SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

11 Mei 2009

KEMPEN RM1 BANTU MULAKAN PERNIAGAAN

Berita Harian
11/5/2009




KEADAAN ekonomi global yang suram menyebabkan sebahagian kecil pekerja sektor swasta hilang pekerjaan, manakala kakitangan awam yang berpendapatan rendah dan pesara perkhidmatan awam juga merasai keperitannya. Bagi menangani kemelesetan ekonomi, kerajaan menyediakan latihan atau kursus bagi mereka yang kehilangan pekerjaan agar diserap ke sektor perkhidmatan lain. Perdana Menteri juga mengumumkan pengecualian cukai atas pendapatan sebanyak RM10,000 setiap tahun genap perkhidmatan bagi pampasan kehilangan pekerjaan.
Pada bajet 2009 pula, kerajaan bersetuju menambahkan pencen minimum kepada RM720 bagi mereka yang berkhidmat selama 25 tahun. Langkah itu sedikit sebanyak mengurangkan bebanan dihadapi mereka yang terjejas akibat kegawatan ekonomi global. Saya berpendapat seluruh kakitangan awam yang berjumlah 1.3 juta orang wajar memberi sumbangan RM1 setiap bulan untuk tempoh dua tahun ke dalam satu tabung bantuan yang dapat digunakan oleh kerajaan untuk membantu mereka yang sangat memerlukan untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan. Sumbangan itu akan berjumlah RM1.3 juta sebulan dan dalam jangka masa dua tahun, ia akan berjumlah RM31.2 juta. 'Kempen Satu RM' ini adalah untuk meningkatkan semangat sayangi negara.
Tabung itu boleh diguna untuk menghasilkan 2,600 orang usahawan kecil setiap bulan dengan peruntukkan RM500 atau RM1,000 setiap penerima dengan memberi bantuan peralatan perniagaan. Contohnya, jika penerima adalah suri rumah, dia boleh diberi mesin jahit atau lain-lain peralatan untuk membolehkannya memulakan perniagaan kecil-kecilan. Kerajaan boleh menggunakan kakitangan Kementerian Pelajaran atau Kementerian Pengajian Tinggi untuk memberi khidmat nasihat kepada penerima bantuan itu. Bagi kakitangan yang terbabit dengan usaha ini, ia boleh dijadikan sebagai sumbangan khidmat masyarakat mereka. Harapan saya ialah semua kakitangan awam bersama-sama dengan kerajaan menyumbangkan RM24 dalam tempoh dua tahun untuk menangani kelembapan ekonomi sekarang. Cuepacs boleh berperanan untuk menerangkan kepada semua ahlinya untuk menjayakan 'Kempen satu RM.'

ARSM,
Arau, Perlis.

Tiada ulasan: