SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

05 Mac 2015

PENGASINGAN DISPENSARI UBAT MASIH DIKAJI - DR SUBRAMANIAM

Bernama
4/3/2015




PUTRAJAYA, 4 Mac (Bernama) -- Kementerian Kesihatan hanya akan membuat keputusan muktamad mengenai pemisahan fungsi klinik dan farmasi dalam pemberian ubat apabila kebaikan dan kelemahan bagi cadangan pemisahan itu dikaji dan dibincangkan.

Menteri Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata pihaknya akan meneruskan proses perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan berhubung pengasingan dispensari atau pemisahan fungsi klinik dan farmasi di bawah rang undang-undang farmasi baharu yang dicadangkan.

Beliau berkata kementerian ingin mengulangi bahawa rang undang-undang farmasi yang dicadangkan kini berada di peringkat penggubalan oleh Jabatan Peguam Negara dengan pelbagai sesi perbincangan diadakan antara Kementerian Kesihatan dengan pelbagai pihak berkepentingan.

"Sesi perbincangan dijalankan secara berperingkat membabitkan bahagian kementerian sendiri, pengamal persendirian, pengguna, agensi kerajaan, persatuan farmasi dan ahli akademik. Oleh itu, tiada tempoh masa ditetapkan sehingga semua proses selesai dijalankan.

"Marilah kita semua bekerjasama, berfikiran jelas dan membenarkan proses perbincangan diteruskan untuk mencapai situasi menang-menang untuk semua," kata menteri itu dalam satu kenyataan di Putrajaya, Rabu.

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata satu lagi perbincangan dijadualkan pada 9 Mac antara Kementerian Kesihatan dengan Jabatan Peguam Negara bersama kumpulan pergerakan pengguna berkaitan iaitu Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan pengguna antarabangsa.

Beliau berkata ia akan disusuli sesi perjumpaan dengan agensi-agensi kerajaan yang lain pada 16 Mac, Persatuan Farmasi (23 Mac) dan akademik (30 Mac).
Dr Subramaniam menegaskan bahawa pengasingan dispenasri hanya sebahagian daripada cadangan dalam rang undang-undang farmasi itu.

Beliau berkata walau apa jua perubahan, ia antara lain akan meningkatkan penjagaan pesakit melalui akses yang lebih baik untuk ubat-ubatan, penduduk yang sihat melalui penggunaan ubat-ubatan berkualiti dan membendung kos sistem penjagaan kesihatan.
Menurutnya semuanya akan dibuat melalui pengurusan ubat-ubatan yang baik, sistem penjagaan kesihatan yang mapan melalui perkongsian dan kerjasama semua pihak yang terlibat dalam penjagaan kesihatan.

"Ia memberi tumpuan untuk mengukuhkan penjagaan pesakit dan sistem penjagaan kesihatan di negara kita. Rang undang-undang perlu bersifat holistik.
"Rang undang-undang baharu itu antara lain akan meningkatkan penalti, memerangi pemalsuan, meningkatkan kecekapan dan menyeragamkan standard," katanya.
--BERNAMA

Tiada ulasan: