Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, kerajaan memerlukan sedikit masa bagi melihat kesan terutama dari segi hasil kepada negara selepas pelaksanaan GST yang akan bermula pada 1 April ini.
“Kita tunggu dulu pelaksanaan GST dan kemudian kita melihat impaknya dari segi hasil kepada negara dan sebagainya.
“Kerajaan tidak pernah mengetepikan kepentingan penjawat awam, jadi sekiranya ada hasil yang bertambah, penjawat awam juga akan mendapat nikmatnya iaitu kemungkinan dari segi kenaikan gaji mahupun elaun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Ke-33 di sini hari ini.
Yang hadir sama, Yang Dipertua Puspanita, Puan Sri Rohani Abdullah dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.
Sebelum ini, Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda mencadangkan kerajaan supaya menaikkan 30 peratus gaji penjawat awam bagi membolehkan mereka menikmati agenda dan transformasi kerajaan dengan baik.
Kenaikan itu membolehkan penjawat awam bersedia untuk menghadapi GST yang dijangka dilaksanakan pada 1 April 2015.
Tambah Ali, ketika ini bukan waktu sesuai untuk diadakan perbincangan mengenai impak pelaksanaan GST terhadap penjawat awam.
“Saya rasa kita akan mula berbincang berhubung perkara-perkara yang berkaitan selepas bulan Julai nanti,” katanya.
Sementara itu, beliau yang juga Penasihat Puspanita menyeru Puspanita mengorak langkah dan melaksanakan amanah yang diberikan untuk memartabatkan peranan serta sumbangan wanita dalam pembangunan negara.
“Puspanita perlu berani melakukan transformasi dengan melaksanakan program-program di luar jangkauan dan dalam masa yang sama memperjelaskan dasar serta hasrat kerajaan kepada ahli dan masyarakat,” katanya.