SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

20 Mei 2009

TIMUR: KESEDAR BATAL HASRAT AMBIL ALIH STONG RESORT

Berita Harian
Oleh Ramli Ibrahim
bhkb@bharian.com.my
19/5/2009




GUA MUSANG: Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) membatalkan hasrat mengambil alih pengurusan Stong Resort yang terletak di kaki Gunung Stong dekat Dabong di sini, berikutan kegagalan rundingan dengan Kerajaan Kelantan. Pengurus Besar Kesedar, Mohd Arshad Ismail, berkata rundingan dengan Kerajaan Pas Kelantan gagal ekoran pelbagai syarat dikenakan yang tidak boleh diterima oleh Kesedar walaupun Gunung Stong terbiar sejak kebelakangan ini. Beliau mengakui sebelum ini Kesedar dipelawa mengambil alih pengurusan Stong Resort itu supaya perubahan dapat dilakukan bagi menarik lebih ramai pengunjung kerana Gunung Stong menempatkan Air Terjun Jelawang yang juga air terjun tertinggi di Asia Tenggara.
“Dalam rundingan dengan kerajaan negeri, segala cadangan Kesedar ditolak, sebaliknya diletakkan banyak syarat lain yang Kesedar tidak boleh terima,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Kesedar Gua Musang. Terdahulu, beliau memberi taklimat pembangunan Kelantan Selatan kepada 60 ahli Cuepacs Kelantan yang diketuai Pengerusinya, Shamsudin Mohd Noor. Mohd Arshad berkata, Kesedar mengenal pasti beberapa kawasan menarik di Hulu Kelantan yang boleh dibangunkan sebagai destinasi pelancongan termasuk Gunung Stong tetapi banyak yang tergendala kerana tidak mendapat kerjasama kerajaan negeri.
Bagaimanapun, katanya, Kesedar akan terus memberi tumpuan kepada industri pelancongan itu supaya dapat membuktikan usahanya menarik pelancong dari dalam dan luar negara mencapai matlamat. “Kita sejak dulu mengatur pelbagai program membabitkan peneroka dan penduduk tempatan bagi menghidupkan suasana persekitaran dengan memberi peluang kepada mereka menjalankan perniagaan berasaskan keluaran hasil kampung. “Selain itu, Kesedar juga menggalakkan lebih banyak inap desa untuk memudahkan masyarakat luar, merasai suasana hidup di kampung dan disajikan dengan masakan tradisional Kelantan,” katanya. Katanya, walaupun beberapa tempat pusat peranginan itu terbiar kerana kurang kemudahan asas, namun Kesedar merancang untuk membaik pulihnya bagi keselesaan pengunjung.
“Kita memang merancang membangunkan semula Gunung Stong apabila diserahkan kepada Kesedar sepenuhnya, namun lain pula yang berlaku apabila banyak masalah timbul ekoran tidak mendapat keputusan terbaik kedua-dua pihak,” katanya.

Tiada ulasan: