SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

06 April 2021

Cuepacs sokong pusingan kerja bagi pegawai jawatan sensitif

 Kosmo
6/4/2021


PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik saranan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali supaya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melaksanakan pusingan kerja bagi pegawai jawatan sensitif.

Presidennya, Adnan Mat berkata, langkah berkenaan dilihat mampu mencegah sebarang ruang kepada kegiatan salah laku melibatkan pegawai dan kakitangan di sektor awam terutamanya di bahagian perolehan dan tender.

“Apabila terlalu lama memegang jawatan tersebut, sudah tentu pegawai di sektor awam dapat mengesan kelemahan yang boleh diambil kesempatan untuk berkomplot dengan pihak yang berkepentingan.
Adnan Mat

“Selain itu, ‘pemangsa’ di luar sana juga sukar untuk mendekati atau ‘menghimpit’ penjawat awam ini sekiranya pusingan kerja dilakukan di jawatan-jawatan sensitif,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang telah dilaksanakan dalam perkhidmatan awam seperti audit dalaman, Audit Negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat mampu menutup sebarang kegiatan salah laku.

“Agak sukar untuk terlepas sekiranya melakukan salah laku terutama membabitkan isu-isu perolehan yang sudah mempunyai SOP ditetapkan seperti Garis Panduan Perolehan dan Pekeliling Perolehan,” ujarnya.

Tambah Adnan, Cuepacs memberi jaminan kepada rakyat bahawa prinsip integriti masih menjadi pegangan keseluruhan warga perkhidmatan awam.

“Mereka yang terlibat hanya dari kelompok kecil dalam perkhidmatan awam yang mudah terpedaya dengan anasir tidak elok seperti dalam isu kartel tender.

“Namun begitu, masih ramai lagi penjawat awam di luar sana mempunyai prinsip yang berteraskan amanah, berintergriti dan berdedikasi dalam melaksanakan tugas mereka,” ujarnya.

Terdahulu, Mohd Zuki dalam kenyataan hari ini telah mengarahkan JPA untuk melaksanakan pusingan kerja bagi pegawai di jawatan-jawatan sensitif yang cenderung kepada isu berkaitan salah laku rasuah ekoran pendedahan SPRM berkenaan sindiket kartel tender kerajaan.

Dalam kenyataan itu, beliau kesal kerana terdapat segelintir penjawat awam yang membenarkan diri mereka diperguna oleh pihak berkepentingan untuk habuan lumayan. – K! ONLINE

Tiada ulasan: