Bernama
7/7/2015
7/7/2015
KEMAMAN, 7 Mac (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam
Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan supaya membuat pertimbangan
bagi melanjutkan umur persaraan penjawat awam daripada 60 tahun kepada
62 tahun.
Presidennya, Datuk Azih Muda berkata kebanyakan negara melanjutkan usia
persaraan kepada 65 tahun seperti Thailand, Singapura, Sri Lanka,
negara Eropah serta Amerika Syarikat dan kita sebagai negara, yang
menuju negara maju harus mengambil langkah sama.
"Pertimbangan umur persaraan perlu dibuat, berikutan ekonomi negara yang tidak menentu dalam menuju negara maju.
"Selain itu, kerajaan menanggung kos yang tinggi untuk melahirkan
pegawai yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran...seperti pensyarah,
kebanyakan mereka pada usia 55 hingga 56 baru mendapat Ijazah
Kedoktoran(PhD), jadi takkan dah beribu-ribu habis buat PhD, baru
berkhidmat lima tahun sudah nak pencen?," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Misi
Bantuan Bencana Banjir 2015 anjuran Cuepacs dan Angkasa yang turut
dihadiri Setiausaha Perhubungan Angkasa Terengganu, Mohamed Yusoff serta
Pengerusi Cuepacs Terengganu, Muhamad Maliki Idris di sini hari ini.
Azih berkata, pelaksanaan usia persaraan 62 tahun harus diberi
pertimbangan bagi penjawat awam yang melepasi tapisan tertentu seperti
mempunyai tahap kesihatan yang baik serta masih berminat untuk
menyumbang kepakaran tenaga kerja.
"Kerajaan juga menanggung kos yang tinggi setiap tahun untuk bayaran
pencen kira-kira 70,000 penjawat awam dan kalau umur pencen dilanjutkan,
mungkin pengaliran keluar wang tidak terlalu tinggi selepas ini.
"Mengenai peluang pekerjaan untuk anak muda, sebenarnya walaupun usia
pencen dilanjutkan, peluang untuk anak muda masih ada dan tiada sekatan
sebab ada penjawat awam yang pencen disebabkan persaraan wajib,
persaraan pilihan serta kekosongan jawatan disebabkan kematian.
Dalam pada itu, Azih berharap kerajaan tidak akan menamatkan
perkhidmatan kira-kira 70,000 penjawat awam yang dilantik secara
kontrak, bermula pada 31 Dis ini.
Beliau yang agak terkilan berkata adalah tidak wajar bagi kerajaan
menamatkan kontrak pekerja ini kerana mereka juga mempunyai tanggungan
untuk meneruskan hidup dengan ekonomi negara pada masa kini yang tidak
menentu.
"Sekurang-kurangnya kerajaan perlu beri mereka peluang bekerja dan
bukannya menutup peluang mereka dan golongan ini merupakan 'lidah
kerajaan' sebenarnya," katanya.
-- BERNAMA
1 ulasan:
come on azih muda. jangan nampak macam bayang-bayang omar, suka mengarut & suka melalut.
1. mana pegi kajian semula skim2 yang masih belum dikaji?
2. mana pegi tuntutan supaya kumpulan pelaksana yang mempunyai kelulusan lebih tinggi dari gred lantikan sedia ada (memperolehi kelulusan lebih tinggi hasil dari PJJ/PLK ketika sedang berkhidmat) supaya dipermudahkan laluannya (laluan khas/pantas) ke peringkat lebih tinggi.
3. mana pegi kajian semula penilaian tahap kecekapan supaya seseorang yang berada dalam gred lantikan boleh ke gred kanan (lihat sahaja apa yang berlaku pada PT N17 yang sampai ke sudah masih belum dapat kenaikan pangkat, kalau ada pun KUP)
bijaklah sikit wahai presiden cuepacs. dah dapat gelaran datuk dah, maka berfikir dan beraksilah dengan penuh bijak. bukannya buat cadangan mengarut supaya dinaikkan had persaraan ke 62, mahupun cadangan potong gaji untuk derma kepada mangsa banjir tempohari. ini cadangan kurang cerdik!
Catat Ulasan