SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

15 April 2009

HENTIKAN SALAHKAN SYARIKAT PENGANGKUTAN, PEMANDU

Berita Harian
15/4/2009



KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak membidas sikap agensi penguat kuasa sering menuding jari kepada syarikat pengangkutan awam dan pemandu apabila berlaku kemalangan maut seperti kes terbaru membabitkan sebuah bas ekspres dua tingkat yang mengorbankan enam orang di Bukit Beruntung, Rawang, kelmarin. Menurut mereka, setiap kali berlaku kes sedemikian, akan timbul kenyataan mengenai syarikat pengangkutan atau pemandu mempunyai saman atau waran tangkap sedangkan agensi penguat kuasa sepatutnya sudah mengambil tindakan awal yang boleh mencegah tragedi seperti itu. Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Ashfar Ali, berkata pengusaha atau syarikat bas ekspres sentiasa memeriksa rekod dan latar belakang individu sebelum mengambil bekerja tetapi masalah dihadapi ialah rekod itu tidak dikemaskini.
“Kita tidak puas hati kerana bila kemalangan, pihak berkuasa menuding jari dan mendakwa kita tidak ambil berat soal keselamatan. Kadang-kala pihak berkuasa juga tidak mengemaskini maklumat saman pemandu. Ada selepas tiga atau empat tahun, baru keluar saman... lima atau enam saman sekali gus. “Masa kami semak (latar belakang pemandu), tiada rekod (saman) tetapi selepas itu ada pula,” katanya sambil mempersoalkan kenapa lesen pemandu masih boleh diperbaharui walaupun mempunyai banyak saman atau waran tangkap. Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi kelmarin, enam orang termasuk pemandu sebuah bas ekspres maut, manakala tiga lagi parah apabila kenderaan dua tingkat membawa 32 penumpang itu hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan dan terbalik di Kilometer 443 Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran Bukit Beruntung.
Semakan polis mendapati pemandu kedua bas ekspres itu mempunyai lapan saman kerana kesalahan memandu laju, manakala pemandu bas utama yang maut dalam kejadian berkenaan mempunyai enam saman dan lima waran tangkap bagi kesalahan sama. Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman yang turut kesal dengan sikap menuding jari seperti itu, berkata agensi penguat kuasa seharusnya menumpukan kepada langkah memperketat dan melaksanakan peraturan dengan serius dan tegas. “Selalunya, semua pihak sibuk memberi cadangan supaya menubuhkan jawatankuasa atau peraturan baru (jika berlaku kemalangan maut) tetapi kemudian tiada penguatkuasaan berterusan sehingga pemandu yang ada waran tangkap pun masih boleh terus memandu. “Sepatutnya polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan agensi penguat kuasa lain mementingkan pelaksanaan undang-undang berterusan, bukan menuding jari pihak yang terbabit dalam kemalangan saja,” katanya.
Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata pihak berkuasa sepatutnya tidak melengahkan tindakan undang-undang ke atas pemandu bas ekspres yang mempunyai banyak saman dan waran tangkap atas kesalahan lalu lintas kerana tugas mereka membabitkan kepentingan serta keselamatan orang awam. “Semua pihak terbabit termasuk syarikat bas ekspres sendiri mesti berhenti daripada saling menuding jari, sebaliknya memikul tanggungjawab serta bekerjasama bagi mengelak risiko kejadian tidak diingini,” katanya. Katanya, sudah sampai masa mekanisme khusus dibentuk bagi menangani kes kemalangan maut termasuk mewajibkan pemandu bas ekspres dengan lebih tiga saman lalu lintas menghadiri kaunseling, selain menjalani tempoh pengawasan yang membolehkan lesen digantung jika mengulangi kesalahan dalam tempoh itu.

Tiada ulasan: