SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

22 September 2021

Tindakan terhadap penjawat awam enggan divaksin demi negara - CUEPACS

 Berita harian
22 september 2021


KUALA LUMPUR: Cadangan untuk mengenakan tindakan ke atas penjawat awam yang enggan menerima suntikan vaksin COVID-19 bukan bertujuan menghukum, sebaliknya ia untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan vaksin bagi membawa negara keluar daripada krisis pandemik itu.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat, berkata walaupun 98 peratus penjawat awam mengambil vaksin, tetapi baki dua peratus yang belum divaksin walaupun kecil tidak harus timbul, disebabkan mereka adalah pelaksana kepada dasar kerajaan.

"Dalam hal pengambilan vaksin, CUEPACS berpandangan kerajaan perlu mengambil langkah yang lebih ke hadapan berdasarkan peraturan semasa sedia ada bagi memastikan penjawat awam keseluruhannya mengambil vaksin.

"Segala usaha dan kempen kesedaran pengambilan vaksin COVID-19 telah dilakukan oleh kerajaan dan ia sepatutnya sudah boleh difahami dengan jelas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi satu kenyataan memaklumkan akan mengemukakan cadangan berhubung tindakan yang boleh diambil terhadap penjawat awam yang enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19 kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut JPA, beberapa pilihan tindakan dan pendekatan telah dibawa kepada MKN untuk diputuskan termasuk cadangan arahan mewajibkan semua penjawat awam mengambil vaksin kecuali mereka yang mempunyai alasan kukuh untuk pengecualian atas faktor kesihatan.

Mengulas lanjut mengenai langkah JPA itu, Adnan berkata pihaknya menyokong usaha itu, malah ia selari dengan saranan CUEPACS pada 4 September lalu yang mencadangkan agar kerajaan mengeluarkan pekeliling khusus termasuk bentuk tindakan ke atas penjawat awam yang enggan mengambil vaksin.

"Sewajarnya penjawat awam selaku jentera pentadbiran kerajaan yang melaksanakan segala dasar kerajaan harus menjadi kumpulan pertama yang menjayakan aspirasi kerajaan," katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Malaysia Aminuddin Awang turut senada dengan Adnan dan menyifatkan langkah JPA itu dapat memberikan keyakinan kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah.

"Secara dasar kita bersetuju dengan langkah JPA itu tetapi kita hendak tahu juga jika pengambilan vaksin itu diwajibkan, apakah tindakan kepada penjawat awam yang enggan menerimanya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Aminuddin berkata ketika ini terdapat seramai 480,000 guru dalam perkhidmatan namun jumlah yang belum divaksin tidak dapat diketahui memandangkan proses vaksinasi masih berjalan. – BERNAMA

Tiada ulasan: