam Kumpulan Pelaksana (MBK S&T) serta MBK Pekerja-Pekerja Am Dalam Kumpulan Pelaksana (MBK AM).

"Tindakan JPA yang melaksanakan Pekeliling Perkhidmatan ini tanpa rundingan daripada CUEPACS seolah-olah cuba menghapuskan rundingan triparti melibatkan wakil pekerja, JPA dan kerajaan.

"Situasi ini memberi gambaran JPA cuba menghapuskan peranan kesatuan pekerja sehingga boleh mencetuskan suasana atau hubungan tidak harmoni antara majikan dan pekerja," katanya.

Tiada ulasan: