SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

01 April 2009

PENGIKTIRAFAN SEKTOR AWAM

Utusan Malaysia
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

ABDULLAH Ahmad Badawi (kiri) diiringi Yong Poh Kon (Pengerusi bersama Pemudah mewakili Sektor Swasta) dan Mohd. Sidek Hassan (Pengerusi bersama Pemudah mewakili Sektor Awam) (tengah) semasa menghadiri pembentangan laporan tahunan Pemudah 2008 di Putrajaya, Februari lalu.
SEBAGAI nadi utama kepada pengurusan dan pentadbiran, penggerak agenda kerajaan dan penyampai perkhidmatan awam, kumpulan pekerja di sektor awam menjadi tulang belakang pembangunan negara.
Kerana itu juga, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebaik-baik menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 31 Oktober 2003, meletakkan kecekapan penyampaian awam sebagai antara agenda utama di bawah kepimpinan beliau.
Kerenah birokrasi, pembangunan modal insan dan peningkatan integriti pula menjadi sebahagian daripada komponen tumpuan Abdullah dalam memperkasakan sektor tersebut.
Ia antara lain bertujuan memastikan setiap mekanisme perkhidmatan awam bergerak dengan pantas dan berfungsi dengan berkesan seterusnya membolehkan rakyat mendapat perkhidmatan terbaik.
Pembangunan modal insan bertaraf antarabangsa pula bertujuan melahirkan kakitangan awam kelas pertama yang tidak hanya cekap dan bijak menjalankan tugas, malah dikagumi oleh masyarakat dunia.
Paling utama, penyampaian sektor awam itu dilaksanakan dengan penuh integriti dan bermaruah, sekali gus bebas daripada unsur-unsur rasuah dan korupsi yang tidak hanya mencemar imej kerajaan, malah merosakkan bangsa.
Adalah jelas tumpuan yang diberikan jentera Abdullah adalah untuk menghapuskan stigma ‘kemudahan kelas pertama, mentaliti kelas ketiga’ yang sinonim dengan perkhidmatan awam.
Ini kerana masyarakat berpendidikan dan moden hari ini semakin bijak dan kritis dalam menilai kecekapan penyampaian awam.
Mereka juga mempunyai banyak saluran untuk bersuara dan melampiaskan perasaan tidak puas hati dengan penyampaian awam yang tidak berkualiti.
Justeru, sektor perkhidmatan awam perlu benar-benar cekap kerana ia melambangkan imej, maruah dan integriti kerajaan.
Kerana kepentingan itu juga, Abdullah dan jentera Kabinetnya dari semasa ke semasa mengumumkan penambahbaikan kepada sistem penyampaian perkhidmatan awam menerusi pelbagai intensif.
Antaranya Abdullah mengisytiharkan tanggal 5 November setiap tahun sebagai Hari Integriti Kebangsaan dan ia disambut pertama kali pada 2004.
Serentak dengan sambutan itu, Konvensyen Integriti Nasional turut dianjurkan bertujuan membincangkan mengenai hala tuju agenda integriti negara.
Abdullah turut memperkemaskan peranan anggota Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) yang terdiri daripada pegawai kanan kerajaan dan tokoh-tokoh swasta.
Pemudah antara lain bertanggungjawab mengurangkan kerenah birokrasi dalam beberapa aspek penyampaian perkhidmatan awam supaya pelaksanaannya lebih berkesan.
Namun, tumpuan utama kerajaan Abdullah pastinya terhadap usaha meningkatkan integriti dengan memerangi gejala rasuah secara habis-habisan.
Selepas diuar-uarkan sejak sekian lama, akhirnya penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menggantikan Badan Pencegahan Rasuah (BPR) terlaksana pada 1 Januari lalu.
Penubuhan SPRM juga bermodelkan agensi-agensi anti rasuah berwibawa di dunia seperti Independent Commission on Anti-Corruption (ICAC) di Hong Kong dan Independent Commission Against Corruption di New South Wales, Australia.
Ia disokong oleh beberapa mekanisme check and balance seperti Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah. Tujuannya supaya badan ini mampu menjalankan tugas dengan lebih berkesan, telus dan akauntabiliti.
Turut dibentuk bersama-sama SPRM ialah dua buah panel iaitu Panel Penilaian Operasi (PPO) dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR).
Kedua-dua panel ini akan memastikan keputusan siasatan SPRM dilakukan dengan telus di samping menggerakkan aktiviti mendidik orang ramai menentang rasuah.
Terdahulu pada 2 Mac 2004, Abdullah melancarkan Pelan Integriti Nasional (PIN) di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), juga dengan tujuan untuk memerangi gejala rasuah.
PIN antara lain bertanggungjawab membimbing dan menggaris usaha-usaha ke arah memantapkan lagi integriti di semua peringkat dan lapisan masyarakat.
Ia termasuk mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa secara berkesan. Dalam masa yang sama, PIN digerakkan untuk meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian, perkhidmatan awam dan mengatasi kerenah birokrasi.
Bersama-sama PIN, sebuah badan yang menggalakkan urus tadbir berkesan, akauntabiliti dan kecekapan sektor awam serta swasta agar bebas daripada amalan negatif termasuk rasuah turut ditubuhkan. Badan itu dikenali sebagai Institut Etika Awam Nasional (IEAM).
Memperkemaskan peranan PIN dan IEAM ialah Institut Integriti Malaysia (IIM) yang bertanggungjawab mendidik dan menggalakkan rakyat Malaysia meletakkan nilai-nilai integriti dalam setiap aspek kehidupan.
Dalam menghargai sumbangan kakitangan awam sebagai pelaksana utama agenda kerajaan, kumpulan ini turut diberikan imbuhan secara langsung.
Antaranya seperti yang diumumkan sendiri oleh Abdullah sewaktu berucap pada majlis Anugerah Kualiti Sektor Awam 2008.
Penambahbaikan seperti yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perjawatan dan Gaji Pekerja-pekerja Sektor Awam itu termasuk pertukaran skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada skim pencen.
Langkah itu membolehkan kira-kira 40,000 kakitangan awam membuat pilihan pertukaran tersebut bermula 1 Februari lalu.
Turut diumumkan ialah bayaran ex-gratia kepada ibu bapa anggota perkhidmatan awam bujang yang meninggal dunia dalam perkhidmatan bermula 1 Januari lalu.
Terdahulu pada perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2007 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Abdullah mengumumkan kenaikan gaji kakitangan awam berkuatkuasa 1 Julai 2007.
Kenaikan yang disifatkan terbaik dalam sejarah perkhidmatan awam itu menyaksikan peningkatan gaji antara 7.5 peratus hingga 35 peratus membabitkan kira-kira 1.02 juta kakitangan awam. Serentak dengan kenaikan itu, kerajaan turut menaikkan kadar bantuan sara hidup (COLA) sebanyak 100 peratus.
Adalah jelas agenda meningkatkan sektor perkhidmatan awam seperti yang ditekankan Abdullah adalah menjunjung pendekatan telus dan terbuka yang sering diutamakan beliau.
Ia juga merealisasikan hasrat Abdullah untuk mengajak rakyat bekerja bersama-sama beliau dan bukannya bekerja untuk beliau.
Ternyata usaha Abdullah mendapat pengiktirafan apabila kecekapan negara kini berada di tangga ke-19 dalam IMD World Competitiveness Report 2008, iaitu meningkat empat anak tangga berbanding tahun sebelumnya.

Tiada ulasan: