SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

23 Mac 2015

PEREMAJAAN SEKTOR AWAM, BERI PELEUANG KEPADA GENERASI MUDA - MBM

Bernama
23/3/2015


KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Kerajaan seharusnya melakukan 'peremajaan' dalam sektor perkhidmatan awam dengan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan kepercayaan kepada generasi muda melaksanakannya, kata Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Muammar Ghadafi Jamal Jamaluddin.

Bukan bermaksud menidakkan peranan penjawat awam yang sedia ada, beliau berkata saranan 'peremajaan' itu bertujuan memberi suntikan baharu kepada sistem penyampaian kerajaan, sekali gus meningkatkan produktiviti dan kualiti dalam mutu perkhidmatan awam dan menangani masalah pengangguran di kalangan generasi muda.

Beliau berkata generasi muda hari ini mempunyai kebolehan tersendiri malah rata-rata mereka berpendidikan tinggi, yang boleh digunakan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam.

"Saya tidak bersetuju kalau umur persaraan kakitangan awam dilanjutkan lagi kerana bagi saya kerajaan juga harus memikirkan nasib generasi muda yang kini berdepan dengan masalah pengangguran.

"Adalah lebih baik jika ada cadangan supaya menurunkan had umur persaraan penjawat awam untuk bersara lebih awal, sedikit sebanyak ia dapat membantu mengurangkan masalah yang dihadapi oleh generasi muda," katanya kepada Bernama berhubung cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan mempertimbangkan melanjutkan umur persaraan penjawat awam daripada 60 tahun kepada 62 tahun.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa ketika mengulas perkara itu berkata kerajaan tidak mempunyai rancangan dalam masa terdekat untuk menyambung umur persaraan kakitangan awam daripada 60 kepada 62 tahun memandangkan usia persaraan masa kini sudah memadai.

Muammar Ghadafi berkata lebih banyak peluang perlu diberikan kepada generasi muda untuk membolehkan mereka menimba pengalaman berkhidmat dalam sektor awam dan sebagai usaha melahirkan sumber tenaga berkemahiran serta berketerampilan.

"Pengalaman itu tidak akan datang jika mereka (generasi muda) tidak diberikan kesempatan untuk merasai sendiri bagaimana dunia pekerjaan itu. Lebih menyukarkan jika kita sentiasa menutup peluang yang ada, maka sampai bila-bila pun peluang itu tidak akan dapat," katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: