SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

19 Mei 2009

MINDA PENGARANG: KERAJAAN SENTIASA BERUSAHA TINGKAT TARAF PERGURUAN

Berita Harian
17/5/2009




PROFESION perguruan kini diberi pengiktirafan kerajaan menerusi Skim Gred Khas C dan Pengetua Jusa C serta gred lain yang membolehkan ramai guru menikmati gaji lebih tinggi berbanding 10 atau 20 tahun lalu. Latihan diterima juga semakin baik dan kini hampir semua guru sekolah menengah dan lebih 50 peratus di sekolah rendah mempunyai sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda, berbanding sebelum ini dengan kelayakan mereka sekadar diploma atau sijil perguruan. Dengan itu, guru lebih berpengetahuan mendidik pelajar. Ramai juga di antara mereka kini mempunyai ijazah sarjana dan doktor falsafah. Kita bangga kerana guru di Malaysia mempunyai kelayakan akademik tinggi berbanding rakan mereka di negara membangun lain seperti India, Pakistan, Thailand, Indonesia dan China. Sememangnya, dari segi kelayakan, guru kita cukup berkelayakan. Sebagai menghargai dan memberi penghormatan kepada guru, kelmarin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa kerajaan sudah meluluskan pertambahan 2,141 kuota jawatan guru dan pengetua cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah di sekolah menengah di seluruh negara berkuat kuasa serta-merta. Dengan itu, kerajaan berharap insentif berkenaan mendorong mereka mengamalkan budaya kerja lebih cemerlang. Dengan penambahan kuota itu, perjawatan untuk guru dan pengetua cemerlang meningkat daripada 5,984 sebelumnya kepada 8,125 sekarang. Bagaimanapun, mungkin sesetengah pihak masih tidak berpuas hati dengan pertambahan itu jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan warga pendidik, iaitu 370,000 seperti disuarakan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP). Sudah tentu kerajaan atau lebih tepat lagi Kementerian Pelajaran mempunyai alasan tersendiri untuk tidak menambah jumlah yang lebih banyak buat masa ini. Hakikatnya, ia adalah satu langkah yang baik dan kerajaan sudah tentu tidak dapat memenuhi semua tuntutan NUTP, seperti juga pelbagai permintaan lain dikemukakan oleh badan seperti Cuepacs atau Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) yang sesetengahnya sukar dipenuhi kerajaan, sekurang-kurangnya buat masa sekarang ketika negara berdepan keadaan ekonomi muram. Apapun, ini tidak bermakna kerajaan tidak peka dan pasti kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya apabila tiba masanya nanti seperti tuntutan NUTP yang mahukan elaun sara hidup (Cola) dan elaun guru besar serta pengetua yang diperjuangkannya sejak lebih tiga tahun lalu, dinaikkan. Memang benar pertambahan kuota jawatan guru dan pengetua cemerlang itu dinikmati sebahagian kecil guru, tetapi kita yakin dari semasa ke semasa, Kementerian Pelajaran akan mempertimbang untuk menambahkan jumlahnya. Untuk layak memohon guru dan pengetua cemerlang ialah mencapai tempoh perkhidmatan sehingga 10 tahun. Namun, kita juga mengalu-alukan persetujuan kerajaan mewujudkan jawatan guru cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah yang berkhidmat di sekolah rendah. Semua langkah itu untuk kebaikan dan masa depan pelajar sendiri, bagi memastikan mereka mendapat ilmu berguna daripada guru yang cemerlang.

Tiada ulasan: