SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

07 April 2009

MAJIKAN WAJIB BERI PELEPASAN PEKERJA MENGUNDI

Utusan Malaysia
7/4/2009



KUALA LUMPUR 6 April - Majikan di sektor awam wajib memberi pelepasan kepada kakitangan mereka untuk keluar mengundi pada pilihan raya kecil di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Air, esok.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman (gambar) berkata, jumlah hari pelepasan bertugas itu perlu mengikut jarak pejabat dan tempat mengundi.
"Jika pejabat terletak di dalam kawasan pilihan raya atau negeri sama, kakitangan boleh diberikan pelepasan setengah hari atau satu hari.
"Bagi kakitangan yang bekerja jauh atau di negeri lain, mereka perlu diberi pelepasan sekurang-kurangnya dua hari bagi membolehkannya pulang awal ke tempat pengundian," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika mengulas hak pekerja yang layak mengundi di tiga kawasan berkenaan esok.
Omar menambah, pelepasan yang diberikan itu tidak boleh digantikan dengan bekerja pada hari lain.
"Pelepasan ini adalah keistimewaan yang wajib diperoleh pengundi atau disebut sebagai cuti tanpa rekod dan majikan tiada hak untuk mengarahkan ia diganti pada hari lain.
"Sekiranya ada kakitangan yang tidak mendapat pelepasan, mereka perlu melaporkannya kepada CUEPACS dan aduan itu akan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk tindakan susulan," katanya.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud berkata, majikan perlu membenarkan kakitangan untuk keluar mengundi esok walaupun pada hari bekerja kerana ia adalah peraturan pilihan raya dan tanggungjawab rakyat.
"Pekerja yang layak mengundi di mana-mana tiga kawasan itu perlu melaporkan kepada pihak berkuasa dan MTUC jika majikan tidak memberi pelepasan berbuat demikian.
"Bagaimanapun, setakat ini MTUC belum menerima sebarang aduan berhubung kegagalan atau kedegilan majikan memberikan pelepasan kepada kakitangan yang akan mengundi pada pilihan raya berkenaan," katanya.
Esok, seramai 55,426 pemilih layak membuang undi pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak manakala 35,140 pemilih bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah dan 8,006 pemilih untuk DUN Batang Air, Sarawak.

Tiada ulasan: