SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

12 Februari 2022

Ambil serius teguran KSN - CUEPACS

 Berita Harian
12/2/2022


KUALA LUMPUR: Semua penjawat awam perlu mengambil serius nasihat dan teguran Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali agar mereka melipatgandakan usaha memperkukuhkan integriti serta tadbir urus yang baik bagi memastikan perkhidmatan awam kekal dihormati.


Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, berkata teguran dan pandangan itu sangat membina kerana apa jua yang dilakukan penjawat awam tidak sekadar mewakili individu itu, bahkan memberi gambaran kepada keseluruhan warga perkhidmatan awam.

"Penjawat awam harus sedar dalam era yang semakin mencabar ini, harapan rakyat kepada perkhidmatan awam diletakkan pada tahap tertinggi.

"Jika ada berlaku perkara yang tidak baik melibatkan integriti dan tadbir urus dalam perkhidmatan awam disebabkan kegagalan kita mengawal nafsu, sudah tentu ia akan mengecewakan masyarakat yang telah memberi harapan tinggi kepada kita semua," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Mohd Zuki dalam Majlis Amanat KSN 2022, mengingatkan penjawat awam bahawa kegagalan mempertahankan nilai integriti akan menyebabkan perkhidmatan awam dipandang hina dan jelek.

Berikutan itu, beliau meminta semua ketua jabatan dan penjawat awam melipatgandakan usaha memperkukuhkan integriti serta tadbir urus menerusi pelaksanaan inisiatif di bawah pelan antirasuah organisasi (OACP) yang dibangunkan agensi masing-masing.

"Integriti ini ialah sesuatu yang melibatkan tiga perkara dalam diri kita. Pertama akal, kedua nafsu dan ketiga ialah perbuatan sama ada melalui lidah atau tangan. Sekiranya akal gagal mengawal nafsu, maka lidah dan tangan akan bermaharajalela, lalu terjadilah pencabulan integriti dalam diri.

"Perkara ini jika dibiarkan maka akan menjadi barah yang merebak ke seluruh organisasi dan akhirnya perkhidmatan awam kita ini akan dipandang hina dan jelek oleh masyarakat," kata Mohd Zuki seperti dilaporkan.

Sementara itu, Adnan, berkata CUEPACS juga berharap masyarakat akan terus bekerjasama dengan warga perkhidmatan awam bagi memastikan negara dapat ditadbir dengan lebih berkesan melalui sistem penyampaian perkhidmatan cemerlang.

Katanya, masyarakat tidak seharusnya meletakkan semua kesalahan terus kepada keseluruhan penjawat awam sekiranya ada segelintir individu yang tersasar.

"Janganlah jadikan kesalahan yang dilakukan oleh satu atau dua orang itu sebagai alasan untuk kita mencemuh keseluruhan 1.6 juta penjawat awam," tegasnya.

Tiada ulasan: