• Jamawi Jaafar Jamawi Jaafar
 SHAH ALAM - Lanjutan umur persaraan penjawat awam dari 60 ke 62 tahun yang dicadangkan Cuepacs akan menghalang peluang generasi muda mendapat kerja dalam sektor awam.

Ketua Penerangan Pemuda Umno, Jamawi Jaafar berkata, langkah itu akan menyebabkan ketidakseimbangan apabila jumlah pesara setiap tahun semakin berkurangan sedangkan jumlah graduan dihasilkan institut pengajian tinggi meningkat.

“Peluang pekerjaan ada di mana-mana sahaja tidak kira sektor awam mahupun swasta, namun sekiranya jumlah pengambilan bagi sektor awam berkurangan, maka negara akan rugi tenaga kerja muda.

“Begitu juga dengan bilangan penganggur yang semakin meningkat. Perlu diingatkan orang muda ada idea baharu untuk disumbangkan kepada kerajaan,” katanya.

Jamawi berkata, peningkatan umur persaraan bakal memberi kesan kepada kenaikan pangkat pegawai awam yang telah lama berkhidmat.

“Saya cuba dapatkan pandangan penjawat-penjawat awam dan didapati sebahagian besar daripada mereka tidak bersetuju," katanya.

Kelmarin, Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda berkata, kebanyakan negara telah melanjutkan usia persaraan kepada 65 tahun dan sebagai negara yang menuju status negara maju, Malaysia harus mengambil langkah sama.

Sementara itu, Naib Presiden Suara Anak Muda 1Malaysia, Khaidir Baharuddin berkata, cadangan Cuepacs itu dilihat sebagai satu langkah terkebelakang.

Katanya, untuk memapankan perkhidmatan awam, seharusnya orang muda diberi peluang untuk berkhidmat dan menyumbang.

"Kami bimbang ia menutup peluang kepada golongan muda. Kesannya, transformasi perkhidmatan awam gagasan Perdana Menteri akan gagal," katanya.

Katanya, Cuepacs sepatutnya memberi fokus kepada meningkatkan tahap kecekapan penjawat awam bukan umur persaraan.

"Tiada masalah jika Cuepacs ingin bertemu dengan Suara Anak Muda 1Malaysia kerana kami juga ingin mencadangkan supaya umur persaraan diturunkan semula kepada 55 tahun," katanya.