SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

28 April 2009

CUEPACS KEMUKA 10 TUNTUTAN BARU

Utusan Malaysia
27/4/2009



PULAU PINANG 27 April - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut 10 perkara baru daripada kerajaan dalam usaha menambah baik prestasi dan kebajikan kira-kira 1.3 juta kakitangan sektor awam di seluruh negara.
Presidennya, Omar Osman berkata, buat permulaan, pihak kesatuan mengemukakan lima tuntutan awal yang sudah dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, lima tuntutan tersebut ialah memohon penambahan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 84 hari; Penambahbaikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK); kenaikan kadar imbuhan tetap perumahan daripada RM180 kepada RM230; Elaun Sara Hidup (COLA) diselaraskan sebanyak RM300 di semua kawasan dan kajian semula kadar pencen yang diterima oleh kakitangan kerajaan.
''CUEPACS sudah menghantar surat untuk mengadakan pertemuan itu dengan Perdana Menteri dan sedang menunggu jawapan daripada beliau. Pertemuan dijangka diadakan dalam waktu terdekat ini.
''Pada pertemuan itu nanti, kesatuan akan menjelaskan kepada Perdana Menteri tentang tuntutan tersebut secara lebih lanjut. Walaupun kita memohon tetapi tidak akan melakukan desakan tentang beberapa perkara seperti COLA dan imbuhan tetap perumahan kerana sedar keadaan ekonomi yang tidak elok,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan ceramah tentang hala tuju CUEPACS dan isu-isu semasa di Dewan Kuliah A, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.
Kira-kira 1,000 kakitangan USM hadir mendengar ceramah selama dua jam itu.
Menurut beliau, tuntutan baru itu dikemukakan bagi menjamin kakitangan sektor awam yang bersara mendapat imbuhan terbaik untuk mengelakkan mereka terjerumus dengan perkara tidak elok.
''Kita tidak mahu selepas bersara, mereka terjerumus dalam skim cepat kaya dan perlu bekerja keras sebagai pemandu teksi dan buruh kasar hanya semata-mata perlu mencari pendapatan untuk menampung kos hidup. Biarlah mereka bersara dengan mempunyai pendapatan yang agak lumayan. Inilah yang kita perjuangkan,'' katanya.
Merujuk kepada kakitangan awam kontrak yang diberhentikan, Omar berkata, pihaknya menganggarkan 3,000 kakitangan kontrak di seluruh negara diberhentikan sejak Januari tahun lalu sehingga sekarang berikutan kegawatan ekonomi.
Katanya, setakat ini terdapat kira-kira 50,000 kakitangan kontrak iaitu 20,000 kakitangan di bawah lantikan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Manakala baki 30,000 orang adalah lantikan kementerian, kerajaan negeri, jabatan dan agensi.
''Kakitangan kontrak lantikan JPA dan SPA tidak ada masalah kerana mereka ini disambung kontrak tetapi yang menjadi masalah ialah mereka yang merupakan lantikan kementerian, kerajaan negeri, jabatan dan agensi,'' katanya.
Menurut Omar, ada di antara ketua jabatan dan agensi memberi alasan penamatan kontrak disebabkan bajet tidak cukup atau bajet tidak ada, prestasi tidak baik dan masalah kesihatan.
''Alasan tidak ada bajet, prestasi tidak baik, masalah kesihatan dan lain-lain lagi, alasan itu tidak boleh diterima. Sedangkan semasa Perdana Menteri membentangkan mini bajet sebelum ini jelas menyatakan bahawa kesemua pekerja kontrak tidak akan diberhentikan.
''Sepatutnya dalam keadaan sekarang, kita bantu mereka dan bukannya memberhentikan kerana kebanyakan mereka bekerja antara 10 tahun hingga 20 tahun, ke mana mereka ingin pergi apabila sudah jadi macam ini,'' katanya.
Tambah Omar, pihaknya juga akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya pekerja sektor awam dibenar mengeluarkan 10 peratus daripada pampasan perkhidmatan mereka bagi merancakkan semula aliran tunai dalam keadaan ekonomi semasa.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

alamatnya kontrak tinggal kontrak... yg sudah berkerja 3 tahun dgn LNPT 90% ke atas pun tidak diserap... seperti apa yg dibuat oleh kakitangan kontrak tidak dihargai...

Tanpa Nama berkata...

kakitangan kontrak dipandang rendah kerjaya mereka kerana status kontrak yg dipegang.

walhal mereka juga bertungkus lumus bekerja dengan baik seperti kakitangan tetap.

ini kerana kakitangan kontrak mesti mencapai tahap sasaran tertinggi dalam pencapaian sasaran kerja tahunan untuk membolehkan "nyawa" mereka disambung. jika tidak, mereka akan mati begitu sahaja.

kalau kakitangan tetap, prestasi kerja tidak baik pun takda masalah sangat sebab mereka berstatus tetap walaupun masih juga boleh dibuang.

tapi ada ker yg kena buang setakat ni? sapa ada keterangan jelas dalam perkara ini?

cuepacs tidak telus dalam memperjuangkan nasib pekerja kontrak terutama dibawah lantikan jpa dan spa.

cuepacs hanya berjuang untuk mereka yg tetap sahaja.

INI REALITI!!!!!!!!!!!!!!!

yg benar daripada:

aku kakitangan awam kontrak lantikan spa...

Tanpa Nama berkata...

cuepacs, teruskan bantu kami pekerja kontrak yang terumbang ambing ini.....
tq

bakal ke MOF... berkata...

boleh saya tau apa beza antara lantikan kontrak oleh jpa,spa dan kementerian?

lantikan secara kontrak memang x secure ke?