Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Per­khidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda berkata, perhimpunan itu sekadar bertujuan menarik perhatian dan mendapatkan publisiti ketika isu ber­kenaan hangat dibincangkan banyak pihak.
Sambil menyatakan rasa terkilan dengan tindakan tersebut, beliau berkata, kawasan kompleks kastam dijadikan lokasi perhimpunan juga tidak relevan kerana pegawai dan penguat kuasa jabatan tersebut tidak ada kuasa untuk membatalkan atau menangguhkan pelaksana­an GST yang akan dikuatkuasakan pada 1 April ini.
“Pegawai Kastam adalah anggota yang melaksanakan semua dasar kerajaan termasuk percukai­an sekali gus tertakluk dengan peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan.
“Tindakan kumpulan aktivis itu memilih dan menyerbu kompleks Kastam Kelana Jaya untuk menyuarakan bantahan berkaitan GST turut dipersoal kerana seolah-olah jabatan berkenaan ada kuasa untuk membubarkan GST yang menjadi dasar kerajaan hari ini,’’ katanya kepada Utusan Malaysia selepas mengadakan taklimat khas berhubung 252 skim perkhidmatan dan isu-isu semasa perkhidmatan awam di Jengka dekat sini hari ini.
Azih berkata, mana-mana pihak termasuk aktivis perlu mengadakan perundingan dua hala dengan kerajaan bagi mendapatkan pertimbangan, bukannya dengan cara mengadakan perhimpunan se­perti itu kerana boleh menjejaskan nama baik negara.
Jelasnya, walaupun CUEPACS memahami dan berasa tempias berkaitan pelaksanaan GST, namun sebagai pekerja awam harus kekal menyokong bersama kerajaan dan pada masa sama berusaha mendapatkan bantuan kerajaan bagi mengurangkan tekanan hidup rakyat.