SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

03 Mei 2009

PERATURAN KERJA SEPARA MASA DILAKSANA BULAN DEPAN

Bernama
2/5/2009


MELAKA: Kementerian Sumber Manusia menjangkakan Peraturan Kerja Separa Masa untuk pekerja sektor awam dan swasta bekerja selepas waktu kerja dapat dilaksanakan pada bulan depan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata kementeriannya kini di peringkat akhir menggubal peraturan itu di bawah Akta Kerja 1955.

"Sebelum ini, kerajaan telah membenarkan pekerja sektor awam untuk bekerja separa masa tetapi tidak ada peraturan khusus mengenainya hingga menimbulkan beberapa isu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Pekerja Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Cuepacs, Omar Osman dan Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan dan Pengguna Negeri, R Perumal.

Dr Subramaniam berkata isu berkenaan antaranya berkaitan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), bayaran kerja lebih masa dan cuti sakit.

Peraturan itu digubal antaranya bagi menetapkan peraturan berkaitan penggajian pekerja separa masa, menentukan faedah minimum kepada pekerja separa masa, mengurangkan pergantungan majikan kepada pekerja asing dan menggalakkan penyertaan tenaga kerja terbiar, katanya.

Beliau berkata kebenaran untuk kerja separa masa itu bagi membantu pekerja yang berpendapatan rendah untuk menambah pendapatan.

Sementara itu, Omar berkata Cuepacs memohon kepada kerajaan supaya membuat penambahbaikkan terhadap skim perjawatan bagi memberi peluang yang lebih baik dalam kenaikan pangkat.

Katanya jawatan berkenaan termasuk operator pemprosesan data, pembantu tadbir rendah dan operator mesin.

"Cuepacs juga meminta kerajaan memberi insentif khas kepada kakitangan yang berkhidmat tengah malam iaitu 12 tengah malam hingga 6 pagi supaya mereka ini lebih selesa bekerja dan tahap kesihatan mereka terjamin," katanya.

Omar turut berharap dapat bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum 14 Mei ini bagi mengemukakan beberapa perkara berkaitan kebajikan kakitangan sektor awam.

Beliau berkata surat untuk pertemuan itu telah dihantar tiga minggu lepas dan masih belum mendapat jawapan. - Bernama

Tiada ulasan: