SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

13 April 2021

Sistem Saraan Malaysia perlu disemak semula

 Sinar Harian
13/4/2021
Muhammad Yusaini


SHAH ALAM - Kerajaan perlu menyemak semula Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang telah diguna pakai oleh perkhidmatan awam dan memberi penekanan dalam penetapan kadar gaji minimum sebanyak RM1,800 sebulan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, sistem tersebut telah dilaksanakan bermula November 2002 dan tidak pernah dikaji atau ditambah baik.

Adnan Mat

Pihaknya berpendapat selepas 19 tahun dilaksanakan, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula skim sedia ada itu bagi memenuhi keperluan ekonomi dan kos sara hidup semasa.

“Kajian semula SSM ini perlu dilakukan dengan kadar segera memandangkan skim tersebut digubal berdasarkan keadaan ekonomi dan sara hidup sekitar tahun 2002 dan boleh dianggap tidak relevan dengan persekitaran ekonomi semasa.

“Dalam tempoh 19 tahun ini kita berhadapan dengan pelbagai kos kenaikan sara hidup termasuk harga rumah yang begitu mendadak.

"Kebanyakan gaji permulaan di sektor kerajaan adalah sebanyak RM1,200 tanpa mengambil kira lain-lain elaun dan masih jauh di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara yang baharu iaitu RM2,208,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, Adnan berkata, gesaan tersebut bukan supaya kerajaan dapat melaksanakan dengan kadar segera pada tahun ini tetapi suatu usaha yang kukuh perlu dilakukan.

“Cuepacs juga bersedia untuk mengadakan rundingan dan perbincangan dengan kerajaan dalam menyemak dan memperbaharui semula SSM.

“Suatu tindakan drastik perlu dilakukan bagi menyemak semula SSM ini agar hasrat kerajaan meningkatkan mutu perkhidmatan penyampaian sektor awam dapat dilakukan dengan lebih berkesan,” katanya.

Cuepacs juga berharap kerajaan menambah gred kenaikan pangkat Gred 28 dan 40 agar motivasi dan pelaksanaan pekeliling benar-benar dapat dilaksanakan.


Tiada ulasan: