SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

10 November 2021

CUEPACS tuntut pencen lebih adil kepada semua penjawat awam

 Berita Harian
10 November 2021


SIMANGGANG: Ada kumpulan penjawat awam negara ini menerima tiga hingga empat bayaran pencen yang tinggi secara sekali gus, sebaik bersara daripada perkhidmatan.

Sehubungan itu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan kerajaan mewujudkan garis panduan baharu agar bayaran pencen menjadi lebih adil untuk semua kumpulan penjawat awam yang lain.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, berkata di bawah garis panduan baharu itu, memadailah buat seseorang penjawat awam itu untuk menerima satu pencen yang dianggap tertinggi sahaja, berbanding dengan pencen-pencen yang mereka sepatutnya terima ketika bersara nanti.

"CUEPACS melihat cara ini adalah adil untuk kerajaan serta negara kerana ia bukan sahaja dapat memelihara kebajikan pesara, malah turut memastikan pencen terbabit bersifat lebih bahagia dan dibayar mengikut angka yang munasabah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena dengan Majlis Apresiasi Barisan Hadapan Covid-19 di sini pagi tadi yang turut dihadiri oleh Residen Bahagian Sri Aman, Datu Ingit Bangai dan Pengerusi CUEPACS Sarawak, Omer Bahrien Unin.

Selain itu, Adnan juga turut mencadangkan kepada kerajaan agar bertindak mengkaji semula kadar pencen minimum kerana terdapat kumpulan penjawat awam yang masih menikmati kadar pencen 'sengsara' pada masa sekarang.

"CUEPACS mahu kerajaan mengkaji semula kadar kenaikan pencen penjawat awam agar golongan terbabit dapat menikmati kadar bayaran pencen yang lebih bahagia berbanding dengan kadar sebelumnya.

"Dengan adanya peningkatan kadar minimun pencen terbabit maka dapatlah penjawat awam di negara kita menjalani kehidupan yang lebih senang dengan kuasa membeli yang tinggi sebaik sahaja mereka sudah bersara nanti," katanya.

Majlis penyampaian sijil penghargaan dan plak kepada wakil kumpulan petugas barisan hadapan di Sri Aman juga turut diadakan bagi menyerikan Majlis Apresiasi Barisan Hadapan Covid-19 terbabit.

Tiada ulasan: