SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

04 September 2021

'Pekeliling khas isu vaksin penjawat awam perlu dikeluarkan'

Berita Harian
Oleh Suzalina Halid - September 4, 2021 @ 5:30pm
suzalina@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang mengeluarkan pekeliling khusus mengenai penjawat awam yang masih tidak mengambil vaksin dengan menjelaskan tindakan dan pendekatan perlu dilakukan kepada golongan itu dalam isu pengambilan vaksin.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat, berkata ia penting bagi mengelakkan kerajaan terdedah kepada risiko tindakan undang-undang daripada kumpulan penolak vaksin jika garis panduan atau undang-undang jelas mengenai pengambilan vaksin belum dikuatkuasakan.


Beliau berkata, CUEPACS turut berpandangan satu garis panduan perlu dikeluarkan kerajaan bagi mengelak majikan membuat keputusan berdasarkan pandangan mereka sendiri sedangkan masih tiada undang-undang mewajibkan pengambilan vaksin.

"Garis panduan atau pekeliling yang jelas mengenai isu pengambilan vaksin dalam kalangan pekerja termasuk penjawat awam ini perlu dikeluarkan bagi memastikan mereka tidak ditindas kerana menolak untuk divaksin.

"Ketika ini ramai memberi pelbagai pandangan mengenai peruntukan undang-undang yang boleh dikenakan bagi mengambil tindakan terhadap golongan pekerja yang tidak mahu divaksin.

"Perkara ini perlu ditangani segera oleh kerajaan bagi mengelak majikan mengambil tindakan berdasarkan andaian mereka sendiri ke atas pekerja yang tidak mahu mengambil vaksin," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan terdapat sebilangan penjawat awam membabitkan guru enggan mengambil vaksin atas pelbagai alasan.

Malah, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, sebelum ini dilaporkan berkata guru yang enggan menerima vaksin COVID-19 tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka apabila sesi persekolahan dibuka pada 3 Oktober nanti.

Pada masa sama, Adnan berkata, kerajaan juga perlu memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap golongan antivaksin yang menyebarkan propaganda tidak benar di media sosial.

Katanya, ini kerana golongan antivaksin ini boleh menjadi barah dan menggagalkan usaha kerajaan untuk keluar daripada permasalahan pandemik COVID-19.

"Golongan antivaksin ini perlu dipantau dan diambil tindakan tegas supaya tidak mencetuskan kebimbangan dan menyampaikan maklumat tidak tepat.

"CUEPACS percaya tidak semua mereka yang menolak vaksin adalah golongan antivaksin, sebaliknya mereka mungkin masih belum yakin dengan keberkesanan vaksin.

"Jadi, kerajaan perlu mempergiatkan lagi usaha memberi kesedaran untuk meningkatkan keyakinan rakyat mengambil vaksin," katanya.

Beliau berkata, CUEPACS juga menggesa kerajaan membentuk satu jawatankuasa khas bagi menilai dan mengkaji berkenaan undang-undang mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19 di Malaysia.

Katanya, sekiranya jawatankuasa khas dibentuk ini memutuskan undang-undang mewajibkan vaksin boleh dilaksanakan, ia perlu digubal segera bagi memastikan keberkesanan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

"Jawatankuasa khas ini perlu memberi syor dan cadangan kepada kerajaan kerana banyak perkara perlu diteliti sebelum satu undang-undang boleh diwujudkan berikutan masih belum ada negara di dunia mewajibkan pengambilan vaksin termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berpendirian semua penjawat awam sewajarnya mengambil suntikan vaksin disarankan kerajaan melalui PICK.

Katanya, ini penting dalam usaha memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam berjalan seperti biasa kerana adalah barisan hadapan yang akan menjadi pemudah cara kepada rakyat dan sektor ekonomi.

"Suntikan vaksin dapat mengelak seseorang dijangkiti virus COVID-19 daripada menerima kesan lebih buruk, selain mampu mengelak risiko kematian.

"Pengambilan vaksin juga mampu mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selamat dan mengurangkan risiko jangkitan," katanya.

Tiada ulasan: