Presidennya, Datuk Azih Muda mengaitkan rasional cadangan itu dengan membandingkan tindakan negara seperti Singapura, Thailand, Sri Lanka, Eropah dan Amerika Syarikat yang menetapkan umur persaraan mencecah 65 tahun.
“Pelanjutan umur persaraan 62 tahun itu hanya diberikan kepada penjawat awam yang melepasi ta­pisan tertentu se­perti tahap kesihatan dan kepakaran tertentu,’’ katanya ketika berucap dalam majlis sum­ba­ngan bantuan banjir Kepada pen­jawat awam Terengganu di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman, di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi CUEPACS negeri, Muhamad Maliki Idris dan Setiausaha Perhubungan Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (Angkasa) negeri, Mohamed Yusoff.
Azih menepis dakwaan sesetengah pihak mengatakan pelanjutan umur itu akan menutup peluang golongan muda yang ingin memasuki sektor awam dan proses kenaikan pangkat kerana setiap tahun terdapat penjawat awam yang bersara wajib, meninggal dunia dan bersara pilihan.
Dalam perkembangan berkaitan, Azih mendesak kerajaan mengkaji semula supaya tidak menamatkan perkhidmatan penjawat awam yang dilantik secara kontrak bermula 31 Disember depan.
“CUEPACS terkilan dengan keputusan itu kerana dalam keadaan ekonomi negara pada masa ini setiap pekerja terbabit mempunyai tanggungan untuk hidup,’’ katanya.