SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

04 Mei 2009

ISTERI LARI ANTARA ADUAN YANG DITERIMA CUEPACS

Utusan Malaysia
4/5/2009

KUALA LUMPUR 3 Mei - Isteri lari, anak terpaksa berhenti sekolah dan hutang keliling pinggang!
Itu antara aduan yang diterima oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) saban hari sejak kebelakangan ini.
Aduan seumpama itu diterima daripada kakitangan awam yang diberhentikan kerja atau ditamatkan kontrak sejak kegawatan ekonomi melanda dunia yang turut memberi kesan kepada majikan dalam negara.
Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, ramai ahli yang kehilangan pekerjaan meminta bantuan kongres untuk membantu mengatasi masalah mereka.
''Ada yang mengadu isteri mereka sudah 'lari' kerana tidak sanggup mengharungi hidup susah selepas suami diberhentikan kerja. Ada yang tidak mampu menyambung persekolahan anak-anak. Ramai yang mengalami kesempitan hidup dan diburu hutang bank.
''Kes-kes ini berlaku di kawasan pedalaman Pantai Timur termasuk di Gua Musang, Kelantan. Mereka sendiri mengadu terus kepada saya untuk minta bantuan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sehubungan itu, katanya, mulai minggu depan CUEPACS akan mengadakan lawatan untuk meninjau permasalahan ahli-ahli yang kehilangan pekerjaan sambil menghulurkan sumbangan.
''Kami tidak akan melawat semua ahli tersebut. Hanya mereka yang benar-benar bermasalah seperti tidak mampu menyekolahkan anak- anak dan sakit akan diberi keutamaan,'' ujarnya.
Katanya lagi, mereka akan diberikan bantuan wang dan barang-barang makanan.
Beliau berkata, sejak 2008, sejumlah 3,000 ahlinya yang terdiri daripada kakitangan awam di seluruh negara telah ditamatkan kontrak atas alasan kegawatan ekonomi.
Daripada jumlah itu, seramai 425 orang merupakan kakitangan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan dan 113 pula petugas di JPN Terengganu.
''Saya juga menerima laporan ramai lagi kakitangan awam yang bertugas secara kontrak bakal diberhentikan.
''Saya berharap tindakan memberhentikan pekerja-pekerja tersebut dapat dielakkan. Jumlah pengangguran yang bertambah akan mengakibatkan kesan sosial yang lebih berat,'' katanya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

yg kontrak sediada buang, lantik plak kontrak yg baru... mmg jd camni la...