SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

29 April 2009

MASYARAKAT BERHAK DAPAT PERKHIDMATAN AWAM KELAS PERTAMA

Berita Harian
Minda Pengarang
29/4/2009




BANYAK persepsi buruk dilemparkan kepada kakitangan awam, selain kemelut tepu yang dikatakan melanda sektor itu. Oleh itu, cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin untuk melakukan modenisasi dan pembaharuan dalam struktur perkhidmatan awam diharap dapat mengubah pandangan berkenaan. Walaupun memang ada perubahan ketara pada sesetengah jabatan kerajaan sejak pembaharuan pentadbiran awam di bawah kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, usaha berterusan perlu dilakukan untuk memantapkan urus tadbirnya supaya lebih moden dan efisien. Antara cadangan Najib ialah dasar lebih terbuka dengan memberi laluan jawatan utama sektor itu kepada mereka yang berbakat dari swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), selain pertukaran pegawai antara GLC dan sektor awam dilihat sebagai titik tolak bagi permodenan sektor awam. Cadangan menghantar pegawai berpotensi menduduki jawatan kanan berkursus di universiti terkemuka di luar negara juga diharap dapat membuka minda mereka untuk melakukan penambahbaikan dalam sektor itu. Berbanding perubahan lalu, kali ini ia lebih memperlihatkan perubahan struktur yang bakal mencorak masa depan kepemimpinan jabatan kerajaan yang jumlah penjawatnya mencecah 1.2 juta orang. Jika sebelum ini pegawai dari kelompok Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) menguasai jawatan kanan perjawatan awam, kini peluang lebih terbuka kepada mereka yang benar-benar layak, baik dari kalangan pegawai GLC, swasta atau awam sendiri, untuk menerajui jabatan awam sama ada secara kekal atau pinjaman. Sebenarnya, GLC atau syarikat multinasional sudah lama memperkenalkan kaedah mengesan bakat peneraju syarikat bagi memastikan syarikat yang dipimpin mencatatkan keuntungan yang diharapkan. Apa yang dilakukan Petronas, Penerbangan Malaysia (MAS) dan Bank Negara boleh dicontohi bagaimana pegawai kanannya bukan saja mempunyai kepakaran, malah mampu melonjakkan keuntungan syarikat. Walaupun sektor awam tidak dinilai melalui keuntungan berbentuk kewangan, perkhidmatan yang diberikan boleh dinilai melalui Indeks Pencapaian Prestasi (KPI) sistem penyampaian dan tadbir urus. Seperti kata Najib, sektor awam tidak boleh lagi bersifat dogmatis, sebaliknya memerlukan pegawai yang berbakat untuk menerajui jabatan ke arah kecemerlangan demi kepentingan rakyat dan negara. Kita menjangka mungkin langkah ini bakal mengundang polemik daripada penjawat awam, termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs). Namun, sesuatu yang perlu difikirkan penjawat awam ialah mereka perlu berubah sejajar perubahan yang dilakukan kepemimpinan kerajaan bagi berdepan dengan cabaran global. Sama ada sekarang atau akan datang, sektor berkenaan tetap perlu berubah. Jadi langkah kerajaan memperkenalkan idea baru pemodenan perlu diterima baik semua penjawat awam kerana sektor awam cukup penting bagi menggerakkan kemajuan dan pembangunan negara. Bagi kita, segala desakan dan permintaan penjawat awam sudah dipenuhi kerajaan, baik kenaikan gaji, keselesaan tempat kerja atau kebajikan pekerja. Kini sudah sampai masanya mereka pula melakukan perubahan diri sebagai persediaan menghadapi pemodenan struktur sektor awam. Inilah masa untuk menjawab persoalan rakyat bahawa cukai yang mereka bayar setiap tahun itu berbaloi apabila perkhidmatan kelas pertama diamalkan oleh kakitangan awam.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Masyarakat memang berhak dapat perkhidmatan awam kelas pertama.Begitu juga kakitangan awam yang bertugas yang bertanggungjawab menanggung bebanan kerja setiap hari,patut juga mendapat pembayaran gaji yang kelas pertama tanpa membezakan Gred mereka.

Tanpa Nama berkata...

Kadang kala kita yang sepatutnya berada di kelas yang khas dialih atau ditukarkan sesuka hati oleh pihak berkenaan. Ini lagi tidak patut. Saya bukanlah di kelas pertama tetapi saya sepatutnya berada di kelas kedua semasa mendapat rawatan di Hospital ...... Selepas dibedah saya memang berada di kelas kedua. Tetapi apabila ada org lain dibedah pada hari yang sama dan tak cukup wad,jururawat sesuka hari telah memindahkan saya keluar dari bilik dan bercampur dengan pesakit lain dengan kepanasan,kepeluhan dan kebisingan para pesakit.Rasa tak selesa sebab luka bedah masih baru. Ke manakah hak kita kakitangan kerajaan kalau pihak yang berkenaan tidak ambil kisah dan pandang ringan perkara begini? Sedangkan kita yang bekerja mendapat layanan teruk apatah lagi masyarakat kita di luar sana....