SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

13 April 2009

CUEPACS AKAN TEMUI PM BERHUBUNG KEBAJIKAN KAKITANGAN AWAM

Bernama
13/4/1009



MELAKA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam masa terdekat untuk mengemukakan beberapa cadangan bagi memantapkan prestasi dan kebajikan kakitangan sektor awam. Presidennya, Omar Osman, berkata pihaknya sudah menghantar surat untuk mengadakan pertemuan itu dan sedang menunggu jawapan. Katanya, antara cadangan yang dikemukakan ialah mengenai Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), penswastaan sektor awam, mengkaji semula kemudahan perubatan kepada kakitangan awam yang sedang berkhidmat dan pesara, Elaun Sara Hidup (COLA) dan pemberhentian kakitangan kontrak.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi Cuepacs dan mesyuarat khas Anggota Majlis Kongres Cuepacs di sini, hari ini. Katanya, Cuepacs memberi sokongan padu kepada kerajaan baru di bawah kepimpinan Najib dan berharap kerajaan dapat memantapkan aspek kebajikan warga sektor awam. Sementara itu, Omar berkata Cuepacs menganggarkan 3,000 kakitangan kontrak di seluruh negara diberhentikan sejak Januari tahun lalu hingga sekarang berikutan kegawatan ekonomi.
Katanya, setakat ini terdapat kira-kira 50,000 kakitangan kontrak iaitu 20,000 kakitangan di bawah lantikan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) manakala baki 30,000 orang adalah lantikan kementerian, kerajaan negeri, jabatan dan agensi. "Kakitangan kontrak lantikan JPA dan SPA tidak ada masalah kerana dia sambung kontrak tetapi yang menjadi masalah (pemberhentian) ialah lantikan kementerian, kerajaan negeri, jabatan dan agensi," katanya. Beliau berkata, ada antara ketua jabatan dan agensi memberi alasan penamatan kontrak disebabkan bajet tidak cukup atau bajet tidak ada, prestasi tidak baik dan masalah kesihatan. "Alasan tak ada bajet, masa itulah prestasi tak baik, masalah kesihatan dan lain-lain lagi. Ia adalah jawapan yang tidak boleh diterima. Sedangkan semasa Datuk Seri Najib membentangkan mini bajet yang lepas jelas menyatakan bahawa kesemua pekerja kontrak tidak akan diberhentikan," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: